BAB SEBELAS
Kepalanya terangguk-angguk mengikut rentak muzik techno yang dimainkan. Parti sambutan hari lahir Danny memang meriah. Kebanyakan yang hadir adalah teman-teman yang seangkatan dan se ‘species’ dengannya, gadis tomboy dan pengkid. Perempuan yang berlagak lelaki, sama juga seperti Aryssa. Kebanyakan yang gadis sejati yang datang pula berpakaian seksi dan menggiurkan. Mereka menari dengan pasangan masing-masing.
Aryssa ketawa sendiri, kononnya pengkid ni brutal sangat tapi… sambut birthday pula! Biasanya yang sambut Birthday ni awek yang manja-manja je…
Aryssa sejak tadi duduk di meja yang paling tepi sambil memerhatikan gelagat temannya yang lain. Sejak dua tiga hari lepas Danny bersungguh-sungguh mengajaknya ke parti itu. Yang paling merimaskan bila Danny memperkenalkannya pada Linda, gadis seksi yang tergila-gilakan Aryssa. Benar apa yang dikatakan Wani, Linda memang cantik jelita. Macam model dan pelakon Rita Rudaini. Mana-mana lelaki yang memandangnya pasti cair dengan godaannya.
Linda yang sejak tadi cuba menggodanya dengan lirikan manja. Tambahan bila Aryssa kelihatan ‘handsome’ walaupun hanya mengenakan jeans dan T-shirt Polo dengan kolar yang tegak tidak berlipat. Gel yang dipakai membuatkan rambutnya terpacak ke atas. Menambahkan gayanya seperti seorang lelaki macho
“Ary, jom kita menari… dah lama Linda teringin sangat menari dengan you…” ajakan Linda ditolak dengan sopan.
“I tak pandai menari… Sorry, you ajak orang lain ye… kan banyak balak yang ajak you menari,” tolaknya. Takkan aku nak menari dengan perempuan, yakh!
“Kalau I nak menari dengan diorang, dah lama I pergi. I nak menari dengan you… Come on Ary!” pinta gadis itu lagi.
Kali ini dia menarik tangannya dan menyorong badannya rapat ke tubuh Aryssa. Digeselnya buah dadanya ke tubuh gadis itu. Gadis tomboy itu cuba menghindarnya, dia menolak perlahan badan Linda yang semakin rapat padanya. Kemudian Linda mula mendekatkan bibirnya ke bibir Aryssa. Aryssa mulai panic.
“Jangan buat macam ni…! Malu orang tengok!” Cepat-cepat Aryssa menolak lembut muka Linda.
“Okey, kita buat kat rumah I… Jomla, I dah tak sabar ni…” rengek Linda, manja dan memberahikan jika ada lelaki yang memandangnya. Tapi tidak pada Aryssa. Gadis itu menjengkelkannya. Gila! Linda memang dah gila agaknya. Aryssa mula memikirkan alasan untuk menyelamatkan diri.
“Malam ni, tak boleh la… apa pula kata Danny nanti! Kan ini party dia, kecik pula hati dia kalau kita tinggalkan! Lain kali ye…” balasnya, masih lagi berlembut.
- Hi ye! Yakh! Macam mana aku boleh terlibat dengan perempuan yang dah songsang ni? Ya Allah! Selamatkanlah aku!
“Okey, lain kali… tapi bagi I kiss sikit!”
Linda masih buat muka menggoda sambil menjilat bibirnya yang merah. Sekali lagi Aryssa mengerut dahi dengan permintaan Linda. Takkan aku nak bercium dengan dia? Dia bukan sahaja tidak tergoda dengan permintaan itu tapi dia berasa teramat geli dan jijik. Masakan Aryssa mahu membenarkan bibirnya dijamah oleh perempuan gila di hadapannya. Never!
“Pipi je ye…” tanpa menunggu lama, Linda mencium pipinya, rakus. Meremang bulu roma Aryssa. Kalau dia tahu perkara seperti ini akan terjadi, sumpah dia tidak datang.
*************************************************************************************
Seperti malam-malam sebelumnya Fizal menanti lagi panggilan dari si misteri Syarina Wirdayu. Seronok betul berbual dengan gadis itu, lucu dan menghiburkan. Siapalah dia agaknya ye? Bagaimana rupanya? Tepat 10:00 malam telefon berdering, cepat-cepat dia mencapainya.
“Hello! Nak cakap dengan siapa?”
Dia sudah tahu siapa di hujung talian. Tapi masih mahu bertanya. Mungkin kali ini orang itu akan menyamar sebagai orang lain pula.
“Hello! Hospital Sakit Jiwa Tanjung Rambutan ke?”
“Eh! Bukan, salah nombor ni…”
- Orang salah nombor pula, ada ke hospital sakit jiwa. Tak sekolah punya orang!
“Tak kisahlah, saya nak cakap dengan pesakit jiwa bernama Fizal…” jawab suara itu. Baru Fizal sedar dia dipermainkan lagi. Macamana dia tak boleh cam suara Syarina.
