Caluk Corner
*


Login with username, password and session length

From the news...

Forum OT tanpa batasan
Welcome, Guest. Please login or register.
September 10, 2010, 03:21:08 AM

Login with username, password and session length
Clik Sini
on March 03, 2008, 11:37:00 PM

BAB ENAM BELAS

Pertemuannya dengan Linda memang sengaja dirancangnya. Kalau boleh dia tidak mahu terlibat dengan hubungan songsang mereka. Aryssa tak mahu bersubahat dengan manusia seperti kaum di zaman Nabi Luth. Dalam pada itu dia juga tidak sanggup melihat mereka terus hanyut dalam dunia yang mereka ciptakan sendiri.

“Aku bukan tak mahu berkawan dengan kau. Tapi aku bukan seperti yang kau sangkakan… aku masih perempuan, walaupun perwatakan aku nampak macam lelaki!” tegas Aryssa, dia tahu ramai yang salah tanggapan dengan perwatakannya.

“Tapi, Linda sayang Ary! Linda tak dapat nak padamkan perasaan Linda pada you. I really love you, Ry!” rintih Linda. Gila! Memang perempuan di hadapan Aryssa sudah gila.

“Look at me, Linda. You must admit, yang Aryssa adalah seorang perempuan! Bukan lelaki, hubungan antara perempuan dengan perempuan hanya boleh dijadikan kawan atau sahabat, bukan kekasih… Takkan kau nak berkahwin dengan perempuan? Impossible!” bentakan Aryssa membuatkan Linda menangis. Dia melentukkan kepalanya di bahu Aryssa. Aryssa menolak kepalanya perlahan sambil mukanya berkerut.

“Please Linda, kau perlukan lelaki bukannya perempuan macam aku. Kita ni sama jantina, kita tak boleh buat macam ni Linda! Kau kena cari lelaki untuk sayangkan kau, belai kau! Tapi dalam waktu semuda sekarang lebih baik kau fikirkan tentang pelajaran, bukannya fikirkan cara yang tak masuk akal macam ni!” tegasnya.

Bukan Aryssa sengaja hendak tunjuk pandai pada Linda. Tapi dia rasa bertanggungjawab ke atas Linda. Perasaan songsang Linda harus dihentikan. Aryssa tidak mahu Linda berterusan menyintai dirinya. Mana mungkin dia menyintai kaum sejenisnya sendiri, semua itu hanyalah perasaan yang bersangkutan dengan nafsu syaitan yang mahu menyesatkan manusia. Aryssa tidak sanggup untuk menjadi sebahagian mereka.

“Pandainya Ary nasihatkan Linda! Tapi diri you sendiri macam mana? You juga hipokrit...!” tempelak Linda. Matanya masih basah. Sedu sedannya masih kedengaran. Dia menangis kerana malu diperlakukan begitu. Mana mungkin ada tomboy dan pengkid yang menolak cintanya mentah-mentah.

Aryssa terpaksa menyingkap balik sejarah yang mengubah luarannya. Sejarah yang tidak mungkin berulang. Memang Aryssa sendiri memerlukan lelaki untuk dicintai. Tapi lelaki itu tidak kunjung datang. Ataupun mungkin ada gantinya, Aryssa sendiri tidak pasti. Linda tunduk mendengar cerita Aryssa. Ada riak kesal di sebalik wajahnya yang murung. Barangkali dia malu dengan perbuatannya selama ini. Malu kerana cintanya ditolak bulat-bulat oleh Aryssa.

Padahal sebelum ini, berebut pengkid dan tomboy mahu mendekatinya. Linda amat popular di kalangan pengkid dan tomboy. Asal sahaja mereka berjaya keluar dengan Linda, masing-masing akan bercerita tentang kehebatan mereka.

Namun hati gadis itu terpaut pada Aryssa yang disangkanya sama seperti Danny, Raz, Fickie dan Jojie. Kini baru Linda tahu, selama ini Aryssa bukanlah orang yang boleh diharapkan. Dia sendiri tak pasti apa yang dimahukannya dari seorang perempuan. Yang pasti dia sudah terlanjur terlalu jauh untuk berpatah semula.

“Bertaubatlah, Linda… belum terlambat. Kita kadangkala lemah dengan perasaan sendiri. Tapi hakikatnya, perasaan itu tidak sepatutnya berada di dalam diri kita. Cuba mencari sesuatu yang kita tak nampak itu tak salah, tapi adakalanya pencarian kita itu bukan berdasarkan akal…” kata-kata Aryssa ditelannya.

Memang benar, selama ini dia mencari sesuatu yang bukan berdasarkan akal tapi nafsu. Dalam diam Linda mengagumi Aryssa, ternyata gadis yang kelihatan nakal dan agak sombong ini rupanya punyai personality yang positif. Linda perlukan perubahan itu. Perubahan pada akal dan perasaan.

*************************************************************************************

Fizal menatap kad-kad yang pemberian Syarina. Kebanyakan kad itu dibuat sendiri. Syarina seorang yang kreatif dan pandai melukis, lukisan kartunnya sangat menarik dan comel. Dia kagum melihat hasil kerjatangan itu, namun masih sukar untuk dia menyelami kejujuran gadis itu padanya.

Telefon di sebelah katilnya tidak pernah mungkir untuk berdering bila tepat jam sepuluh. Pukul 10:02 minit, Fizal melirik jam dinding sejurus itu bibirnya mengukir senyuman.

“Hello! Nak cakap dengan siapa?”

“Hello! Nak cakap dengan Fizal, boleh?” pertanyaan itu membuatkan Fizal senyum panjang.

“Hari ni kenapa lewat dua minit? Nak kena denda ni…” guraunya.

“Alah, lewat sikit pun kena denda? Tak aci la...”

“Tak kira, Fizal denda, tolak dua bulan dari tempoh Rina nak jumpa Fizal, setuju?” Fizal cuba memancing reaksi Syarina.

“Setuju, tapi kalau Rina call awal tambah tempoh, okey? Esok Rina call awal setengah jam… maknanya tambah tiga puluh bulan, baru kita jumpa…deal?” Gadis itu memulangkan paku buah keras.

“Rina tu memang saja tak mahu jumpa Fizal lah tu… Mentang-mentanglah Fizal dah cacat macam ni. Rina pun sudah tak mahu berkawan dengan Fizal. Sudahlah awek-awek Fizal semuanya pulaukan Fizal…Rina pun sama juga tak sudi nak kawan dengan Fizal, tak apalah! Apa nak buat, Fizal sedar…” rajuknya.

Sengaja memancing simpati gadis itu. Teringin sekali dia menatap wajah tuan empunya suara yang sering menciptakan malam indah untuknya. Tanpa suara itu, dia gelisah, tidurnya tidak lena.

