Caluk Corner
*


Login with username, password and session length

From the news...

Marilah "OT"
Welcome, Guest. Please login or register.
September 10, 2010, 04:07:28 AM

Login with username, password and session length
Clik Sini
on February 28, 2008, 12:06:00 AM

BAB ENAM

“Hai! Boleh berkenalan?” suaranya sambil mengekori skuter Mosquito itu. Motorsikalnya diperlahankan, untuk perjalanan yang sama dengan kelajuan skuter gadis itu.

“Nama siapa? Tinggal mana?” tanyanya lagi, bila gadis itu langsung tidak melayannya.

“Eh! Awak ni bisu rupanya, muka lawa tapi bisu, tapi tak apa, mak saya suka bermenantukan orang bisu, tak payah bercakap…angguk dan geleng je…” ujarnya lagi.

Dia masih berusaha ‘menjual minyak’, bukan apa saja sementara dia bosan meronda seorang, apalagi kerja yang boleh dibuat melainkan menambahkan koleksi aweknya. Ada senyuman tersimpul di bibir gadis itu. Mungkin geli hati dengan usikanya.

“Manisnya senyuman… Macam gula merah… manis tapi tak boleh dimakan begitu sahaja…” ayatnya lagi. Fizal sudah sedia maklum, kalau dia mengayat awek pasti cair. Kalau dia mempelawa, tidak akan gadis yang menolak pelawaanya.

“Awak ni tak ada kerja lain ke?” tiba-tiba gadis itu bersuara.

Ada, banyak, tapi semua tak jadi selagi awak tak kenalkan diri…” jawab Fizal tak jemu mengekori gadis bermata bulat itu.

Dia mengenyit mata, dan kerana kenyitan itu membuatkan si gadis hampir hilang kawalan terhadap skuternya.

“Okey… awak nak apa sekarang?!” soal gadis itu seraya memberhentikan skuternya di tepi padang, takut dia hilang kawalan sekali lagi.

Renungan mata lelaki itu begitu menggetarkan jiwanya, dan apa yang tidak pernah di sangka gadis itu, jejaka yang mengekorinya adalah Fizal. Lelaki yang sering menjadi bualan gadis remaja di kolej.

“Saya nak awak! Boleh gitu?” ujarnya, Fizal juga memberhentikan motorsikal dan dia menghadiahkan senyuman pada gadis itu, pasti gadis itu terpegun.

“Hei! Awak jangan nak main-main. Saya tanya betul-betul ni…” ucapnya agak kasar, tapi ada sedikit nada manja pada kata-kata itu, Fizal mengerut dahi. Sengaja mahu jual mahal lah tu, fikirnya.

“Saya nak nama awak, nombor telefon, alamat rumah…”

“Nama, Sharifah Faizurin Atikah Binti Syed Mansor, telefon 5286020, alamat rumah tak payahlah… nak datang rumah, call dulu,” balas gadis itu yang sudah mula menghidupkan enjin skuternya. Fizal tersenyum.

Takkan ada perempuan yang tidak mengalah padanya. Gadis yang bernama panjang macam keretapi ini akan menjadi koleksinya yang terbaru. Walaupun gadis itu tidak secantik mana, tapi pernah jugalah dia mendengar kawan-kawannya memperkatakan tentang Sharifah Faizurin Atikah Binti Syed Mansor, dan Fizal tak akan melepaskan peluang untuk berkenalan dengan gadis itu.

“Malam nanti Fizal call!!!” jeritan Fizal membuatkan gadis itu tersenyum panjang.

Yang pasti, malam nanti pasti mimpinya didatangi Fizal yang berwatakkan Prince Charming dan Zurin sendiri akan menjadi Snow White seperti dalam cerita dongeng orang putih yang selalu dibacanya sewaktu kecil. Zurin tersenyum meleret, selama ini dia hanya mendengar cerita tentang lelaki yang popular itu, tak sangka, lelaki itu cuba memikatnya.

Kiranya aku ni, ada value juga di matanya… Dia mula memasang angan-angan untuk keluar bersama lelaki itu. Alangkah bagusnya saat mereka jalan berpimpinan tangan, ada pula beberapa pelajar di kolejnya terserempak, pasti gamat satu kolej bila mereka tahu dia keluar dengan Fizal, jejaka paling sensasi di dalam senarai jejaka popular di kolejnya. Silap-silap aku dan Fizal masuk dalam carta pasangan popular.



BAB TUJUH

Selepas sahaja selesai kuliah dia menuju kafetaria untuk mengisi perutnya yang mulai berkeroncong. Hari ini Wani tidak datang kelas, terpaksalah Aryssa berseorangan. Dia tidak punya ramai kawan di sini, kawan di luar memanglah ramai, tapi dia lebih serasi dengan Wani yang dikenalinya sejak sekolah rendah. Hanya Wani sahaja temannya saat dia menangis dan ketawa, Wani tidak pernah meninggalkannya semasa dia bersedih, tidak pernah mengkhianati persahabatan mereka.

“Hoi! Jalan tak tengok orang ke? Main langgar je… Mata letak kat tapak kaki agaknya?” tengking seorang lelaki yang seakan mahu terjatuh ke tepi kaki lima.

Aryssa langsung tidak menyedari dia sudah sampai di belakang kafe, dan terlanggar pula manusia yang tidak ada budi bahasa yang sedang berasmaradana ni. Macam dah tak ada tempat lain, belakang café ni pun jadi? Mentang-mentang tempat ni sunyi tak ada orang lalu lalang mulalah nak ambil kesempatan bercengkerama. Dia ingat belakang kafe ni taman bunga ke? Kena tangkap dengan penyelia baru ada akal! Tangkap khalwat!

“Yang korang lepak kat tempat orang lalu-lalang pasal apa? Tak ada tempat lain nak bercengkerama? Pergilah taman bunga ke, taman tasik ke… ini tempat terceruk cam gini nak dating, tak ada taste langsung!” jawabnya kasar bila disedarinya orang yang menengkingnya itu adalah Fizal, Casanova Kolej Perdana, anak mak cik Salina yang datang ke rumahnya tempoh hari.