“Ooo… Rina kenakan Fizal lagi ye! Sampai hati Rina kata Fizal sakit jiwa…Fizal tak ada moodlah nak cakap dengan Rina” Fizal pura-pura merajuk.
“Ala, janganlah marah! Tak boleh gurau pergi surau!” gadis itu ketawa terbahak-bahak. Geram betul Fizal bila dengar dia ketawa, comel sangat.
“Fizal tengah buat apa tadi? Tunggu Rina call ye!”
“Eh tak adalah, kebetulan Fizal nak keluar, tetiba telefon bunyi, Fizal angkatlah!”
- Takkan nak bagitahu dia Fizal memang tunggu dia call. Jatuhlah saham Fizal, tunggu awek call. Sebab selama ini Fizal tidak pernah mengejar perempuan, hanya perempuan yang mengejar Fizal.
“Eleh tipu, Rina tahu Fizal tengah duduk kat sofa sebelah telefon tu kan? Kemudian Fizal pasang CD lepas tu, Fizal tunggu telefon warna merah atas meja rotan tu berbunyikan?” tekaan Syarina memang tepat.
- Tadi Fizal memang pasang CD, lepas tu Fizal duduk di sofa ni dan Fizal tunggu telefon merah di atas meja rotan… Ok oo… mana dia tahu telefon kat rumah ni warna merah dan meja tu meja rotan? Ke dia ni orang yang Fizal kenal dan pernah datang rumah ni. Biar betul budak ni, orang ke momok ni?
“Eh! Mana Rina tahu telefon ni warna merah, meja ni buat dari rotan? Rina pernah datang rumah Fizal ye? Rina ni siapa sebenarnya hah? Baik Rina cakap kat Fizal kalau tak Fizal letak telefon!” Fizal buat-buat garang. Sebenarnya dia sendiri tidak sanggup hendak meletakkan telefon. Bila terdengar suara Syarina, hatinya bagai tertawan pada suara itu.
“Sebenarnya Rina ada di sebelah Fizal, kalau tak percaya cuba Fizal tengok kat tepi dinding tu, ada cerminkan? Fizal perhatikan betul-betul dalam cermin tu, Rina ada di situ!” bisik gadis itu, dia buat suara seram pula.
Fizal telan liur, dia mula mengintai ke arah cermin di dinding, mana tahu entah-entah perempuan ni puntianak ke, drakula ke… Namanya pun pelik juga, Syarina Wirdayu, ala-ala nama momok tu…
Sedang Fizal cuba melihat ke arah cermin di dinding, kedengaran gadis itu ketawa sekali lagi.
“Fizal percaya cakap Rina? Rina pakai teori biasa je, kat rumah Rina, telefon terletak di ruang rehat dan warnanya merah, ruang rehat ni ada sofa dan Hi-Fi. Meja rotan tu Rina tembak je,” terangnya satu persatu.
Lega Fizal, Fizal ingatkan dia ni momok ke tidak pun orang yang Fizal kenal dan sengaja nak kenakan Fizal.
“Rina ni buat lawak seram pula. Tapi teori Rina tu tepatlah! Terrorlah Rina ni!” puji Fizal, seram juga dia tadi.
Mana tidaknya seorang yang tidak pernah dikenali dan tidak pernah berjumpa tiba-tiba tahu pula segala-galanya tentang dia. Gadis ini memang teramat misteri.
Syarina Wirdayu ni memang misteri, pandai berjenaka, suka ketawa dan pandai menembak. Sasarannya pasti mengena. Suaranya juga lembut dan menawan. Kata orang kalau suara best muka tak cune, kalau muka cune suara pula tak best. Betul ke tidak Fizal tak pasti, tapi yang pastinya suara Syarina membuatkan Fizal merinduinya setiap malam.
Bukannya Fizal jatuh cinta, tak mungkin! Fizal belum bersedia untuk bercinta, semua awek-awek tu Fizal layan sama saja, mereka yang lebih-lebih, sayanglah, rindulah sampai kadang-kadang Fizal rasa nak muntah bercakap dengan mereka. Fizal sendiri kadangkala takut juga kalau-kalau ada di antara teman-teman perempuan yang pernah ditinggalkannya dulu menyamar dan mempermainkannya seperti mana yang pernah dilakukannya pada mereka dahulu. Semenjak di bangku sekolah rendah lagi dia memang disukai perempuan, ramai yang suka mengambilnya jadi adik angkat dan abang angkat. Mungkin kerana wajahnya yang keanak-anakan waktu itu. Apabila dia dewasa, wajahnya semakin menggoda ramai gadis.