“Aik Apasal tetiba sensitif pula ni? Merajuklah tu, takkanlah Rina tak mahu kawan dengan Fizal, jejaka idaman gadis Malaya...” Syarina tidak menyangka lawaknya membuatkan suara lelaki itu berubah.

“Perlilah tu… dulu memang idaman gadis Malaya, tapi sekarang, Fizal sudah tak berguna pada mereka. Rina, Fizal kalah dengan hidup Fizal sendiri. Fizal malu nak bersemuka dengan dunia luar.” Fizal mulai serius.

“Tak tahu macam mana Fizal nak ke kolej dengan keadaan begini? Fizal malu berdepan dengan orang. Kawan-kawan Fizal yang datang melawat pun kadang-kadang mengutuk, mengejek Fizal dengan kecacatan Fizal yang ada sekarang. Fizal dah ada gelaran baru tau… Si Tempang, sedap tak nama tu?”

Dia tidak mampu lagi menceriakan suaranya. Selama ini dia tak pernah meluahkan kepada sesiapa, tapi dia mesti mengeluarkan apa yang terbuku di hatinya selama ini. Memang dia kalah, kalah sebelum sempat menempuh perjalanan hidup.

“Fizal, Rina minta maaflah kalau Fizal terasa dengan Rina. Tapi Fizal belum kalah lagi. Apa yang Fizal rasa sekarang cuma sementara. Fizal tahu tak? Ada lagi orang yang lebih kecewa dari Fizal sekarang, ada yang sedang berhadapan dengan maut. Ramai lagi orang yang kemalangan, cacat anggota, paralysed. Tapi Tuhan masih beri Fizal peluang untuk teruskan perjuangan, dengan ujian Dia, Fizal kena kuat melawan perasaan tapi bukan melawan ketentuan. Apa yang sudah ditentukan pasti ada hikmahnya, Fizal, Allah itu Maha Adil!”

Rupanya lelaki itu tertekan dengan takdir yang menimpanya. Saat itu dia teringat Amir. Amir yang tidak mampu melawan perasaan. Kerana itu lah, lelaki itu melarikan diri jauh dari dunianya. Amir yang pernah dikagumi kerana ketegasannya sedang kalah sebelum berjuang. Syarina tidak mahu semangat Fizal serapuh Amir.

“Tapi, kenapa Fizal yang kena terima semua ni? Kadang-kadang Fizal rasa tak mahu hidup lagi, kenapa Tuhan tak cabut saja nyawa Fizal masa accident hari tu?” bentak Fizal, menyesali segala takdir yang menimpa dirinya.

“Banyak-banyak beristighfar Fizal. Kita tak boleh melawan qada’ dan qadar Allah. Hidup dan mati kerja-Nya. Dia nak bagi Fizal peluang perbetulkan segala kesalahan yang pernah Fizal buat. Fizal kena bersyukur sebab Fizal hidup lagi, kalau tidak kita tak boleh berbual macam sekarang…” pujuknya lagi supaya lelaki itu tabah menghadapi takdir yang ditentukan-Nya.

Syarina menarik nafas dalam-dalam, dia mahu berikan apa yang sepatutnya diberikan pada Amir dulu. Dia tidak mahu lelaki itu putus asa hanya kerana sebuah kemalangan walaupun dia sendiri sedang hadapi ujian, ujian yang begitu getir, ujian yang kadangkala membuatkannya hilang semangat untuk hidup.

“Fizal, memang Rina tak rasa apa yang Fizal rasa, tapi sekurang-kurangnya Fizal masih ada keluarga dan kawan yang akan menjenguk. Fizal cuba anggap kutukan kawan-kawan Fizal sebagai satu gurauan dan semangat untuk Fizal meneruskan perjalanan hidup. Fizal tak boleh putus asa, Fizal masih belum terlambat untuk meneruskan perjalanan yang masih jauh ni…” kata Syarina lambat-lambat.

Syarina sendiri tidak percaya dia mampu mengeluarkan nasihat sebegitu sedangkan dia sendiri kadang-kadang putus asa dengan apa yang ditentukan untuknya. Adakalanya dia sendiri merasakan kehidupannya langsung tidak bermakna, dan sering dia merasakan takdir Tuhan sentiasa tidak adil padanya.

“Fizal ingat setiap kata-kata Rina, Fizal rasa bertuah sangat sebab Rina sudi nak kawan dengan Fizal. Terima kasih Rina!”

Fizal dapat rasakan semangat baru setelah mendengar kata-kata Syarina. Sekurang-kurangnya dia masih mempunyai Syarina dan kekuatan semangatnya. Fizal membetulkan kedudukannya setelah penat duduk membengkokkan kaki, menahan kesakitan yang begitu menyengat kakinya. Lagu Manisnya Senyumanmu berkumandang di Hi-fi. Memang selepas beberapa minggu kehadiran Syarina Wirdayu, lagu itu menjadi lagu wajib untuk didengarnya setiap hari.

‘Ku rasa satu dunia sudah mengerti perasaanku padamu, aku merindu oh merindu senyumanmu yang menawan kalbu…’

Lama mereka berdiam melayan perasaan masing-masing. Bagaikan tiada apa lagi yang mahu diperkatakan, namun masing-masing enggan untuk meletakkan telefon, takut kerinduan mencengkam sehingga malam esok.

“Okey, apa perkara pertama yang akan Fizal buat kalau jumpa Rina?” Soalan Syarina menghentikan lamunannya.

- Argh! Potong betullah, minah ni, baru je aku nak bayangkan rupa dia macam mana, macam Fasha Sandha ke, macam Emelda Rosmila ke… atau macam Emelda Rosmila dalam Manjalara… erkh~!

“Err… Fizal nak suruh Rina senyum untuk Fizal~” Jawapan apa ni?

- Sebenarnya Fizal nak cakap, pertama kali jumpa Rina, Fizal nak tengok muka Rina dulu, cun ke tak, kalau cune Fizal nak suruh Rina kiss~… ish! Nampak sangat gelojohnya! Lagipun mesti dia kata aku tak sedar diri, dah tempang macam ni ada hati nak awek cune!

“Eleh! Tak mencabar langsung!” pintas Syarina.

“Tapi Fizal nak senyuman yang paling manis di dunia… boleh buat ke? Rina pula apa perkara pertama Rina nak buat kalau jumpa Fizal?”