“Dah lah buat salah tak reti nak minta maaf, cakap pula tak reti nak elok-elok. Suka hati akulah nak lepak kat mana, kau jealous apasal? Dahlah macam perempuan tak cukup hormon… langgar-langgar orang pula! Jealous lah tu?” tempelak lelaki itu lagi gadis disebelahnya mencebik

- Macamlah dia tu bercakap penuh dengan bersopan santun sangat, konon bagus sangat jantan ni, hari tu Suzanna, hari ni Amira esok entah anak dara siapa dirosakkannya, jantan macam ni tak boleh layan, hancur!

“Mari, Sayang… kita pergi tempat lain. Jangan layan betina-jantan tak laku ni… Potong stim je!” ejekan Fizal membuatkan Aryssa bertambah bengang.

- Tak guna mamat ni, siap kutuk aku depan awek dia, macam bagus je…

“Celaka!” maki Aryssa. Fizal menoleh saat Aryssa memakinya, matanya tajam merenung gadis itu.

- Ingat orang takutlah tu, tengok orang macam nak telan, harap muka je handsome tapi attitude langsung out, tak boleh pakai!

“Kenapa, tak puas hati? Nasib baik kau pompuan tau, kalau tidak dah lama aku bagi penumbuk sulung tau, lebam mata kau! Orang macam kau ni, jangan kata aku, lembu tengok pun tak ada selera…” tempelak Fizal, kata-kata lelaki itu sudah sampai tahap menghina.

Yang si betina di sebelahnya tersengih-sengih mengiyakan kata-kata teman lelakinya, padahal dia sendiri tak tahu dia nombor berapa. Dia ingat dia sorang saja awek pada jantan ni? Jangan harap, satu kolej tahu tentang perangai buaya si Fizal ni, kalau bertukar-tukar tak juga kisah, tapi ini tidak, mengatur anak dara orang untuk di jadikan koleksi. Dia ingat anak dara orang tu apa? Setem? Poskad? Nak dibuat koleksi?

“Habis kau ingat aku berselera sangat tengok muka kau? Blah lah! Tadi elok-elok aku rasa berselera nak makan, tengok muka kau jadi nak muntah pula! Uwek!” balasnya dalam nada geram, dia pura-pura mahu muntah, sengaja mahu memanaskan keadaan. Orang berbudi kita berbahasa, orang tidak berbudi kita juga jangan berbahasa…

“Hoi! Tak guna punya betina-jantan! Aku bagi sebijik karang!” Fizal mengepal penumbuk dan menghalakan ke arah muka Aryssa.

“Kalau dah rasa bacul sangat, pukullah, tak malu! Nak pukul kaum yang lemah!” sindir Aryssa.

Dia kemudian berlalu, malas nak layan orang kurang ajar macam tu. Cakap tak reti elok-elok, main tengking orang je. Nak declare war dengan aku cakaplah, biar aku pasang perisai. Seleranya langsung patah di situ, terus dia menuju ke tempat letak motorsikal.

Motorsikal Yamaha 125 pemberian ayahnya sempena kecemerlangannya dalam SPM setahun lalu diletakkan di tepi stall. Tempat dia selalu melepak, tapi bukanlah melepak kosong, kadangkala dia menolong kawan-kawannya itu berniaga. Dia senang berkawan dengan kedua kembar ini, Meor dan Acid, mereka anak orang susah, tidak mampu melanjutkan pelajaran ke kolej dan mereka memilih untuk berniaga siang dan malam untuk membantu keluarga.

“Woi! Apasal monyok je ni? Macam orang tak makan je. Wani mana? Kalau tidak asyik melekat macam kembar siam, hari ni tak ada pula!” tegur Meor yang sedang menggoreng daging burger.

Dia hairan melihat Aryssa datang berseorangan, selalunya mesti dengan Wani. Tapi hari ini budak becok tu tidak pula membonceng motorsikal Aryssa.

“Lama tak datang, Ry… Berapa bulan aku tak nampak muka kau. Kembar siam kau mana?” sapa Acid pula, kembar Meor yang berniaga air di sebelah stall burger itu.

Ada, busy sikit, study! Wani tak datang kolej hari ni. Meor, burger daging special satu ye!” pesannya.

Aryssa membuka helmetnya dan meletakkan di atas seat motor. Kedua-dua mereka rakannya semasa di sekolah dan keduanya juga rakan karib Amir Hizam, teman lelakinya satu waktu dahulu.

“Aku dengar ada budak pompuan jatuh cinta dengan kau… Apa cerita ni Ary… takkan kau dah jadi~”

“Ops! Jangan salah sangka, budak pompuan tu yang syok kat aku. Tapi aku tak… Aku masih Aryssa yang dulu! Ini mesti dapat cerita dari Wani ye?” cepat sahaja Aryssa memintas kata-kata Meor.

Dia tidak mahu mereka menganggapnya seperti mana anggapan Fizal tengahari tadi. Wani ni memang mulut tempayanlah, cepat je sampai berita yang memalukan tu pada kawan-kawannya.

“Kau masih tunggu Amir?” soalan Meor membuatkannya terdiam seketika. Direnungnya wajah temannya itu.

“Ry, aku kesian kan kau. Tapi Amir terlalu keras hati, tak payahlah kau tunggu dia. Lagipun sampai bila?” Meor sudah duduk menghadap Aryssa. Burger yang sudah masak tu dihulurkan pada gadis tomboy itu.

“Aku pun tak tahu sampai bila, tapi aku memang sayangkan dia, Meor!” ujarnya. Terasa ada sebal yang mencengkam di dadanya. Memang Meor dan Acid tahu tentang cintanya dan Amir. Sudah berpuluh kali mereka menasihatinya. Namun, semua nasihat si kembar itu hanya di simpan dalam hati.

“Dia tak pernah hargai kau! Dia dah berubah… kalau aku jadi kau, aku tak sanggup lagi nak tunggu, Ry! Apalagi sampai sanggup berubah begini semata-mata tak mahu padamkan nama Amir dalam hati kau! Kau memang gila la Ry!” Acid pula masuk pot.