Pantang dia menegur, mulalah si gadis itu mahu berkenalan, bertukar nombor telefon dan mengajaknya keluar. Lama-kelamaan dia suka begitu, didampingi gadis jelita ke sana-ke mari. Fizal lantas membuka album gambar, banyak gambar-gambar gadis yang pernah didampinginya. Ada yang masih terus menghubunginya, ada juga gadis yang Fizal tak ingat langsung namanya. Fizal usung mereka ke sana-sini, menayang pada kawan-kawan yang lain betapa Fizal hebat dalam memikat perempuan. Hingga hari ini Fizal tetap berjaya, tidak ada antara teman wanitanya yang bergaduh sesama sendiri kerana merebutnya. Malah mereka sendiri cukup bersyukur sekurang-kurangnya Fizal sudi berkawan dengan mereka.
Aryssa menggalas beg di bahu dan kaki mula melangkah menuju ke arah Wani yang sedang duduk bersendirian di tepi padang. Wani selalunya datang lebih awal darinya kerana ayahnya yang akan menghantarnya ke kolej. Bila habis kuliah pula, biasanya Aryssa akan menghantar Wani pulang ke rumah.
“Berangan je kerja kau! Dah tak ada kerja lain?” sergah Aryssa. Dia merampas majalah hiburan di tangan Wani. Tertera gambar Syawal AF5 yang diminati ramai kerana kekacakannya.
“Handsome ye, Ry… kalaulah aku dapat jadi awek dia! Gempak satu Malaysia!” Wani tersengih menatap wajah lelaki idaman Malaya itu.
“Banyaklah kau punya Syawal… Zastri yang tak berapa glamour tu pun tak dapat nak tackle… ada hati nak tackle Syawal…” ejek Aryssa.
Wani ni bukannya tidak cantik, tapi memilih sangat. Bukannya tidak pernah ada lelaki yang suka padanya, dia yang suka jual mahal. Dulu semasa di sekolah menengah, pernah ada seorang budak lelaki meminati Wani, Haikal namanya. Mulanya Wani jual mahal, selalu mengelak bila setiap kali Haikal hendak berjumpa. Entah macam mana pada pertengahan tingkatan lima, Haikal mengikut keluarganya berpindah ke Johor sebab bapanya tu bertugas sebagai tentera. Lepas tu Wani juga yang kecewa tertonggeng bila Haikal pindah.. Sejak itulah Wani tak mahukan orang lain kot!
“Kau tak risau ke nak exam ni. Masih lagi baca majalah?”
Aryssa melipat majalah hiburan itu dan meletakkan ke tepi. Dibukanya nota kecil bagi menghafal nota yang bakal disoal dalam kertas peperiksaan. Minggu lepas ujian praktikal, minggu depan pula ujian teori akan dijalankan. Dia tidak mahu gagal. Semester pertama dulu Aryssa lulus cemerlang.
“Eleh! Mengata aku konon. Aku dah prepare awal-awal, ni dalam otak aku ni, dah penuh dah jawapan yang bakal disoal. Kau tu pergi birthday Danny tak ajak aku! Apa kau buat dengan Linda malam tu? Cerita panas ni…” giat Wani. Dia telah mendengar macam-macam cerita dari kawan-kawan mereka yang hadir dalam majlis itu. Macam-macam cerita keluar tentang Aryssa dan Linda. Tapi dia memang tidak mempercayainya. Wani kenal sangat siapa Aryssa. Dia bukanlah seperti yang mereka sangkakan. Hanya luarannya sahaja nampak macam lelaki tetapi jauh di sudut hati sebenarnya Aryssa adalah perempuan sejati.
“Apa yang kau dengar?” soal Aryssa, seperti mengetahui apa yang terkandung dalam fikiran Wani.
“Kau dan Linda ehem-ehem ye!” tawa Wani semakin lama semakin kuat. Cepat benar cerita itu menjadi bualan. Nasib baiklah, mereka bukan sekolej, Danny dan Linda hanyalah kawan mereka di luar kolej. Jika tidak pasti cerita itu menjadi bualan hangat dan kaki gossip di kolej ini pasti menokok tambah perisa bagi menyedapkan cerita. Sungguh memalukan!
“Hiee yer!” ucap Aryssa bila tiba-tiba dia teringatkan pipinya dijamah rakus oleh bibir mungil Linda. Dia benar-benar kegelian. Alangkah jijiknya jika Linda mengucup bibirnya. Yerkh!!! Tidak dapat dibayangkan lagi.
“Tu lah, kau juga yang salah. Cuba kau datang pakai skirt ke, baju kurung ke! Barule tak kena cabul dengan kaum sejenis!” ulas Wani. Kasihan juga dengan Aryssa, kalau tidak kerana dia perlu menemani neneknya di rumah, pasti dia dapat menyelamatkan Aryssa dari digoda Linda.
“Cabul? Dia cium pipi gebu aku ni je lah! Pandai-pandai je kata aku kena cabul!” kata Aryssa sambil menepuk-nepuk pipinya. Wani ketawa lagi. Memang dia tahu orang lain suka menambah cerita. Sengaja dia menyakat Aryssa dengan perkataan cabul itu.