Debaran penuh makna seringkali terjadi bila kau di sisi. Namun yang pasti membuat ku jatuh hati oh manisnya… manisnya senyuman mu…

“Tak payah buat-buat, senyuman Rina memang senyuman yang termanis di dunia…tapi kalau at first Rina jumpa Fizal, Rina nak suruh Fizal tunjuk I.C dulu, mana tau kot-kot menyamar macam cerita Ibu Mertua ku, tak ke naya…” di hujung talian terdengar gadis itu tertawa panjang.

- Amboi, dapat ketawa, lebih dari momok. Tapi kadang-kadang macam pernah dengar je cara ketawa macam tu, tapi di mana ye… Gasaklah, janji Syarina Wirdayu ni bukan momok!

Hari-hari Fizal bertambah ceria dengan kehadiran gadis misteri ini. Tanpa mengenal rupa, dia sudah jatuh cinta bukan kerana dia terlalu mudah jatuh hati, tapi kerana keletah Syarina dan bicaranya yang sentiasa membuat Fizal terpesona.

Alangkah bagusnya kalau kita dapat jumpa sekarang Rina, teringin Fizal nak tengok wajah gadis yang selalu menceriakan hati ini. Kalaulah Fizal dapat bertemu Rina, akan Fizal beritahu dunia, bahawa tiada gadis lain yang paling Fizal cintai melainkan Syarina Wirdayu. Namanya juga sudah unik, tentu orangnya juga unik.


BAB TUJUH BELAS

“Mak nak ke mana?” tanya Aryssa bila dilihatnya Zakiah bersiap-siap memasukkan kuih dan sup herba ayam ke dalam mangkuk tingkatnya.

Bukan kali pertama dilihatnya emaknya memasakkan untuk anak mak cik Salina yang sedang sakit itu, tapi sudah acapkali. Baik benar emaknya pada anak mak cik Salina, sedangkan anak teruna Salina itu amat memusuhi Aryssa.

“Rumah mak cik Salina kaulah! Nak pergi tak? Kesian tengok si Fizal tu, berkerusi roda ke sana ke sini… jomlah! Dia kan kawan sekolej kau. Selalunya anak mak ni ambil berat kalau kawan-kawan sakit!” Zakiah tersenyum menoleh anak kesayangannya.

Dia hairan bila Aryssa bagaikan tidak suka untuk melawat Fizal. Sedangkan jika ada kawan-kawannya lain yang sakit, dialah orang yang paling risau sekali. Pernah semasa dia dalam darjah empat, ada seorang kawannya terkena chicken pox, sanggup dipujuknya ayahnya melawat kawannya itu di hospital kemudian dia sendiri yang dijangkiti penyakit itu. Semasa dalam tingkatan lima pula, seorang kawannya kemalangan motorsikal. Setiap hari juga Aryssa menangis, berkurung di bilik sehingga menjejaskan kesihatannya.

“Malas lah mak, Ary nak~”

“Dah jangan nak bagi alasan, ikut mak. lagipun Ary tak ada assignmentkan? Kalau ikut mak, boleh juga Ary kenal rapat dengan keluarga makcik Sal tu!” usul Zakiah.

Akhirnya Aryssa mengalah dengan ajakan ibunya, sungguhpun selama ini dialah orang yang paling liat untuk mengikut ibunya ke mana-mana.

“Rajinnya mak ke rumah dia, sejak dia sakit Ary tengok banyak kali mak dengan ayah pergi jenguk dia. Teruk sangat ke dia mak? Boleh makan lagi tak?” Aryssa menghalakan tangan kanannya ke mulut, menunjukkan isyarat itu pada emaknya.

“Hish! Budak ini, main-main pula. Fizal tu memang sakit teruk, lagipun hari tu dia pesan pada mak minta mak buatkan untuknya kek gula hangus ni.”

Memang sebenarnya Aryssa teringin sekali mahu melihat keadaan Fizal, mendengar suaranya setiap malam, membuatkan Aryssa jatuh hati. Selama ini hanya mendengar emaknya bercerita tentang Fizal, kata emaknya, kedua-dua kakinya patah dan dimasukkan besi. Belakang badannya pula cedera teruk ketika trailer itu menyeretnya sejauh lima puluh meter. Tidak dapat Aryssa bayangkan betapa ngerinya rupa belakang si Fizal tu. Kalau dibiarkan tidak berbalut mesti berulat, hie!

Perodua MYVi hijau pucuk pisang milik Zakiah sudah memasuki pagar banglo di atas bukit itu. Aryssa baru keluar dari perut kereta, sesampai sahaja di situ tadi, ibunya sudah hilang ke dalam banglo setingkat bewarna kuning air. Dia terus menyedut udara petang yang segar dari atas bukit itu. Ini kali kedua dia bertandang ke rumah itu. Kawasan rumah Fizal memang cantik, dari atas bukit itu kelihatan rumput hijau yang membentangi padang golf berdekatan rumahnya. Di tengah-tengah padang golf terdapat beberapa buah tasik yang beriak air bewarna biru. Pemandangan yang begitu mengasyikkan di sebalik pembangunan yang pesat.

“Apa kau buat kat sini?” jerkah seorang lelaki berkerusi roda. Tak padan dengan kerusi rodanya, sombong.

Di atas ribanya ada beberapa kad yang pernah dikirim Syarina. Dia merenung Fizal dengan renungan sinis walaupun agak kasihan melihat keadaan lelaki itu. Kaki kirinya terpacak tiga batang besi berbentuk arial televisyen manakala kaki sebelah kanan pula bersimen hingga paras lutut. Di simen putih itu tertera bermacam jenis tulisan, mungkin hasil nukilan teman-temannya.

Mata Aryssa tertumpu pada satu lukisan bunga ros dan tulisan yang tertulis - Syarina Wirdayu Manisnya Senyumanmu, pada simen itu. Hatinya diragut rasa terharu. Tapi dalam terharu ada juga rasa lucu bila melihat lelaki sombong dihadapannya itu sebenarnya sedang memuja Syarina Wirdayu.

“Hoi! Budak betina-jantan, apa kau buat kat rumah aku?” sergahan Fizal membuatkan Aryssa merenung lelaki itu bersahaja seperti tadi. Dia masih tidak membalas kata-kata lelaki itu.

- Malas aku nak layan lelaki pelik ni, dalam telefon bukan main lagi lembut dia bercakap, bila jumpa, menengking orang macam dia seorang je ada anak tekak! Aku tengking balik karang, baru ada akal! Nasib baik ini rumah dia, kalau rumah aku, dah tentu kena pelangkung mamat ni. Inilah perkara pertama yang dia buat bila jumpa aku sebenarnya, menengking macam nak terkeluar anak tekak. Kalau macam ni sampai kiamat kau tak dapat tengok manisnya senyuman aku ni, Fizal!