Dia pun sama dengan abangnya, selalu simpati dengan Aryssa. Dulu mereka tidak seakrab ini, tapi semenjak Amir kemalangan mereka bertambah rapat. Meor dan Acid lah yang selalu berusaha memujuk Amir bertemu Aryssa. Tapi usaha mereka sering hampa bila Amir Hizam sendiri tidak lagi mahu bertemu sesiapa.

Ala, tak kisahla Cid, Meor, janji aku tetap aku! Satu hari nanti Amir akan datang semula pada aku, Cid! Aku akan tunggu walau seratus tahun!” tegas Aryssa.

“Ha-ah! Ye lah tu, masa tu kau dan Amir dah kerepot, lepas tu masing-masing menyesal sebab tak kahwin masa muda!” tawa Acid mengakhiri sesi luahan perasaan itu. Meor yang berbadan agak gempal dari adiknya, terhinggut-hinggut ketawa. Mereka berborak lagi, sementara tangan mereka ligat bekerja bila ada dua tiga pelanggan datang membeli. Aryssa turut membantu, membungkus burger yang telah di masak Meor. Deruman sebuah Satria GTi kelabu metalik mengaum membuatkan tangan Aryssa terhenti membungkus burger. Dia mengalihkan pandangan yang terhalang dek rak kaca tempat meletakkan segala roti dan sos.

“Meor, burger ayam special dua. Cid, Cincau dua… cepat sikit ye!” pesanan lelaki itu membuatkan Aryssa separuh ternganga.

- Mana datangnya mamat ni, tetiba je muncul, bawa awek lain pula tu… baru je tengah hari tadi bertekak dengan aku, tiba-tiba aku datang sini ada pula dia, apalah sialnya hidup aku hari ni. Berlagak je lebih, tapi belanja awek makan burger je?

Mahu saja diperlinya lelaki itu, apabila mengingatkan Meor dan Acid berniaga dia menahan diri. Aryssa mengintai dari jauh, dilihatnya perempuan dalam kereta itu, bukan Suzanna atau Azmira, tapi, Sharifah Faizurin Atikah, teman sekelasnya semasa di tingkatan dua. Hari ini aje aku dah nampak dia bawa tiga orang perempuan, agaknya berapalah koleksi perempuan yang dia simpan… kesian perempuan-perempuan tu!

“Ary! Oii… aku lah!” jerit perempuan itu, sambil melambai ke arah Aryssa.

Dia kenal sangat budak yang nama panjang macam keretapi ni, suka menayang dan menunjuk-nunjuk. Mentang-mentanglah anak tunggal, tapi aku pun anak tunggal juga, tak le over sangat macam dia.

“Hai, Zurin… ni abang kau ke ni?” sengaja Aryssa bertanya begitu sambil matanya mengerling ke arah Fizal.

Bukan dia tidak tahu yang si Zurin tu anak tunggal tapi sengaja dia mahu memancing reaksi lelaki yang berlagak dengannya tengahhari tadi.

“Tak lah! Balak baru aku, kenalkan… Jay. Takkan kau tak kenal? Satu kolej dengan kau kan?” tergedik-gedik Zurin memeluk lengan Fizal.

Fizal di sebelahnya tersenyum tawar. Mungkin malu dengan tindakan Zurin yang memperkenalkannya pada Aryssa.

“Mana nak kenal, kolej aku tu besar? Aku ingatkan abang kau! Sebab, tengah hari tadi aku nampak… Ah! Just forget it! Hai! Saya, Aryssa binti Alias…” balas Aryssa, berpura-pura terkejut.

Dilihatnya muka Fizal sudah berubah keruh saat dia menghulurkan tangan sambil memperkenalkan diri dan perkataan ‘binti’ ditekannya sedikit, biar lelaki itu tahu bezakan antara lelaki dan perempuan, jantan dan betina. Dia tahu Fizal sedang cuba mengawal pernafasannya.

“Ary, tolong pass burger ni!!” jerit Meor sambil memegang bungkusan plastik berisi pesanan Fizal.

Aryssa terus mengambil bungkusan burger dan cincau dari tangan Acid dan bungkusan itu diserahkan pada Fizal.

“Bagi awek makan burger je, bang? Elaun tak masuk lagi ke?” perli Aryssa sambil tersenyum.

Lelaki itu sudah mulai berpeluh pantas dia menghulurkan not merah, sepuluh ringgit.

“Keep the change!” kata Fizal tak mahu menunggu lagi, dia terus menekan minyak kereta dan Satria GTi kelabu metalik itu meluncur laju.

- Eleh! RM10 bolehlah keep the change, kalau RM100 ke, gempak juga… Aryssa senyum puas dapat mengenakan lelaki itu. Baru dia tahu, sesedap rasa je dia kutuk aku depan awek dia siang tadi.

*************************************************************************************

Alamak! Malu siot! Sumpah! Kalau aku tahu dia lepak kat situ aku tak jejak stall burger tu. Mesti dia dengan Meor to kamcing. Isk! Mana aku nak letak muka? Bukan aku tak mahu bawa awek-awek aku pergi restoran mahal. Lainlah kalau awek macam Lydia, aku belanja burger tepi jalan sure dia blah punya. Lagipun mama kedekut sikit sekarang ni. Semuanya kerana aku selalu keluar malam. Spoil! Yang si Zurin tu tergedik-gedik, kenalkan aku pada si betina-jantan tu. Si betina-jantan tu apa lagi, kemain lagi dia perli-perli aku. Tak apa, hari ni hari dia, mana tahu esok lusa hari Fizal, siaplah dia makan sindiran aku sampai menangis. Masa tu, aku nak tangkap gambar dia, nak jual dan tunjuk pada semua orang budak betina-jantan ni menangis sebab aku…

“Fizal, telefon… Lydia!” laungan mama membuatkannya tersentak.

- Lydia?! Alamak… macam mana aku boleh terlupa nak ambil dia. Ni semua pasal budak betina-jantan tu.