“Aku tahu, takkan sampai ke bilikkan? Tapi pedulikanlah! Aku tahu kau bukan macam tu, tapi tak tau pulak kalau kau dah tukar selera! Eh! Tapikan, apa jadi dengan mamat selenga tu hah? Dia dah tangkap feeling dengan kau tak?” Wani mengubah topik. Perbincangan pasal Linda tidak mahu dipanjangkan bila melihat wajah jengkel Aryssa.
“Wani, please lepas habis kelas aku cerita, tapi bukan di sini. Nanti terbocor rahsia lagi parah berdarah! Mamat selenga tu bukan betul sangat!” Aryssa mengelak. Memang dia tidak mahu membincangkan tentang projek mematahkan hati mamat selenga itu di kolej. Dia tidak mahu nanti rahsianya terbongkar.
“Ary! Panjang umur mamat tu, Ry. Kau tengok mamat tu… duduk seorang-seorang pula, dah tak ada awek nak teman ke? Tak pun dah insaf?” bisik Wani, dia memuncungkan bibirnya ke arah Fizal yang sedang keseorangan.
Aryssa menoleh ke arah lelaki yang Wani maksudkan, sedang dia menoleh itu juga lelaki itu memandang ke arahnya, mata mereka bertemu. Aryssa terkaku seketika bila dengan tiba-tiba sahaja jantungnya berdegup kencang. Sungguh Aryssa tidak tahu apakah perasaan itu, dia dapat rasakan betapa gementar hatinya bila pandangan mereka bertaut, walaupun dia tidak menunjukkan apa-apa reaksi, tapi Aryssa tahu ada sesuatu yang berlaku dalam dirinya kini.
“Apasal kau berpeluh, Ary? Alah, janganlah takut sangat, dia takkan tahu siapa Syarina tu…” bisikan Wani mengejutkan lamunannya.
Berpeluh? Cepat-cepat disekanya peluh yang hampir menitik di dahinya. Dia tidak mahu reaksi gementar itu dapat dikesan oleh Wani.
“Eh! Tak adalah, panas kat sini, jom kita blah! Kejap lagi class nak mula…” ajaknya.
Aryssa menarik tangan Wani untuk terus bangun meninggalkan tempat itu. Dia tidak mahu reaksi berpeluhnya itu dikesan Fizal.
- Kalau dia tahu aku yang call dia tiap-tiap malam, mampus! Mahunya dia maki aku sesedap rasa depan public, mamat ni bukannya betul sangatkan.
“Okey, Ry, pukul 12 kau tunggu kat café…” pesan Wani bila dia sudah memasuki Blok Mentari untuk ke bilik kuliahnya.
Aryssa cuma mengangguk dan berlalu menuju ke Blok Bintang. Sedang dia bernyanyi kecil membelok ke Blok Bintang, langkahnya terhenti seketika bila terserempak dengan Fizal yang sedang berjalan bersama seorang gadis disebelahnya. Lelaki itu terus berlalu tanpa menolehnya ke arahnya, tapi jantungnya sekali lagi berdegup kencang. Dan sekali lagi dia tidak faham dengan perasaan itu. Mungkin kerana dia terlalu takut andai lelaki itu mengetahui rahsianya ataupun dia jatuh cinta…
- Ah! Tak mungkin aku jatuh cinta pada lelaki seperti itu, he is just not my type! Tak ada kualiti langsung untuk jadi lelaki idaman, harap muka jelah… lain-lain tu dah out! Lelaki macam tu, attitude dahlah teruk, kalau buat balak pun, main-main bolehlah, nak buat laki? Kena bersiap-sedia untuk terima ‘madu-madu’ yang bakal di bawa balik…
- Hie, tolonglah, dari makan hati berulam jantung sendiri lebih baik makan nasi dari berkahwin dengan jantan yang tak tentu hari tu. Hari ni perempuan lain, esok perempuan lain, lusa, tulat, tunggeng… minta simpang malaikat 44!
BAB TIGA BELAS
Hari ini bermula cuti semester selama sebulan, perkenalannya dengan Fizal pula sudah memasuki bulan kedua. Aryssa tidak punyai apa-apa akiviti untuk cuti semester ini, dia hanya boleh bercuti bersama keluarga. Emak dan ayahnya tidak pernah membenarkannya mengikuti program di kolej. Dia juga tidak pernah membantah, kerana baginya setiap larangan ayah dan emaknya adalah kebaikan untuknya.
Wani pula mengikuti program bersama Kelab Pencinta Alam ke Gua Niah di Sarawak. Wani memang meminati aktiviti lasak. Setiap tahun Wani akan mendaki gunung dan berkayak. Berpuluh kali Wani mengajaknya, namun Aryssa hanya memberi satu alasan untuk setiap ajakan Wani, tidak berminat. Walaupun hatinya sering memberontak untuk bersama-sama menyertai Wani. Aryssa memetik gitar Kapoknya sambil bernyanyi kecil.
“Aryssa!” jeritan ibunya membuatkannya terhenti menyanyi. Dia membuka pintu, terjengul ibunya di muka pintu.
“Yes, madam!” guraunya sambil berlagak seperti seorang anggota polis menghadap ketua.