Fizal di hadapannya begitu berbeza dari Fizal yang selalu berbual dengannya melalui telefon. Ikutkan hatinya, mahu saja disiat-siatkan hati lelaki sombong itu. Lelaki itu seakan geram dengan Aryssa yang langsung tidak mengendahkan kata-katanya.

“Kat sini tak ada orang yang jantina bercampur macam kau… Kat sini yang ada perempuan sejati dan lelaki sejati… tak ada campur-campur!” tempelak Fizal lagi.

Aryssa merenung lagi ke arah Fizal, tanpa apa-apa reaksi. Pada pandangannya lelaki ini memang anti-tomboy ataupun dia masih marah dengan kejadian yang berlaku antara mereka beberapa bulan lalu. Tidak pun awek lelaki ini pernah dirampas budak tomboy, jadi rasa tercabarlah bila tengok awek tomboy yang anggun dan ayu macam aku ni.

“Oh! Ek? Tapi, kat sini ada manusia campuran robot, kalau manusia sejati jalan pakai kaki, tapi kalau manusia campuran robot, jalan pakai besi…” sindir Aryssa membalas kata-kata pedih Fizal setelah lama dia mendiamkan diri, saat itu juga wajah Fizal berubah menjadi merah. Mulanya memang malas nak menjawab, tapi mamat ni macam sengaja nak cari pasal.

- Tak tahu ke mulut aku ni bisa macam racun ular tedung, bukan ular tedung biasa tahu? King Cobra ni! Hah! Kan dah kena sebijik, jangan marah! Lelaki itu bagaikan mahu berlalu, terkial-kial dia memusingkan roda pada kerusinya. Aryssa yang memandangnya terasa simpati. Menyesal pula mengeluarkan kata-katanya yang kasar. Dia lantas mencapai pemegang kerusi roda dan cuba menolak Fizal. Sebelum sempat dia menolak, tangannya ditepis kasar.

“Tak payah nak buat baik dengan akulah!” bentaknya, sombong. Tengoklah tu, masih nak sombong lagi, tak sedar diri betul!

Belum sempat Aryssa membalas, Salina dan Zakiah keluar bersama dulang yang berisi makanan dan minuman. Fizal yang pada mulanya mahu masuk ke rumah, terus terhenti, riuh mulut emak mereka mengajak makan di halaman. Barulah Fizal tahu rupa-rupanya si betina-jantan yang dibencinya sangat-sangat itu anak mak cik Zakiah, tapi bila tengokkan gaya Aryssa, Zakiah jauh lebih lemah lembut dan seratus peratus bercirikan seorang wanita.

Semasa minum petang itu, Aryssa lebih banyak berdiam dan mendengar celoteh emaknya dan mak cik Salina. Fizal juga begitu, malah sesekali merenung Aryssa dengan pandangan tajam yang menakutkan. Emaknya pula melayan Fizal makan, macamlah Fizal tu anaknya.

“Fizal makan banyak sikit tau, sup herba ni mak cik renehkan untuk Fizal, biar luka kat badan Fizal tu cepat sembuh. Ni kek gula hangus yang Fizal pesan hari tu. Makan ye, mak cik nak Fizal cepat sembuh!” Zakiah menyenduk sup herba yang dimasak khas untuk anak teruna Salina. Anak muda itu mengangkat mangkuk kecil berisi sup panas sambil menghirup kuah sup yang masih berasap.

Nikmat rasanya, pandai betul mak cik Zakiah masak serba cukup rasanya. Kek gula hangus ni memang kegemaran Fizal, sedap betul kek ni, cukup rasa manis, lemak. Kalaulah budak betina-jantan ni tak ada depan aku, berselera juga aku nak habiskan sepiring kek ni.

“Terima kasih, mak cik. Susah-susah mak cik masakkan untuk Fizal,” ucap Fizal sambil menghadiahkan senyuman manis kepada Zakiah.

Pada masa yang sama, Aryssa terasa seakan mahu memuntahkan isi perut melihat senyuman Fizal pada emaknya.

- Orang kalau nak tackle mak, tacklelah hati anak dulu… eh! Betullah tu, nak tackle anak kena tackle mak dulu. Tapi kalau dah tengok muka aku macam tengok askar Israel, baik tak payah!

“Sama-sama… mak cik bukan apa, mak cik dah biasa jaga orang sakit ni. Orang sakit ni seleranya serba-serbi nak kena jaga. Kalau tidak susahlah!” ucap Zakiah.

Memang Fizal tahu, mamanya sering bercerita yang mak cik Zakiah memang mengambil berat jika ada orang sakit ketika mereka berada di asrama dulu. Malah, kerana minatnya terhadap perkhidmatan seperti itu, mak cik Zakiah telah mengambil kursus kejururawatan dan pernah menjadi jururawat selama lima belas tahun.

“Jadi Ary dan Fizal dah kenallah, maklumlah sekolej ye?” ujar Salina, bila dilihatnya Aryssa diam tanpa berbicara walaupun sepatah. Tika itu Fizal menggeleng dan Aryssa mengangguk.

- Hish! Entah siapa yang nak berkenalan dengan dia, perempuan tak cukup sifat. Tuhan dah jadikan jantina tu perempuan ada hati nak jadi lelaki sangat! Macamlah bagus! Walau aku kenal hingga tujuh keturunan kau sekalipun, aku takkan mengaku aku kenal kau, betina-jantan! Datang rumah orang menyakitkan hati saja!

“Mana satu betul ni? Kenal ke tak? Hai, Aryssa dah tak reti nak bercakap ke? Kalau tidak mulut dialah yang banyak sangat macam bertih digoreng…” tanya Zakiah pula.

Hairan juga bila melihat Aryssa lebih banyak berdiam hari ini. Kalau tidak tu, anak itulah yang paling banyak mulut, ada sahaja bahan untuk berbual. Ada sahaja perkara mahu diusik. Tambah kalau dengan rakan sekolej, pasti banyak cerita yang dia akan dengar. Kalau bertemu dengan si Wani tu lagi lah, habis semua gelaran untuk orang keluar dari mulut diorang. Hari ini anak gadisnya tu dah bertukar tingkah pula. Tiba-tiba pula jadi pendiam. Takkanlah anak itu terpikat dengan anak teruna si Salina ni. Tapi kalau iya pun apa salahnya, dia tidak menghalang. Cuma anak muda ini, renungannya pada Aryssa memang lain, macam ada sesuatu yang tidak kena antara mereka.

“Actually, Ary kenal dia, tapi dia tak kenal Ary!” jawabnya, ikhlas dan bersahaja. Sambil matanya mengerling ke arah Fizal.