“Hello! Sorry, baby…I lambat sikit!” ucapnya. Memang dia terlupa untuk mengambil gadis itu pulang dari kelas aerobik. Awek ni memang high class, tapi kadang-kadang terasa macam dia jadi driver pula, setiap kali Lydia mahu keluar pasti dia yang dihubunginya.

“Sayang, apasal I call handphone you, tak dapat-dapat?” tanya Lydia, manja.

“Baby, kan I bagitau semalam, handphone I rosak…you tak ingatlah tu…Baby tunggu okey, lima belas minit lagi I sampai,” lembut suara Fizal memberitahu.

“Hmm…nanti kita beli yang lain, okey!” jawapan Lydia membuatkan Fizal tersenyum panjang. Kemudian dia mencapai kunci kereta dan bergegas keluar. Adakalanya dia sendiri terasa bosan bila terpaksa mempunyai jadual baru sejak berkawan dengan gadis itu. Mana tidaknya, setiap hari habis sahaja kuliah pasti ada aktiviti yang membuatkan Fizal terpaksa banyak korbankan masa dari menemani temannya yang lain. Isnin, Rabu dan Jumaat gadis itu ada kelas renang dan hari lain pula ada kelas aerobik, kalau tidak pun Fizal terpaksa menemaninya ke kelab tennis. Hujung minggu pula pergi menonton dan membeli belah, langsung tak punya masa untuk berseronok dengan gadis lain, bosan. Tapi adakalanya dia bangga bila bersama Lydia, siapa tak kenal anak Dato’ Hisham, ratu Kolej Dermaga yang sentiasa menjadi pujaan lelaki di Bandar ini.



BAB LAPAN

Berdekah-dekah Wani ketawa mendengar cerita Aryssa sampai berair matanya. Kisah Aryssa mengenakan Buaya Kolej Perdana itu memang menggelikan hati. Sememangnya, dia juga meluat dengan Fizal, lelaki yang suka mengatur gadis-gadis di kolej untuk dijadikan koleksi. Dia ingat semua awek dan Kolej Perdana ni tergila-gilakan dia kot! Mujurlah masih ada gadis yang tidak sewel akibat terkena panahan cinta bodoh lelaki itu.

“Aku tak dapat bayangkan muka dia masa tu, pucat giler… kalau toreh tentu tak berdarah!” tambah Aryssa sebelum meneguk Coke yang masih bersisa di dalam tin.

Sedikit pun dia tidak melangkau jalan cerita tentang Fizal kelmarin. Memang hatinya amat puas dapat mengenakan pemuda itu. Baru dia kena buku dengan ruas. Macamlah dia bagus sangat berlagak macam apa je… Kalau handsome sangat tu okeylah juga nak buat perangai kasanova, ini handsome sikit je dah tak sedar diri. Rasa macam nak muntah!

“Aku ingat, aku nak kenakan dia kaw-kaw punya! Kali ni dengan ini…” ujarnya sambil tersengih memegang telefon hijau tua itu.

“Kau nak crank call dia? What for? …” jawab Wani setelah menghabiskan sisa-sisa tawanya. Aryssa mengangguk.

“Yeah! Nak mengajar dia jadi lelaki mithali! But not now… kang dia syak aku pulakkan?”

“Kalau kau call dia nanti, kau nak cakap apa…?” tanya Wani kemudian membetulkan duduk sambil memeluk bantal.

Aryssa mengecilkan mata kemudian dia buat-buat ketawa macam orang jahat. Wani menyambung tawanya, gelihati dengan kelakuan kawannya itu. Wani tahu Aryssa akan membuatkan Fizal tak lena tidur. Dia tahu suara Aryssa pasti akan membuatkan Fizal ternanti-nantikan suara manjanya.

Mereka pernah mencubanya semasa di tingkatan tiga dulu, bagaimana Aryssa dapat memperasankan seorang budak lelaki yang konon-kononnya handsome sangat. Sampai budak itu teringat-ingatkan Aryssa dan yang paling melucukan bila mereka membuat satu temujanji, tapi mereka cuma melihat budak itu dari jauh. Berpeluh budak tu menunggu Aryssa di depan TGV, mujurlah kat shopping complex, ada air cond, kalau tak mahu budak tu pengsan!

“Teringat aku kat Jimmy, budak kacukan yang perasan handsome tu… berpeluh menunggu kau kat TGV. Tapi tak serik pula tu, ada hati nak date dengan kau lagi kan? Yang lucunya, dia boleh ikut semua syarat-syarat kau! Biul betul!” Wani dan Aryssa ketawa lagi.

Memang Aryssa tidak pernah lupa kisah itu, kisah dia dan Jimmy, mereka berkenalan melalui telefon tapi lelaki itu langsung tidak kenal dengannya, Aryssa merancang satu temujanji kemudian dia dan Wani mula mengintip. Kelakar betul, bila Aryssa meminta Jimmy memakai baju belang hitam putih bersama overall bewarna hitam, dan yang paling lucu, Jimmy menurut saja syarat Aryssa bila Aryssa memintanya memakai kaca mata berbingkai besar dan menyikat rambutnya ke tepi, kononnya Aryssa suka pada lelaki yang kelihatan nerd.

Walhal, lelaki itu tidak tahu, yang Aryssa sengaja buat begitu kerana, selama ini Jimmy perasan sangat macamlah dia yang paling handsome kat sekolahnya, sampai tak mahu kawan dengan budak-budak kelas pertengahan. Tak pasal-pasal diperbodohkan Aryssa! Padan muka! Aryssa memang anti dengan budak lelaki yang perasan begitu. Mahu sahaja dia mengenakan setiap budak lelaki perasan yang berada di sekolahnya, tapi dia hanya lakukan pada lelaki-lelaki perasan yang tahap kritikal macam Jimmy.

Paling dia tidak dapat lupa, bila dia dan Wani menangkap gambar Jimmy yang dalam keadaan nerd kemudian mereka fotostat dan lekatkan di dinding dewan sekolah. Hingga sekarang tidak ada siapa pun tahu semua itu perbuatannya dan Wani.