“Elok lah, sehari suntuk terperuk dalam bilik… Mak dengan ayah nak ke hospital, Fizal anak mak cik Salina, accident semalam, tak sedarkan diri lagi! Kau nak ikut tak?” Zakiah memberitahu.
“Tak nak… mak sajalah yang pergi! Kirim salam pada mak cik Salina dengan anaknya.” Aryssa menggeleng, memang dia malas nak ke mana-mana hari ni. Moodnya selalu hilang bila Wani tiada.
“Kalau nak makan, lauk dan nasi bawah tudung saji, lepas tu jangan lupa makan ubat. Kalau ada apa-apa ke, nak keluar ke beritahu, telefon ayah, beritahu mak, jangan terus keluar je, jadi apa-apa nanti susah! ” pesan Zakiah bernada leteran.
Belakang tangan kanannya meraba-raba dahi Aryssa, risau kalau-kalau anak tunggalnya itu ditinggalkan ketika dia sedang demam. Semalam dia baru sahaja ke hospital mengambil beberapa jenis ubat untuk anak gadisnya itu.
“Ary okey, mak, Ary tak apa-apa! Mak pergi je lah…” Aryssa menarik tangan ibunya.
Kadangkala dia rimas dengan perhatian yang keterlaluan dari emaknya. Aryssa hanya tersenyum melihat kerisauan di wajah emaknya, wanita itu sentiasa bimbang kalau-kalau dia keluar tanpa pengetahuan mereka. Emaknya agak cerewet dan sentiasa mahu menjaganya supaya tidak ada perkara buruk yang terjadi, malah andai Aryssa terjatuh dan luka sedikit, sudah cukup untuk membuat wanita itu menangis sepanjang malam. Aryssa tahu emaknya itu amat menyayanginya tetapi kadangkala kerana kasih sayang itu, dia lemas, tapi dia bersyukur kerana Tuhan mengurniakan wanita itu sebagai emaknya.
“Oi, Cik Yah! Cepatlah, nanti habis waktu melawat. Ary tu dah besar, pandai-pandailah dia tu nanti.”
Ayahnya datang menarik emaknya. Aryssa mengangkat ibu jari menunjukkan pada ayahnya. Alias tersenyum, sambil mengangkat tangan menyuruhnya masuk ke bilik semula. Ayahnya pula berlainan dengan emaknya, ayahnya cukup sporting dan kadangkala melayannya bagaikan seorang anak lelaki, mungkin kerana dia anak tunggal. Mengajaknya pergi memancing dan bermain bola keranjang, walaupun dia tidak boleh bermain lama tapi dia puas jika dapat bersama ayah. Mereka akan bercerita tentang segala-galanya dari cerita tentang motorsikal hingga sukan kerana dia begitu meminati bidang sukan, dan ayah sentiasa menyokongnya.
Setelah kedua ibubapanya hilang dari pandangan, fikiran Aryssa tiba-tiba teringat sesuatu. Fizal anak mak cik Salina accident? Fizal accident? Pantas jemarinya mendail nombor telefon rumah Fizal. Dia berbual dengan Nurul, adik perempuan bongsu Fizal. Melalui adiknya, Aryssa mendapat tahu Fizal accident semasa mahu pergi berkelah bersama kawan-kawannya. Semasa dia berbual dengan Fizal semalam, lelaki itu memberitahunya yang mereka akan berkonvoi ke pantai untuk berkelah. Kata Fizal, inilah kali pertama dia berkonvoi dengan motorsikal. Tidak sangka pula hari ini dia dapat berita Fizal kemalangan. Menurut Nurul, motorsikalnya bertembung dengan lori trailer yang hilang kawalan kerana tayarnya pancit. Fizal terseret sejauh lima puluh meter dan motorsikalnya rosak teruk. Dia pula tidak sedarkan diri lagi. Sempat Aryssa meminta alamat rumah dari Nurul. Sejurus itu dia keluar, entah kenapa, hatinya tidak tenang bila mendengar keadaan lelaki itu. Ya Allah! Panjangkanlah umur kawanku!
Seminggu Fizal di hospital, dalam tujuh hari ini juga Fizal tidak mendengar suara Syarina Wirdayu. Fizal merenung jauh ke luar. Dia membetulkan duduknya. Sepanjang seminggu ini penghiburnya hanyalah pemandangan kota dari luar jendela di wadnya di tingkat lima, walaupun biliknya lengkap dengan televisyen dan radio, tapi dia jemu. Bosan dengan segala keadaan di sini.
Adakalanya ada juga di antara kawan-kawan yang datang melawat. Namun gadis-gadis yang pernah didampinginya langsung tidak menampakkan batang hidung mereka. Walaupun dia pasti berita kemalangannya tentu sudah tersebar meluas di kolej.
Saat ini apa yang diperlukan hanyalah seorang kawan untuk menemaninya berbual, bergurau dan memberi semangat padanya. Dia benar-benar kesunyian. Di sini tiada Suzana, tiada Lydia, tiada juga Amira dan gadis-gadis jelita lain yang pernah menyatakan sayang dan cinta untuk menemaninya.