- Eleh! Macam aku heran sangat nak kenal dengan kau. Nasib baik, mak kau ni baik hati, kalau tak, tak hingin aku nak mengaku aku kenal kau pun! Aku kenal kau pun bukan kerana perangai baik kau, tapi perangai buaya tak guna kau tu! Boleh blah la buaya tempang! Kau ingat lepas ni ada lagi ke burung-burung yang nak menyerah diri ke mulut kau, yang kau nak berlagak sangat tu. Kira baik jugalah aku ni, nak juga datang melawat!

“So, sekarang kamu berdua berkenal-kenallah… nanti apa-apa hal di kolej tu, bolehlah Aryssa tengokkan Fizal. Maklumlah, Fizal ni tak sihat lagi…” pinta Salina.

Besar hatinya kalau Aryssa mahu menjalin hubungan dengan anak terunanya, perkara itu juga sudah dibincangkan dengan Zakiah. Walaupun Zakiah seperti tidak mahu memberi kata putus, tapi dia tahu kawan baiknya itu setuju dengan permintaannya.

“Tak apalah mama, Fizal tak mahu menyusahkan sesiapa. Fizal, boleh buat sendiri. Lagipun ramai kawan-kawan lain lagi yang sekelas boleh bantu Fizal…” balas Fizal setelah sekian lama berdiam diri.

- Eleh! Jual mahal konon, macamlah aku teringin sangat nak tolak kerusi roda dia tu… Huh! Pinggan tak retak nasi tak dingin, kau tak nak, kau ingat aku teringin? Boleh jalan…

“Hah! Kawan Fizal yang selalu call tu, apa namanya? Syarina? Dia sama kolej dengan kamu berdua juga ke?” pertanyaan mak cik Salina membuatkan Aryssa hampir mahu menyemburkan fresh orange yang baru diteguknya.

- Eh! Mana mak dia tau ni? Mulut tempayan betul jantan ni, semua nak cerita kat mak dia! Betullah, anak manja! Ok-oo, baru aku teringat, akukan pernah hantar kad pada si Tempang ni!

Tapi nasib baik dia dapat mengawal keadaan itu, kalau tidak pasti lelaki itu mengesyaki sesuatu.

“Tak lah, dia sekolah lagi, tahun ni ambil STPM,” jawapan itu membuatkan Aryssa berpaling ke arah lain kerana menahan senyuman.

- Kah! Kah! Kah! Confident je! Kalau kau tahu Syarina kau tu sekarang ada depan kau ni hah! Silap-silap kau tak maafkan mulut kau yang cabul tu mengutuk aku betina-jantan!

“Rajin budak tu telefon, boleh di katakan setiap malam. Tapi Fizal tak pernah bagi mama cakap dengan dia. Teringin juga mama nak kenal Syarina tu. Ajaklah dia datang rumah. Hah! Fizal pun call lah Aryssa, boleh borak-borak bukan apa, mama tak mahu Fizal rasa boring. Bolehkan Aryssa?” tanya Salina lagi. Aryssa cuma senyum sambil mengangguk-angguk.

- Boleh saja boleh mak cik lagipun, memang tiap-tiap hari saya telefon anak mak cik nak mengajar anak mak cik jadi anak yang baik jangan jadi buaya…

Fizal tidak menunjukkan sebarang reaksi, tapi hatinya bagai meluat melihat senyuman yang dihadiahkan Aryssa pada mamanya.

- Nak call dia? Malam sikit… Mama ni macam tak ada orang lain nak dihalakan, carilah perempuan yang cune sikit! Ini tidak, ada ke budak betina jantan ni? Hie! Orang tak ada taste je yang sanggup nak bercouple dengan dia… Lagipun Fizal kan dah ada Syarina Wirdayu, awek aku tu gadis berwawasan tau lemah lembut, sopan santun, suara pun tak adalah macam guruh. Bukan macam kau, pakaian dahlah macam jantan macamlah bagus sangat dengan cap terbalik kau tu, ingat ada le orang yang berkenan sangat dengan penampilan kau tu!

Fizal sudah tidak perlukan mana-mana gadis lain lagi nak temankan Fizal. Aku dah ada Syarina Wirdayu la, dengar nama je kau dah gerunkan? Belum lagi kau tengok orangnya tau, kalau kau tengok, mahu kau menangis tiga keturunan sebab tak dapat lelaki romantik dan macho macam aku ni.

- Sorrylah budak betina-jantan, you are just not my type!

Aryssa mulai meluat melihat cara pemuda itu memandangnya. Penuh dengan renungan sinis yang menyakitkan hati. Saat itu mahu saja dia menarik emaknya, mengajak pulang.

- Alahai, jantan ni, buat muka sinis macam tu, macamlah aku ni hadap sangat dengan muka dia tu. Setakat Syarina, eleh! Apa sangatlah Syarina yang aku cipta tu, Aryssa ni lagi romantic tau! Lagi setia, kalau tak percaya tanyalah aku sendiri.


BAB LAPAN BELAS

Fizal sudah menanti di sisi telefon, dengan susah payah dia beralih ke atas katil. Fizal tidak mahu menyusahkan mama mahupun ayah seperti hari pertama dia pulang ke rumah, bersusah payah mama dan ayah mengangkatnya naik ke katil. Fizal sudah mampu lakukan sendiri.

Kemudian dia mengambil alat kawalan jauhnya dan memasang Hi-finya. Berkumandang lagi lagu Manisnya Senyumanmu dari kumpulan Elite. Dulu, Fizal tidak pernah ambil tahu tentang lagu-lagu semua ni. Tapi sejak mengenali suara Syarina Wirdayu lagu ini bagaikan sebati dengannya. Bagai ada satu perasaan yang meminta Fizal mendengar lagu ini. Fizal melirik ke arah jam dinding, beberapa minit lagi pukul 10:00.

Rasa tidak sabar nak mendengar celoteh Rina. Padanya Rina adalah segala-galanya sekarang. Bukan lagi Suzanna, Lydia, Mira dan perempuan-perempuan lain yang Fizal pernah kenal. Dulu Fizal rasa perempuan bagaikan permainan, boleh ditukar bila sudah jemu boleh di kumpulkan bila suka. Yang penting bila Fizal berdampingan dengan mereka, lelaki lain akan cemburu. Fizal mahu jadi hero, Hero pada gadis-gadis yang didampinginya.

Tetapi ketika Fizal inginkan simpati dari mereka, mereka menjauhkan diri. Fizal terasa sunyi, mujur ada Syarina yang masih lagi sudi menghulurkan sebuah persahabatan. Fizal dikejutkan dengan bunyi telefon, pantas tangannya mencapai ganggang.