BAB SEMBILAN

Aryssa sudah mulai berang, sudahlah tayar motorsikalnya pancit, handphone pula kehabisan bateri, berpeluh dia menolaknya kerana jalan di sini berbukit-bukit, nak cari bengkel kat sini macam nak cari sebutir belian dalam pecahan kaca.

- Apa punya tempat la ni, nama je kawasan perumahan ni dahlah tak ada bengkel, public phone pun tak ada. Dahlah kawasan di sini berbukit bukau, mampus aku menolak motor sampai ke jalan utama.

Tiba-tiba sebuah Honda Accord berhenti di sebelahnya. Seorang wanita yang kelihatan anggun berbaju kurung hijau muda tersenyum memanggilnya..

“Hai! Aryssa… motor rosak ke?” teguran itu membuatkan Aryssa menoleh, mak cik Salina keluar dari keretanya itu. Aryssa cuma mengangguk seraya menjawab.

“Pancit mak cik…kat sini kat mana bengkel yang dekat mak cik? Nak telefon pun bateri weak…” Aryssa mengesat peluh yang tidak henti menitik dari dahinya. Remang tengah hari benar-benar telah membakar kulit.

“Jauh Ary, kat bawah sana! Tak pe, Ary ikut mak cik balik rumah. Nanti makcik call anak buah mak cik, tunda motor Ary… Dia ada bengkel kat bawah tu…” pantas jari mak cik Salina mendail telefon.

Aryssa cuma akur dengan cadangan itu. Mujur ada mak cik yang peramah ni. Kalau tidak masak dia tengah-tengah hari begini.

“Duduk lah, inilah rumah mak cik. Time macam ni, mak cik tinggal seorang, tadi mak cik hantar anak dara mak cik, si Nurul ke tempat tuisyen!” ramah Salina berbicara macam bertih goreng.

“Tadi, Ary nak ke mana?” sambungnya lagi.

“Pergi rumah kawan mak cik…” bohongnya, takkan dia nak cakap nak pergi melepak.

Aryssa mulai mencapai gelas yang berisi jus oren yang dihidang Salina. Haus di kerongkongnya tidak akan dibiarkan lama. Naik kering tekak menolak motor mencari bengkel di kawasan perumahan elit itu.

“Makan tengahari di sini ye. Tak lah mak cik makan sorang… Anak jantan sorang tu malam karang barulah nampak batang hidung…” pelawa Salina sambil menuju ke dapur.

Aryssa tahu ‘anak jantan’ yang dimaksudkan adalah Fizal. Mana nak nampak batang hidung, dia sendiri pening nak mengatur masa untuk dating dengan awek-aweknya. Salina tidak henti menceritakan perihal anak-anaknya. Habis dibawanya Aryssa melawat rumahnya. Mulutnya yang ramah itu adakalanya membuatkan telinga Aryssa penat.

Selepas makan, dia masih menunggu motorsikalnya dihantar oleh Bandi, anak buah Salina. Salina tak habis lagi bercerita, kali ini mengenai Fizal, anak bujangnya yang sulung itu. Habis semua riwayat hidup si Fizal keluar dari mulut Salina. Tak cukup kisah hidup, sampai makanan, hobi dan macam-macam lagilah.

“Fizal tu Ary, nama je anak sulung, tapi manja mengalahkan anak bongsu. Kadang tu rimas mak cik dengan perangainya. Tapi kan, Ry, dia rajin menolong, kemas rumah, basuh pinggan. Itupun kalau dia ada di rumahlah! ” cerita Salina lagi.

Tidak berhenti mulutnya berceloteh tentang anak lelakinya itu. Siap disuakannya gambar-gambar Fizal masa kecil hingga besar. Apa sahaja kegemaran anak lelaki itu keluar dari mulut Salina.

- Ai… mak cik ni macam promote anak je… takkan nak jadikan betina-jantan ni menantu kot. Mau meraung anak jantan mak cik tu, bila tengok muka saya…

Aryssa menahan gelihati. Bukan kerana cerita mak cik tu, kerana teringatkan peristiwa kelmarin. Dia kemudian lega bila Bandi datang menghantar motorsikalnya. Aryssa ingin membayar, tapi di halang Salina kerana dia yang mahu membayarnya.

“Terima kasih mak cik! Menyusahkan mak cik je…” ucap Aryssa.

“Eh! Tak ada susahnya. Lain kali jangan segan-segan datanglah rumah mak cik ye! Bila-bila masa pun tak apa! Pintu rumah ni terbuka untuk Ary. Balik nanti kirim salam pada mak…” ucap Salina ramah.

Aryssa terus berlalu meninggalkan banglo atas bukit itu, terus menghubungi Wani, mengajak temannya itu keluar, kalau dia balik rumah terus, emak dan ayahnya bukannya ada, mereka pergi menghadiri majlis ulangtahun syarikat tempat ayahnya bekerja, lagipun dia sudah memberitahu orang tuanya terlebih dahulu.

Selepas sahaja mengambil Wani di rumahnya, mereka keluar melepak di kompleks membeli belah. Mengambil tempat duduk di food court sambil minum-minum dan memerhatikan gelagat manusia di sekeliling mereka.

Memang itulah hobi mereka bila ada kelapangan. Duduk-duduk sambil memerhati pelbagai gelagat manusia yang juga berpeleseran di sini.

“Ary, jom main game! Kita racing, siapa menang dia belanja makan!” ajakan Wani dibalasnya dengan cebikan.

“Malas aku, asyik aku je yang selalu menang…kau suka main tipu,” balasnya.

Memang benar kata Aryssa, kadangkala Wani sengaja mengalah lepas tu Aryssa kena bayar untuk makanan dia.

- Sudah lah tu makan banyak pula tu, tak cukup sepiring chee cheong fun, dia makan pula sizzling mee lepas tu asam laksa pula, perut macam tong sampah! Yang hairannya si Wani ni tak pula gemuk-gemuk, badan tetap cikeding macam cicak kubing, entah-entah dia bela hantu raya kot.