Yang ada cuma jururawat-jururawat yang sudah veteran dan menunggu masa untuk pencen. Kenapalah jururawat yang muda-muda tidak ditugaskan merawatnya. Yang paling menyedihkan bila melihat kakinya yang kaku bersimen dan terpacak tiga batang besi yang kadang kala mengilukan bila kesejukan mencengkam.
“Hai, abang! Guess what I bring for you?” terpacul muka Nurul dari balik daun pintu yang terkuak.
Nurul, satu-satunya adik perempuan kesayangannya. Muka bulat comel, berwajah keanak-anakan walaupun usianya sudah mencecah enam belas tahun. Nurul yang masih berbaju kurung sekolah itu direnungnya tanpa reaksi. Nurul bagaikan menyembunyikan sesuatu dengan kedua tangannya di belakang.
“What…? Mama mana? Abang dah lapar ni, mama tak datang pun pagi tadi. Abang makan roti je tadi, dik! Kesian abang, semua orang tak perdulikan abang! Mentang-mentanglah abang sakit macam ni,” rengek Fizal, memang dia kadangkala terlalu manja dengan mamanya mengalahkan Nurul, si anak bongsu.
“Eii… mengadalah abang ni, dah besar-besar nak merengek macam baby. Kat hospital ni kan dah tersedia makanan, makan je la apa yang ada. Nama aje sakit tapi selera mengalahkan harimau lapar! Mama dan ayah ada dekat parking lot lagi,” bebelan diselangi rungutan Nurul membuatkan Fizal pura-pura menarik muka.
“Abang, benda yang Nurul bawa ni lebih best dari makanan yang mama bawa!” sambungnya kemudian tersenyum lagi menayang barisan giginya yang putih, macam iklan ubat gigi.
“Boringlah Nurul ni, cepatlah! Apa dianya?” Fizal sudah mulai bosan merenung senyuman manja Nurul yang sedang mempermainkannya.
“Teng teng teng… kad dari Syarina Wirdayu!” pantas Nurul mengeluarkan sekeping kad sebesar buku tulis.
Nurul sendiri tidak pasti siapa Syarina Wirdayu, tetapi nama itu bagaikan sebati dalam diri abangnya, bila setiap kali waktu dia datang melawat pasti soalan yang pertama keluar dari bibir Fizal, malam tadi ada tak Syarina call? Dan yang pasti sejak abangnya di hospital, dialah yang menggantikan Fizal untuk berbual dengan Syarina. Nurul dapat mengagak yang Syarina adalah gadis istimewa dalam hati Fizal.
“Rina? Dia datang rumah kita ke? Kenapa adik tak suruh dia datang hospital dan bagi sendiri je pada abang? Dik, cantik tak Rina tu?” soalnya bertubi-tubi. Perasaan ingin tahu begitu membuak di hatinya. Jelas terpancar keriangan di wajahnya saat Nurul mengeluarkan kad itu. Ingatannya pada suara yang dirinduinya semakin kuat.
“Mak aiii… banyaknya soalan? Dia tak datanglah! Posmen yang hantar, by pos express lagi! Tapi dia call semalam! Dia kirim salam sayang pada abang!” Nurul menantikan reaksi abangnya, perkataan sayang itu hanyalah tambahan bagi membuatkan hati abangnya berbunga.
Mendengar itu, Fizal mengeluh kecil, dia kemudian tersenyum bila mendengar ungkapan salam sayang dari Nurul. Dibukanya kad sebesar buku tulis itu. Terpampang di depan kad buatan sendiri itu, lukisan tangan gambar batman yang patah kaki akibat jatuh di bangunan yang tinggi dan di dalam kad itu tertulis, ‘Semoga Cepat Sembuh Penyelamat Dunia!’. Dalam hati dia memuji kreativiti Syarina menghasilkan kad buatan sendiri itu. Cantik dan menarik! Fizal tersenyum sendiri bila mengenangkan masih ada lagi gadis yang sudi memberikan kata semangat walaupun hanya dengan sekeping kad.
“Hah! Tersenyum sorang-sorang tu apahal? Baru dapat kad macam tu dah sasau!” teguran Jefri, ayahnya membuatkannya tersentak.
“Lepas ni abang boleh la keluarkan, yah!?” Tanya Nurul sambil merangkul lengan ayahnya, manja.
“Kenapa, yah? Fizal dah boleh keluar ke?” soal Fizal bersungguh-sungguh dengan kata-kata adiknya. Terpancar kegembiraan di wajahnya. Dia sudah cukup bosan menghitung hari di hospital ini.
“Bukan keluar je, siap tukar hospital lagi!” Nurul tersengih nakal.
“Tukar Hospital?” Salina dan Jefri merenung Nurul kehairanan.