“Assalamualaikum! Hai, Fizal! Dah makan ubat?” suara ceria Syarina membuatkan hati Fizal berbunga riang. Suara yang di nanti telah muncul semula seperti malam-malam sebelumnya.

“Wa’alaikumussalam! Nak cakap dengan Fizal ye, sekejap ye!” Fizal berpura-pura memanggil.

“Fizal tak payah nak menyamar. Rina kenal suara Fizal, bunyi nafas Fizal pun Rina kenal…” Syarina ketawa. Fizal senyum, memang Fizal rindukan tawa itu, walaupun suara itu juga yang menemaninya setiap malam.

“Lain kali Rina buat-buatlah tak kenal?”

– Ini tak, tiap kali call mesti tau je aku yang angkat. Macam dia tahu-tahu je aku tengah tunggu panggilan darinya.

“Kenapa? Fizal rasa malu tunggu Rina call? Buat apa nak malu? Kita kan kawan…Rina tak malu pun telefon Fizal…”

– Memang le malu, mana tidaknya Casanova Malaya dah terjatuh cinta dengan seorang gadis yang langsung tak dikenalinya… malu siut!

“Kalau Rina bagi nombor telefon Rina kan senang… bolehlah Fizal call bila-bila masa Fizal perlukan Rina…”

“Maknanya, Rina ni kawan masa diperlukan ajelah ye. Kalau masa Fizal tak perlukan, Fizal tak call ye? Sekarang Fizal perlukan Rina ke tak? Kalau Rina tak diperlukan sekarang, Rina nak letak telefon…” jawapan nada merajuk Syarina membuatkan Fizal terdiam.

- Aiseh! Dia salah faham pula, takkan Syarina merajuk? Habislah Fizal macam ni.

“Bukan macam tu maksud Fizal… Fizal nak Rina temankan Fizal setiap masa… Rina, Fizal… Fizal… sayangkan Rina!”

- Isk! Memalukan, selalunya awek yang akan cakap macam tu dulu pada aku, ini sudah terbalik, nasib baik perempuan ni tak kenal aku.

“Cepatnya Fizal sayangkan Rina, baru tiga bulan kita kawan. Tak kenal pun, macamana boleh sayang pula?”

“Tak boleh ke Fizal sayang Rina sebagai kawan?”

– Memang Fizal sayang Rina bukan saje setakat sebagai seorang kawan, kalau boleh Fizal nak Rina jadi lebih dari itu. Fizal nak Rina jadi permaisuri hidup Fizal. Rina sudi tak jadi permaisuri hidup Fizal…

“Jangan terlalu cepat menghulur sayang, nanti cepat juga kebencian tu datang…” Syarina berfalsafah, Fizal terdiam.

Dia jadi pelik, payahnya nak faham hati perempuan yang satu ni. Cakap macam ni, jawab macam tu.

“Cerita pasal benci ni, Fizal teringat cerita siang tadi…Rina tahu? Musuh ketat Fizal datang rumah tadi, tak sangka rupanya dia tu anak kepada kawan baik mama Fizal. Kalau tengok mak dia, dahlah cantik lemah lembut, baik hati pula… Fizal memang suka mak cik Zakiah tu, dia baik macam mama Fizal juga. Dia pandai masak tau! Fizal suka masakan mak cik Zakiah tu, tapi anaknya buat Fizal sakit hati, Rina nak tahu tak?”

Fizal mengubah topik, tidak mahu lagi berlayar dalam perasaan sendiri. Dia tahu gadis itu tidak akan sudi untuk menjadi teman hidupnya. Siapalah dia, hanya sekadar menjadi teman berbual gadis itu sahaja. Semuanya habis diceritakan, sedikit pun tidak tertinggal. Dari mula dia bertekak dengan budak tomboy itu di kolej, hinggalah cerita budak tomboy tu datang rumahnya. Diselangi dengan tawa Syarina, tidak henti Fizal berceloteh. Memang Fizal bencikan budak tomboy itu. Terlalu benci, bukan budak itu saja tomboy yang dibencinya malah tomboy yang ada seluruh dunia pun dia tak suka.

“Tak ada gunanya jadi tomboy ni. Bukankah elok kalau mereka jadi perempuan sejati? Mereka terlalu menentang hukum alam, hanya perempuan dan lelaki dilahirkan di dunia dan segelintir khunsa. Kenapa perempuan masih mahu berebut title lelaki sehingga sanggup membuat hubungan sejenis yang terang-terang menyalahi hukum Tuhan, Fizal sendiri tak faham!” ujarnya, ternyata yang tersarang di hati Fizal adalah persaingan.

“Kalau Fizal tahu perkara itu salah, sepatutnya Fizal jangan membenci, tapi membimbing… sampai bila, setiap kesalahan itu dihukum dengan perasaan sendiri? Bukankah lebih baik kita bimbing mereka dari terus menyalahinya? Bukan sahaja, perempuan berkelakuan lelaki, tapi lelaki berperasaan seperti perempuan lebih ramai, Fizal. Tapi kita sendiri tak sanggup memberi mereka peluang untuk berubah ke asalnya, yang kita tahu mengkritik… jadi pada dasarnya, kita juga bertanggungjawab apabila mereka jadi begitu…” panjang lebar Syarina berhujah.

Tidak sangka Syarina begitu tegas dalam pandangannya. Dan dia bagaikan seorang pemidato terbaik, tegas dan bernas pandangan yang diberikan.

“Rina macam menyokong golongan itu saja. Ataupun, Rina juga salah seorang dari mereka?” pancing Fizal.

Dia sendiri juga agak was-was dengan identity Syarina. Entah-entah bapuk… Terdengar Syarina ketawa.

“Rina bukan tomboy atau bapuk. Rina seorang perempuan sejati secara lahiriah dan batiniah. Puas hati?” akuinya.

Fizal menarik nafas lega mendengar pengakuan Syarina. Sekurang-kurangnya tidurnya lena malam ini.

“Tapikan, kalau Fizal berjaya menjadikan seorang tomboy sebagai perempuan sejati, bermakna Fizal benar-benar lelaki sejati,” cabar Syarina. Cabaran yang paling berat buat Fizal.

“Fizal takkan berbaik dengan orang begitu, Fizal benci dia, Rina. Tengok mukanya pun Fizal meluat…” luahan Fizal membuatkan Syarina mengeluh.

“Jangan terlalu membenci, nanti bertukar sayang….” Sebaris ayat itu membuatkannya Fizal menelan liur.

- Sayang? Tak mungkin Fizal akan menyayangi budak betina-jantan itu, never! Sudahlah sebijik macam lelaki, kasarnya pula mengalahkan lelaki sejati. Macam tu nak jadikan teman hidup? Jadi kawan pun, belum tahu lagi. Hilang akal apa nak couple dengan betina-jantan tu, silap haribulan aku minta flying kiss dia bagi flying kick… tak pasal-pasal lebam mata aku.