“Okey, kalau macam tu siapa kalah, dia belanja…” Wani masih tidak mahu mengalah.

“Eleh, kau tahu aku makan tak banyak mana, beranilah kau!” jawab Aryssa. Wani ketawa, memang Aryssa tidak makan banyak.

Mereka terus berbual dan adakalanya ketawa melihat gelagat remaja di situ. Tiba-tiba sahaja Wani meletakkan jari ke bibir mengisyaratkan diam pada Aryssa. Aryssa mengangkat kening bila mendengar perbualan sepasang kekasih di meja bersebelahan meja mereka. Tempat itu agak tersorok dan sedikit sunyi sehingga mereka dapat mendengar apa yang diperbualkan pasangan tersebut.

“Jay, kenapa you buat macam ni pada Ayu? Apa salah Ayu? Kenapa you tiba-tiba je nak tinggalkan Ayu, selama ni Ayu sayang sangat pada you, Ayu tak kisah kalau you ada girlfriend lain…” rayu gadis itu dalam sedu tangisan.

Mereka nampak seorang gadis yang mempunyai beberapa parut yang belum sembuh di wajahnya, gadis itu menangis dan merayu pada lelaki yang amat mereka kenali, Fizal. Mata lelaki itu meliar bagaikan takut kalau-kalau ada orang ternampak dia dengan gadis bernama Ayu itu. Mereka langsung tidak berganjak untuk melihat drama swasta yang dilakonkan secara langsung di hadapan mereka.

“Please Ayu, I cant’ staying with you anymore, lagipun sejak you accident muka you berparut macam ni, hie! I malu tahu tak? Please lah Ayu, carilah orang lain, lagipun selama ni we are just a friend! Tak lebih dari itu, cuma you je yang suka lebih-lebih!” ujar lelaki itu, terus mempertahankan diri.

“Tapi, dulu you kata you cintakan I, Jay. Please don’t do this to me… I really need you! I really love you…I sanggup buat apa saja asalkan you bersama I… I sanggup pergi Singapore for surgical operation… Please, don’t leave me, Jay. I really love you…” rayu gadis itu lagi, sambil memegang lengan lelaki di hadapannya.

Masih menagih simpati meminta lelaki itu tidak pergi darinya. Kenapalah perempuan bernama Ayu itu selemah ini. Masih sanggup bermuka sedih menagih kasihan dari lelaki yang berhati busuk ini?

“Hei! Bukan I yang tergila-gilakan you tau. Tapi you tu yang terhegeh-hegeh datang goda I. Please la Ayu, I said no! Don’t you understand? I tak mahu apa-apa hubungan dengan you lagi! I dah menyampah tengok muka you yang dah buruk tu! Is it clear?!” tengking lelaki itu lagi sambil menepis tangan gadis itu.

Lelaki sombong itu terus berlalu meninggalkan gadis yang sedang menangis teresak-esak sendirian sambil mulutnya merintih dengan suara yang amat perlahan.

- Kejamnya mamat ni… kurang ajar! Dah dia ayat awek tu dulu, bila awek tu dah buruk dia nak tinggalkan macam tu je? Apa punya jantanlah!

“Ary, aku rasa memang bagus kalau kau nak kenakan dia, tak guna punya jantan. Macam tu je dia blah! Apa punya jantan lah macam tu? Tak gentlement langsung!” bentak Wani, hatinya geram melihat lelaki itu.

Tangannya dikepal dan dia menumbuk meja tanda protes terhadap perlakuan Fizal. Harap muka saja handsome, perangai macam sial!

“Don’t worry, Wani, lepas ni dia akan rasa penangan Aryssa pula. Kalau dia boleh jadi Play Boy Malaya, ini Aryssa~”

“Awek paling Jiwang Karat di dunia!” pantas Wani menyambungnya lantas ketawa.

Aryssa mengetap bibirnya, geram dengan gurauan Wani. Tapi dalam hatinya terasa mendendami lelaki sombong tadi, tidak di sangkanya lelaki kacak yang menjadi kegilaan gadis dikolejnya punya hati yang sekejam itu.

Kenapalah ada lelaki sehina itu, setelah dia menabur kata cinta pada si gadis, tiba-tiba dia pergi setelah gadis mendapat malang. Kesian si Ayu wajahnya sudahlah tidak ayu lagi kekasih hati pula melarikan diri, sudah jatuh ditimpa tangga.



BAB SEPULUH

Hari ini saja sudah tiga kali dia cuba telefon lelaki itu, tapi jawapannya sama, Fizal tak ada! Kelmarin dia telefon pun tak ada, semalam telefon pun tak ada. Ini betul punya Romeo, sampai tak ada masa duduk rumah. Aryssa merenung jam dinding, tepat pukul 10:00 malam. Tangannya sekali lagi menekan butang-butang nombor telefon hijau tua itu.

“Hello! Assalamualaikum… Fizal ada?” suaranya sengaja dilembutkan.

“Ye… Fizal bercakap, siapa tu?” jawab suara di sebelah sana.

Yes! Bingo!

“Amboi! Susah nak bercakap dengan awak ye… tak ada memanjang! Busy mengalahkan Perdana Menteri. Kalau ada secretary boleh gak saya buat appointment…ni tak ada pula. Nasib baik mak awak baik hati, sudi ambil panggilan saya…” tanpa menjawab pertanyaan Fizal, Aryssa terus membebel.

“Kalau iya pun, kenalkan diri dulu… Saudari ni siapa?” Alamak! Formal la pulak! Siap saudari, saudara…

“Ops! Sorry…saya Rina, Syarina Wirdayu…boleh saya berkenalan dengan saudara? Itupun kalau saudara sudi… kalau tak sudi, tak apa! Saya letak telefon~”

Aryssa tahu, taktiknya itu pasti mengena. Entah dari mana datangnya nama Syarina Wirdayu, tetiba je terkeluar dari mulutnya. Tapi sedap juga nama tu…

“Ops…jangan la letak dulu. Macam pernah dengar suara ni… Kat mana ye?”

- Takkan dia kenal suara aku? Kacau! Macammana dia boleh cam suara aku, rasanya baru sekali je aku cakap dengan dia.