“Ye lah, baru dapat kad dah sasau! Sebelum jadi gila yang teruk, lebih baik bawa abang ke Tanjung Rambutan!” jawab Nurul. Saat itu seisi bilik itu ketawa lucu dengan loyar buruk Nurul. Fizal hanya mengetap bibir. Geram dengan lawak bodoh adiknya itu.
“Oh! Kenakan abang ye! Nasib baik kaki abang ni macam ni, kalau tak siap la kau! Mama… Fizal lapar ni, mama masak apa?”
Salina menggeleng kepala melihat gelagat anak-anaknya. Kemudian dia mengeluarkan makanan dari mangkuk tingkat. Aroma sup cendawan dan daging masak hitam berlumba menusuk hidung. Fizal tidak lagi sabar menghadap juadah itu. Sejak pagi tadi dia hanya makan dua keping roti untuk melapik perut.
*************************************************************************************
Beberapa hari Fizal di hospital membuatkan Aryssa dapat rasakan betapa sepi malam-malamnya tanpa suara pemuda itu. Ingin sahaja dia menelefon telefon bimbit lelaki itu. Betapa dia merindui suara comel Fizal. Kelmarin dia meminta alamat dari Nurul untuk menghantar kad, semalam juga dia menghantar kad hasil kerjatangannya secara pos express ke rumah Fizal. Sempat dia berbual dengan Nurul beberapa hari ini, bertanyakan itu ini tentang lelaki itu. Nurul begitu sporting, terus bercerita mengenai abangnya yang seorang.
“Ary, nak pergi tak? Emak dah siap ni!” jeritan emaknya dari bilik membuatkan Aryssa terjaga dari lamunan.
“Tak mahu lah, mak! Aryssa ada assignment nak buat! Mak ajelah pergi ye! Kirim salam pada makcik Sal dengan pesakit tu!” jawabnya sesaat dia melangkah ke bilik emaknya. Semua itu cuma alasan, sememangnya dia tidak punya apa-apa assignment pun untuk disiapkan.
“Okeylah, mak pergi dulu. Nanti kalau Ary lapar, Ary panaskan aje lauk tu. Kalau ada apa-apa, rasa sakit ke, call mak terus, ok! Mak pergi kejap je, ye sayang!” Zakiah mengusap lembut pipi anak gadisnya. Kemudian dia mengucup dahi anak itu.
Dia memang teringin sekali mengikut emaknya melawat Fizal di hospital, tapi mengenangkan segala kutukan lelaki itu padanya dulu, membuatkan dia merasakan kehadirannya tidak diperlukan. Biarlah hanya kad sahaja menggantikan dirinya.
Sudah tiga hari Fizal balik rumah, dua minggu di hospital cukup menyeksakannya. Kedua-dua kakinya patah teruk akibat dari kemalangan yang menimpanya dan dia terpaksa menggunakan kerusi roda, menjadikan kehidupannya agak sukar dan pergerakannya terbatas.
Selama dua minggu dia di hospital, hanya kawan-kawan lelakinya yang datang menjenguk. Gadis-gadis yang selama ini yang sering mengucapkan cinta, sayang dan rindu langsung tidak menampakkan bayang. Yang ada cuma si misteri Syarina Wirdayu yang setiap hari akan mengirimkan kad hasil nukilannya melalui pos terus ke rumahnya.
Kala itu juga dia teringat pada Rahayu, gadis yang pernah dikecewakannya hanya kerana kemalangan yang pernah merampas kecantikan pada wajah gadis itu. Fizal teringat bagaimana dia meninggalkan Rahayu tanpa sebarang alasan kukuh, dia cuma malu kalau kawan-kawan lain mengetahui yang dia punya hubungan dengan gadis yang hodoh. Fizal insaf, tapi masih malu menceritakan pada Syarina walaupun hanya gadis itu sahaja yang tidak pernah jemu menghubunginya. Setiap hari gadis itu menelefonnya, memberi kata-kata semangat, sungguhpun tidak pernah bersua muka, tapi mereka bagaikan sudah bertahun berkenalan dan segala terbuku dihatinya pasti diluahkan pada si misteri Syarina.
“Fizal hairan, mana perginya semua awek-awek Fizal yang dulu kata cinta, sayang kat Fizal… semuanya tak datang jenguk. Masa sakit ni, Fizal perlukan mereka untuk berbual…” adunya pada suatu malam, pada Syarina saja tempatnya mengadu setiap hari.
“Mereka sibuklah tu. Nanti bila free, mereka datang. Fizal jangan risau sangat. Mereka ingat kat Fizal…percayalah!” jawapan Syarina tetap sama, bagai mahu menyejukkan hati Fizal yang sudah terlalu kecewa mengenang diri sendiri.
“Takkan semuanya sibuk… dulu, bila telefon berdering je mesti untuk Fizal. Tapi sekarang, Fizal kena tunggu pukul 10:00 malam baru ada panggilan untuk Fizal…Kadang-kadang Fizal rasa tak guna Fizal hidup macam ni…semua orang tak mahu berkawan, ” ujarnya. Kalau boleh, Fizal nak Rina ada di sini untuk temankan Fizal berbual, Fizal sudah mulai rindukan suara Rina. Fizal sudah pandai rindukan tawa Rina.