“Hallow! Fizal, ada lagi ke?” Lamunannya terhenti.

“Rina! Betul ke kalau kita terlalu benci nanti jadi sayang?” uji Fizal.

“Yups! Selalunya begitulah, kenapa?”

“Kalau macam tu, Rina bencilah pada Fizal, suatu hari nanti Rina akan sayang pada Fizal! Boleh ke macam tu?” soalnya.

“Memang Rina bencikan Fizal pun! Siapa kata Rina suka pada Fizal? Memang selama ni Rina benci sangat sangat pada Fizal!” Syarina mempermainkannya lagi.

“Kalau benci kenapa Rina call?” perangkapnya. Dan perangkap itu mengena bila tiada lagi suara di hujung sana.

“Dulu Rina benci! Tapi sekarang dah jadi… sayang!” perkataan ‘sayang’ dibisikkan hingga tidak kedengaran di telinganya.

“Sekarang dah jadi apa? Tak dengarlah!” Fizal tak puas hati dengan bisikan gadis itu. Dan tiba-tiba Fizal terus mendengar nada yang menandakan gadis itu telah meletakkan telefonnya.

- Rina, Rina, payahnya nak selam hati kau ni. Dah dekat tiga bulan bertelefon tapi dah lah tak mahu tunjuk muka, nombor telefon pun tak sudi nak bagi. Betul-betul misteri lah dia ni… tapi ye ke dia nak kawan dengan aku betul-betul ataupun dia cuma nak main-mainkan aku je? Ah! Rina, kemisterian kau ni selalu membuatkan aku rasa tak menentu! Rina, Rina, Rina… muncullah kau dalam reality!


BAB SEMBILAN BELAS

Semester baru sudah bermula, ramai yang masih lagi bercerita tentang percutian dan aktiviti mereka semasa cuti semester lepas. Aryssa duduk menghadap ke padang yang hijau. Dia suka suasana itu, tenang dan meringankan mindanya.

“Nah, mee goreng kau, ajak makan di kafe tak mahu! Orang balik dari cuti, ceria, yang engkau ni balik dari cuti monyok macam orang mati laki, apahal?” tingkah Wani, sambil menghulurkan bekas plastik putih.

Aryssa mencapai bungkusan itu, lalu membuka penutupnya. Aroma mee goreng yang masih panas menerawang ke udara. Kata-kata Wani tidak diendahkan, dia terus menikmati keenakan makanan tengah hari itu. Wani melemparkan pandangannya pada Fizal yang sedang berusaha membetulkan kedudukan kerusi rodanya.

“Ry, kesian aku tengok mamat selenga tu… terkial-kial dengan wheel chair dia. Aku tengok awek-awek dia dulu buat bodoh je kat dia, siap tayang-tayang balak depan dia. Nasib baik ada gak kawan-kawan dia yang baik hati…” Wani menggeleng kepala, tersentuh hatinya melihat keadaan pemuda itu, walaupun suatu masa dahulu dia juga salah seorang gadis yang meluat dengan perangai buaya darat lelaki itu.

“Padan muka dia! Itu lah balasannya pada orang yang selalu mempermainkan orang. Dia tak sedar yang orang pun sebenarnya main-mainkan dia…” balas Aryssa.

Dia masih belum puas menyudu mee goreng di hadapannya. Dia menghadap rezeki begitu berselera. Sedap juga mee goreng pak cik ni, tengah kebulur ni, memang apa pun sedap. Batu dengan kayu tu, kalau boleh makan cicah sos cili pun sodap…

“Ish kau ni! Tak baik. Kau janganlah main-mainkan dia lagi Ary, kau tak kesian ke kat dia? Nanti kalau dia tau hal sebenar, bunuh diri pun mahu tu…” kata-kata Wani dibalas dengan senyum sinis.

- Aik, sejak bila pula minah ni berubahnya? Balik je dari Gua Niah dah kena sampuk Puteri Santubong kot, tetiba je nak jadi penyelamat!

Belum sempat Aryssa membalas kata-kata Wani, dilihatnya gadis itu sudah berada di belakang Fizal. Wani menolak kerusi roda pemuda itu menghala ke arahnya. Aryssa yang melihatnya seakan ternganga.

- Mampus! Si Wani ni biar benar, selama ni tak pernah buat kebajikan macam tu. Buatnya dia berbaik dengan budak lelaki tu, kemudian dia bocorkan pula rahsia aku…

“Joint kitoranglah, lagipun kami dah habis class…” ramah Wani mempelawa Fizal.

Lelaki itu merenung ke arah Aryssa. Seperti biasa Aryssa memandang dingin terhadap Fizal. Lelaki itu bagaikan serba salah untuk menerima pelawaan Wani.

“Wani, aku nak pergi library, kau lepak dulu, nanti aku datang balik! Chow!” Aryssa sudah menggalas beg dan berlalu.

“Eh! Ry, relaxla dulu, karang kita pergi la sama-sama… Ry, Aryssa! Hish! Budak ni!!!” jeritan Wani langsung mati di situ, bila Aryssa langsung tidak menoleh padanya lagi.

“Tak apa, saya pun tak berapa suka pada dia, kasar! Kurang ajar pula tu. Macam mana awak yang selembut ni boleh berkawan dengan dia?” komen lelaki di hadapannya.

- Eh! Mamat ni, banyak mulut pula, macamlah kau kenal sangat dengan Aryssa. Kalau kau kenal dia, mahu jatuh cinta tahu! Pandai-pandai je bagi komen pada kawan orang!

“Awak jangan kecil hati dengan Aryssa tu, dia memang macam tu. Awak tak rapat dengan dia, awak tak tahu tentang dia. Sebenarnya Aryssa tu ok, cool pada semua orang. tapi mungkin awak pernah buat salah pada dia kot!”

- Yang Aryssa ni pun satu, kot iya pun benci sangat janganlah tunjukkan depan-depan, kecilkan hati orang. Mentang-mentanglah kawan ni dah jadi macam ni. Tak suka konon, walhal malam nanti dia juga yang telefon kawan tu.

Perangai Aryssa memang payah nak difahami, tambah pula kalau dia sudah mula tak sukakan orang, jangan kata nak duduk berbual nak tengok muka pun dia tak berapa mahu.

“Well, may be! Saya pun bukannya kenal sangat dia. Forget about it! Nama saya, Fizal! Awak?” ucap anak muda itu sebagai mukadimah perkenalan mereka.