“Kat radio lah tu… ada orang kata suara saya sebijik suara Siti Nurhaliza…eh! Betul kot?” Nasib baik dia pandai meloloskan diri.

“Eleh, perasan! Ni Liza ni, menyamar jadi Rina pula. Dah lah Liza, Jay baru je balik ni, penat tak hilang lagi, esok je kita keluar ye…” teka lelaki itu.

Liza? Yang mana pula ni? Berapa banyak awek la yang dia ada… betullah kata Wani lelaki ni memang romeo, bukan! Buaya darat sebenarnya. Tak boleh buat suami, jantan gini, silap-silap kena tiga-empat kali bermadu itu tak masuk yang mutaah lagi tu.

“Liza mana pula ni… nama saya Syarina Wirdayu! Tu alasan la tu… tak nak borak lama-lama! Okeyla… besok tunggu saya call, pukul 10:00 malam okey! Bye!” Aryssa letak telefon.

Nampaknya first step nya agak berjaya. Dia akan pastikan Fizal tangkap lentok padanya. Aryssa masih ingat dengan kata-kata Fizal yang dia tak ada selera dengan gadis macam Aryssa… Bermula malam ini Aryssa akan membuat Fizal sentiasa berselera untuk mendengar suaranya.


*************************************************************************************

Siapa pula yang nak bermain teka teki dengan Fizal? Nak kata Liza, suaranya memang sama tapi masa ketawa lain pula, lagipun Liza tak banyak cakap, tapi Si Syarina Wirdayu ni pula, banyak mulut. Siapa nak kenakan aku ni? Getusnya, keliru.

Bukan Fizal takut, tapi confuse dengan identity perempuan ni, ni mesti kes nak kenakan Fizal, kononnya nak ayat Fizal, lepas tu report pada awek-awek Fizal yang lain. Biasalah taktik orang perempuan ni, dua puluh empat jam nak menguji. Tidak pun ada yang menaruh hati tapi takut untuk menyatakan perasaan, takut tak diterima, mungkin. Tapi kalau personality okey, fotogenik ke, takkan Fizal nak menolak, memang hobinya mengumpul seberapa banyak gadis yang boleh.

Adakalanya dia rasa tidak sedap hati, tentu ada seseorang yang mahu mengenakannya, pasang perangkap padanya. Malam esok dia akan tunggu gadis itu menghubunginya. Dia akan korek rahsianya sampai dapat. Kalau gadis itu sengaja mahu mempermainkan aku, dia sudah tersilap langkah.

Fizal akan perangkap dia balik, dia tak kenal lagi siapa Fizal sekali dah dengar suara Fizal, sampai bila-bila tak mahu lepaskan. Maklumlah, Fizal kan lelaki paling romantic abad ini!

**********************

“Hello! Boleh~”

“Fizal cakap!” balasnya tanpa lengah, bila terdengarkan suara seorang gadis di hujung talian.

Dia melirik jam dinding, tepat jam 10.00 malam, ni mesti budak semalam ni. Semalam budak perempuan itu yang janji akan menelfonnya jam sepuluh.

“Mesti saudara tunggu panggilan saya ye? Maknanya saudara sudi berkenalan dengan saya… Salam perkenalan dari saya…” lajunya budak ni bercakap.

“Bukan tunggu panggilan awak, tapi setiap call in semuanya untuk Fizal…by the way panggil saja, Fizal. Tak payah ‘saudara-saudara’ rimaslah, macam teater bangsawan pula, Fizal panggil Rina, boleh?” usul Fizal.

Memang dia lemas dengan perkataan tu, saudara-saudari, tuan-tuan dan puan-puan, formal!

“Ok! Nice name for a nice guy! Rina pun tak suka ber ‘saudara-saudari’ ni, tapi semalam awak mulakan panggil Rina, saudari. Tu pasallah! Ye ke awak tak tunggu panggilan Rina ni? Apasal ada kat rumah pula hari ni, selalu Rina call tak ada memanjang…” soalan itu membuatkan Fizal terdiam, Syarina ni memang suka menembak kot.

“What ever! Sekarang Fizal nak tahu di mana Rina dapat nombor ni? Umur Rina berapa? Rina tinggal kat mana? Apa nombor telefon Rina? Kenapa Rina nak berkenalan dengan Fizal? Siapa~” tidak sempat habis tanya, dia potong.

“Opss… Chup! Chup! Banyaknya soalan, ada talian hayat tak?”

Dia buat lawak Jalaluddin Hassan la pulak. Fizal ketawa lagi. Memang dia terasa lucu dengan soalan Syarina.

“Tak ada… jawab semua dalam masa lima saat!” tegasnya, sekadar memberi ujian.

“Soalan satu jawapannya A, nombor dua A juga, soalan tiga~”

“Itu jawapan ke hapa tu?” berkerut dahi Fizal cuba memahami jawapan itu. Lawak budak ni makin melampau pula.

“Rina jawab dalam objektif la…” jawapan suara itu membuatkan Fizal ketawa lagi, kali ini bertambah kuat.

- Memang budak ni loyar buruk betul! Jawapannya pun comel sangat. Ish, dah kenapa Fizal ni terbekenan pula dengan suara budak misteri ni.

“Rina, please be seriously!” pinta Fizal, sengaja dia buat-buat serius,. Memang dia ingin tahu jawapan bagi setiap pertanyaannya. Dia mahu pastikan siapa sebenarnya gadis ini, begitu misteri!

“Rina nak berkenalan dengan Fizal kerana Rina tahu Fizal perlukan kawan macam Rina,”

- Ok-oo… nampaknya gadis ni dah tersilap channel, mana ada perempuan yang hanya sanggup jadi kawan Fizal. Aku pun tak pasti aku perlukan dia jadi kawan atau lebih dari itu… tapi kalau Fizal perlukan lebih dari kawan, gadis ini pasti tak menolakkan.