“Fizalkan ada Rina… Fizal tahu tak? Setiap manusia mesti jalani proses perubahan hidup. Jadi Fizal pun tak terkecuali. Dulu hidup Fizal lain, sekarang Fizal dapat ujian yang akan membuatkan hidup Fizal berubah. Tapi Fizal tak boleh putus asa, sebab setiap ujian tu ada hikmahnya, macam exam juga, kalau kita nak berjaya kita kena usaha dan tak boleh putus asa, hidup pun macam tu jugalah!!” kata-kata Syarina membuatkan Fizal kembali bersemangat. “Kadang-kadang Fizal rasa malu dengan diri sendiri bila kenangkan apa yang sudah Fizal buat semasa Fizal sihat. Fizal tak habis-habis nak atur awek, angkut ke sana sini, mungkin ini balasan Allah pada Fizal kan?”
“Sebab tu Allah bagi Fizal ujian, kalau tak ada ujian ni tentu sampai bila-bila pun Fizal tak tahu salah Fizal selama ini kan. Fizal ka nada adik perempuan, Fzal mesti rasa marahkan kalau ada orang mainkan adik Fizal? Macam tu juga dengan orang lain, tentu dia marah kalau dipermainkan. Mulai hari ini Fizal kena fikirkan, apabila dah sembuh nanti Fizal mesti berjanji untuk berubah, kalau tidak tak mustahil Fizal akan terima balasan yang dahsyat lagi!” kata-kata Syarina di telannya walaupun ayat itu begitu pahit.
Pandai betul gadis itu berbicara, lancar dan membina. Memang benar apa yang Syarina ucapkan, selama ini Fizal permainkan orang tanpa memikirkan hati dan perasaan mereka, sekarang baru Fizal sedar apa yang Fizal lakukan selama ni, salah. Tapi selama ini belum pernah ada mana-mana kawan perempuan mahupun lelaki yang pernah menasihatinya sebegitu. Ternyata gadis misteri ini mempunyai banyak kelainan.
“Betul kata Rina dulu, Fizal perlukan kawan macam Rina, kita kawan sampai bila-bilakan? Fizal tak mahu Rina tinggalkan Fizal di saat Fizal perlukan Rina. Anyway, thanks for your support and kad-kad yang Rina bagi tu, cantik sangat!” ucapnya.
Memang dia tidak mahu kehilangan Syarina, dia adalah segala-galanya bagi Fizal, sekarang. Teman, sahabat dan kawan di saat Fizal betul-betul perlukannya. Syarina adalah semangat Fizal.
“Fizal jangan risau okey?! Rina akan sentiasa dalam hati Fizal, Rina tak ke mana-mana. Sekarang Fizal tidur dan mimpikan yang indah-indah, Rina akan datang dalam mimpi Fizal. Selamat malam!” ucap Syarina sebelum mengakhiri perbualannya.
Adakalanya dia curiga dengan kebaikan gadis ini. Takut kalau-kalau Rina yang didambakan bukan seperti yang diharapkan. Takut kalau-kalau gadis itu sebenarnya hanya ingin mempermainkannya. Tapi yang pasti, setiap kali selepas Syarina letak telefon, Fizal tidak sabar nak tunggu malam esok untuk mendengar suaranya lagi.
*************************************************************************************
Aryssa menarik nafas panjang. Ganggang telefon diletakkan ke tempatnya, dia memejamkan mata. Dia menipu lagi. Kadangkala dia rasa bersalah dengan perbuatannya. Tapi adakalanya dia macam mahu lelaki itu menangis kecewa. Dia sendiri tidak tahu apa perasaannya terhadap Fizal. Dia senang berbual dengan anak muda itu, suaranya cukup memikat.
Patutlah ramai gadis yang tertawan. Bila dia berbual dengan Fizal hatinya teringat Amir. Walaupun Fizal dan Amir banyak perbezaannya. Fizal agak manja dan sentiasa inginkan perhatian. Amir pula, berdikari dan selalu bersikap tegas dengan keputusannya. Kedua-duanya juga pernah diuji perkara yang sama. Amir tidak perlukan Aryssa sewaktu dia sendiri hilang kekuatan, walaupun Aryssa terlalu ingin menemaninya untuk bersama menghadapi ujian hidupnya.
Fizal pula selalu mahu ditemani di saat ujian mendatanginya. Kenapa Amir tidak seperti Fizal? Yang sentiasa inginkannya di sisi. Perlukah Aryssa menanti Amir datang semula dalam hidupnya dan adakah Amir akan hadir semula memberikan cintanya? Aryssa sendiri tak pasti sampai bila dia akan menunggu. Hatinya kini mula beralih arah. Bukan dia sengaja mencipta perasaan itu, tapi ianya datang sendiri tanpa dipinta. Perasaan itu mula menguasainya. Aryssa tidak dapat memastikan samaada ianya cinta atau kasihan.