“Siapa dalam kolej ni tak tahu nama awak! Well, saya Syazwani, just call me, Wani. Short and cool…”

Mereka mula bercerita tentang diri masing-masing. Fizal agak pandai berbicara. Wani merenung Fizal lama, dan dia mengakui ketampanan jejaka itu. Suaranya pula memang memikat, pandai berjenaka. Mereka juga bertukar nombor telefon dan Fizal mengenakan syarat untuk menghubunginya sebelum jam sepuluh malam. Mendengar syarat itu Wani tersenyum. Dia tahu jam sepuluh adalah masa untuk Syarina. Kalaulah dia tahu Syarina itu adalah Aryssa, mahu bunuh diri.

“Jadi, Wani memang suka aktiviti lasak! Wah! Fizal tak sangka dari wajah lembut Wani ni rupanya Wani ni aktif panjat gunung… dahsyatlah! Muka Wani langsung tak nampak ganas pun. Muka Wani nampak lembut dan ayu…” pujian Fizal membuatkan Wani tidak keruan lagi.

Fizal ketawa, sejak dia kemalangan inilah kali pertama dia ketawa riang di luar, selalunya dia hanya ketawa dan berbual dengan satu-satunya Syarina Wirdayu.

“Ye ke, wajah lembut ke? Tak adalah! Awak ni pandai memuji oranglah!”

Merah muka Wani bila dipuji, dia senyum senang. Sudah lama dia tidak dipuji oleh seorang lelaki. Kalau ada pun cuma pujian dari seorang yang berlagak macam lelaki, Aryssalah tu! Patutlah, ramai gadis yang terpikat dengan lelaki di hadapannya ini. Rupanya lelaki ini pandai menyusun ayat membuatkan hati gadis cair bila berbual dengannya.

“Senang-senang datanglah rumah Fizal, boleh kita borak-borak lama. Mama Fizal tak kisah! Lagipun Fizal senang berkawan dengan Wani… banyak cerita!” pelawaan lelaki itu diterimanya senang hati.

- Fizal, Fizal… patutlah ramai yang terpikat! Aku pun dah naik cair dengar kau berbicara. Memang patutlah si Aryssa tu tak jemu menelefonnya setiap malam. Penangan godaan lelaki ini memang kuat! Aura cintanya cepat meresap dalam jiwa. Dia ni pakai susuk ke, tak pun memang ada ilmu pengasih kot! Senang-senang je aku dah tergoda ni…

Aryssa merenung mereka dari kejauhan, dilihatnya Wani dan Fizal berbual lama. Bukan dia sengaja tidak mahu menyertai mereka, tapi entah kenapa hatinya rasa tidak menentu bila melihat lelaki itu. Pelbagai perasaan yang hadir dalam dirinya, bersalah, kasihan dan adakalanya satu perasaan yang sukar diucapkan datang bertimpa-timpa, tapi dia masih mahu menghubungi lelaki itu melalui telefon.

Lagipun dia tidak mahu, Fizal mengesyaki sesuatu andai mereka berbual, suaranya pasti dapat dikesan Fizal. Dia sudah terlanjur merindui suara itu, hidupnya bagaikan tak lengkap kalau dia tak berbual dengan Fizal melalui telefon. Aryssa terlalu sayang untuk memutuskan hubungan itu, biarlah mereka terus berhubung dengan suara itu adalah lebih baik dari mereka terus bermusuhan.


BAB DUA PULUH

Hujan diluar begitu lebat malam itu, hingga kesejukannya dapat dirasai di segenap ruang bilik. Kesejukan itu membuat kakinya ngilu yang amat sangat, dia menarik selimut tebalnya hingga ke paras pinggang. Dia masih menunggu panggilan Syarina walaupun jarum pendek sudah jauh melangkau dari angka sepuluh.

Sebentar tadi dia baru sahaja habis berbual dengan Wani, gadis yang menemaninya di kolej siang tadi. Dia senang dengan gadis itu, ramah dan menghiburkan seperti Syarina. Pada Wani juga dia memberitahu perihal misteri Syarina. Dia juga menyatakan yang Syarina begitu istimewa, biarpun dia pernah didampingi berpuluh gadis tetapi mereka tak sama dengan Syarina.

Tapi siang tadi dia agak berkecil hati dengan sikap yang ditunjukkan Aryssa, marah sangatkah Aryssa padanya? Kenapalah gadis itu begitu memusuhinya, mungkin kerana sikapnya selama ini membuatkan Aryssa begitu membencinya, tapi sampai bila? Kadangkala dia terasa mahu berbaik dengan gadis ala tomboy itu, semuanya kerana nasihat si misteri Syarina.

Kerana nasihat si misteri itu juga dia sudah mula untuk melupakan apa yang berlaku antara dia dan Aryssa, namun si betina-jantan itu bersikap terlalu dingin. Jangan kata nak berbual, senyum Fizal pun Aryssa tak mahu balas, sedangkan kedua keluarga mereka bersahabat, namun permusuhan mereka tidak dapat dihidu keluarga. Fizal masih menanti panggilan dari si misteri Syarina Wirdayu, tetapi jam sepuluh malam ini hanya suara hujan yang masih tak jemu menemaninya.

Si misteri yang dirinduinya setiap malam, masih tidak mahu menghubunginya. Fizal mulai resah, gelisah bila telefon merah di atas meja tidak berdering seperti selalu. Kenapa dengannya? Dia sakitkah atau pergi mana-mana ke? Ataupun ada saudaranya yang sakit dan meninggalkah? Semuanya berlegar di fikiran. Kenapalah dia tak mahu bagi nombor telefonnya pada Fizal, tidaklah Fizal menunggu macam buah tak gugur!

347 Views | 6 Comments | Rating: (2 rates)

(6 Comments , 0 are new)
1 Re: Bab 16 -- Bab 20 by caluk on March 14, 2008, 12:28:47 PM
tungguuuuu , ader sambungan lagi
2 Re: Bab 16 -- Bab 20 by anyss on March 14, 2008, 02:20:41 PM
Sila sambung cepat2 Cheesy
3 Re: Bab 16 -- Bab 20 by caluk on March 14, 2008, 02:36:37 PM
ialah2
4 Re: Bab 16 -- Bab 20 by dina on March 14, 2008, 02:44:36 PM
TQ sebab membaca citer aku ni... aku mengharapkan komen dan kritikan membina utk aku terus maju... TQ
5 Re: Bab 16 -- Bab 20 by caluk on March 20, 2008, 12:35:09 PM
Adakah Fizal sudah berubah Huh?
6 Re: Bab 16 -- Bab 20 by dina on May 23, 2008, 05:08:16 PM
hu hu hu... fizal memang sudah berubah
Commenting option has been turned off for this article.