“Nombor ni, Rina cari… tak payah la Fizal nak tau Rina tinggal mana, nombor telefon berapa, makbapak siapa, nama kucing apa? Yang penting Fizal akan dapat berbual dengan Rina setiap malam jam 10:00 secara percuma… setuju?” jawab suara itu lagi.

Kali ini Fizal mula pening kepala. Mulanya dia ingat nak mengena, rupanya budak ni lagi terror, siap bagi perkhidmatan percuma nak call Fizal tiap malam.

“Tak gerek la borak-borak dalam telefon, kita jumpa nak? Besok pukul 4:00 Fizal tunggu di café kat City Center …deal?”

Kenapa mesti nak sorok identity, ni kes nak tipu orang ni. Nampaknya gadis itu macam nak memerangkap Fizal. Tidak mengapa, Fizal akan layan sampai habis, sampai dia mengaku kalah dan yang penting sampai dia mengaku siapa dia sebenarnya.

“Esok, tak bolehlah. Rina tak boleh keluar rumah sampai akhir tahun… Tahun ni Rina ada exam. Lepas exam Rina boleh jumpa Fizal! Tak lama kan? Lagi sepuluh bulan je. pejam-celik, pejam-celik…”

Kukuhnya alasan dia. Perempuan memang begini, hidup mereka penuh dengan alasan. Kalau tidak ada alasan mungkin mereka tidak mampu untuk meneruskan hidup agaknya.

“Tak pun Rina e-mail kat Fizal… lepas tu Rina e-mail sekali gambar Rina ok!”

Apa pula alasannya lepas ni? Dia ingat dia bijak sangat nak bagi banyak alasan? Heh! Perempuan, ini Fizal lah, jaguh wanita seantero Negara… tidak pernah ada mana-mana gadis yang akan menolak cinta lelaki ini tahu!

“Fizal nak tengok sama ada Rina ni cantik ke tak ye…! Kita tak perlu memilih paras rupa untuk membina sebuah persahabatan, keikhlasan itu lebih penting jadi kalau Fizal tak jujur dengan diri sendiri, Fizal tak akan mampu mendapat seorang sahabat yang baik…” balas perempuan itu lagi.

Isk! Terkena lagi… Syarina ni pandai tembak orang. Asal dia tembak pasti Fizal terkena balik. Tapi betul ke Fizal perlukan seorang sahabat, yang Fizal tahu selama ni semua perempuan mahu menjadikannya teman lelaki. Adakalanya Fizal macam barang pameran pula, bila masing-masing macam megah dan menunjuk-nunjuk pada teman mereka yang lain yang mereka pernah keluar dengan Fizal. Tapi adakah mereka semua jujur berkawan dengan Fizal?

“Kalau Rina ikhlas sangat, tunjukkanlah diri Rina. Kalau tak, Rina pun tak jujur pada Fizal juga, mana tau Rina sengaja nak main-mainkan Fizal…” Tapi dia juga tak tahu yang Fizal juga seorang penembak terbaik.

“Belum tiba masanya… jangan risau, Rina tak suka mempermainkan orang. Lagipun, Rina lebih senang berbual dalam telefon… Fizal jangan risau, sepuluh bulan lagi kita jumpa… Okeylah! Rina nak masuk tidur, Assalamualaikum!” ucap suara itu.

Dia nak letak telefon pula, sajalah tu sudah tidak ada idea nak menipu, mulalah bagi alasan lagi, nak tidurlah, konon.

“Eh! Nantilah…belum habis cakap lagi…”

Dia masih tidak puas berbual dengan gadis itu. Banyak lagi yang mahu ditanyakan, banyak lagi yang dia mahu tahu, siapa da sebenarnya, apa dia mahu dari Fizal. Andai dia mahukan cintaku, aku sudah lama bersedia Syarina Wirdayu…

“Esok kita sambung, bye!” klik! Belum sempat nak kata apa-apa talian hujung sana dah terputus.

- Amboi seronoknya dia! Main letak je telefon, siapalah minah ni? Macam nak kenakan aku je, tapi berbual dengannya lebih seronok jika dibandingkan bila Fizal berbual dengan awek-aweknya. Perempuan yang Fizal kenal bila berbual, tak ada perkataan lain…sayang, rindu…kadangkala rasa mual juga. Tapi nak jaga reputasi punya pasal… nanti member yang lain tak respect pula dengan Fizal.

Maklumlah Fizal kan Romeo Perdana College, mana ada gadis yang pernah menolak cinta Fizal. Belum ada lagi gadis yang sanggup mengatakan ‘tak nak’ pada Fizal. Fizal akan pastikan Syarina Wirdayu juga tidak terlepas darinya. Dia akan memerangkap gadis itu, sehingga gadis itu mengaku kalah dan tunduk padanya… bersiap sedialah Syarina Wirdayu, kau akan dapat merasa secebis dari cinta ‘suci’ ku!

655 Views | 7 Comments | Rating: (2 rates)

(7 Comments , 0 are new)
1 Re: Bab 6 -- Bab 10 by caluk on March 14, 2008, 12:27:35 PM
tolong rate kan citer nie yer
2 Re: Bab 6 -- Bab 10 by anyss on March 14, 2008, 01:52:25 PM
jalan cerita makin bes, Dina...tahniah.
Menarik. Ayat segar. dialog selamba n mengesankan.
3 Re: Bab 6 -- Bab 10 by dina on March 14, 2008, 02:43:15 PM
ye ke ni nyss... aku akan anggap pujian ko satu azimat utk lebih maju TQ
4 Re: Bab 6 -- Bab 10 by caluk on March 15, 2008, 12:59:17 PM
jgn jadi lalai dah ler he he
5 Re: Bab 6 -- Bab 10 by dina on March 18, 2008, 12:50:27 PM
InsyaAllah tak lalai
6 Re: Bab 6 -- Bab 10 by caluk on March 20, 2008, 12:33:36 PM
Sapa Syarina Wirdayu gadis misteri dlm hidup Fizal ? Bacalah kalau nak tahu
7 Re: Bab 6 -- Bab 10 by dina on May 23, 2008, 05:09:24 PM
misterinya...
Commenting option has been turned off for this article.