BAB DUA PULUH SATU
“Mak! Ayah!!!” jeritan Aryssa tenggelam dalam hujan lebat. Dia tahu ibunya tidak dapat mendengar suaranya ketika itu, tika guruh dan kilat sabung menyabung. Asryssa tidak berputus asa, dia menjerit lagi dengan harapan yang sama, semoga ibunya mendengar suaranya.
“Ary… Abang! Abang! Ary sakit balik tu!!!” Zakiah yang kebetulan melintas di hadapan bilik Aryssa terus meluru ke arahnya.
Alias segera masuk dan memangku anak gadisnya yang sudah lemah. Mereka memapah Aryssa masuk ke perut kereta. Wajah Aryssa yang begitu pucat amat merisaukan Zakiah.
“Bang, cepat bang…dia susah nak bernafas dah ni…” desak Zakiah.
Zakiah terus memasukkan inhaler ke mulut Aryssa dan menekan beberapa kali, tetapi ternyata inhaler itu langsung tidak berkesan pada anak gadis tunggalnya itu. Jantung Zakiah berdegup kencang, Ya Allah! Selamatkanlah anak aku! Dialah satu-satunya permata dalam hidup aku…
Digenggamnya tangan anak tunggalnya itu, wajah Aryssa yang selalunya putih kemerahan kini berubah pucat. Bibir merah jambunya yang sentiasa memekarkan senyuman sudah mulai bertukar biru dan ada darah mengalir dari rekahan bibirnya. Sudah sekian lama Aryssa tidak diserang, penyakit buah pinggang yang dideritainya semenjak berusia dua belas tahun. Sejak usia itu juga, sudah dua kali pembedahan dilakukan.
Tetapi menurut doctor, buah pinggang Aryssa yang sudah rosak perlu digantikan dengan buah pinggang yang sesuai, tapi yang merumitkan lagi buah pinggang Zakiah dan Alias sendiri tidak sesuai untuk digantikan. Sehingga kini tiada buah pinggang yang sesuai untuk Aryssa. Justeru, Aryssa terpaksa bergantung dengan ubat dan mesin dialysis untuk terus hidup.
Sebulan sekali dia terpaksa membuat ujian darah dan dialysis atau pembersihan darah akan dilakukan dua hingga tiga kali seminggu selama beberapa jam. Mesin itu juga dibeli mereka atas permintaan Aryssa kerana anak gadis itu sudah tidak sanggup berulang-alik ke hospital, lagipun Aryssa mahu meneruskan hidup seperti orang biasa, dia mahu ke kolej dan menikmati kehidupan remajanya tanpa dibelenggu oleh jadual doctor.
Mata Zakiah masih basah, sudah satu jam Aryssa berada di wad kecemasan, Aryssa belum sedarkan diri. Alias juga bagai tidak senang duduk melihat keadaan anak itu, dia sudah lama mencari penderma dan kalau ada yang sanggup menjual buah pinggang mereka, dia sanggup untuk membeli walau berapa harganya sekalipun. Tetapi bila dia merujuk semula kepada doctor, jawapannya masih sama. Masih tiada yang sesuai lagi untuk dipindahkan. Setiap kali memikirkannya dia menyalahkan diri sendiri kerana tidak mampu menyembuhkan anak gadis kesayangannya itu.
“Mak bawa apa untuk Ary?” pertanyaan si anak membuatkan Zakiah mencerunkan mata, tajam merenung anak itu.
Bila dia tahu Aryssa diserang sakit kerana sudah lama tidak makan ubat, dia jadi geram. Anak itu memang degil. Kedegilannya kadangkala membuatkannya bagaikan mahu diserang sakit jantung.
“Seronoklah ye! Duduk wad, mak bawa makanan dan suapkan makan tiap-tiap hari. Ary tahu tak? Ary buat mak dan ayah hampir putus nyawa tau? Nasib baik ayah dengan mak tak ada sakit jantung! Cubalah fikir dulu sebelum buat apa-apa tindakan…” sindiran Zakiah hanya dibalasnya dengan senyuman.
“Sorry! Wah! Rajinnya mak masak pudding, rendang ayam pun ada… kalau macam ni, Ary nak duduk hospital ajelah… dapat makan sedap-sedap!”
Dia tersengih membetulkan duduknya. Terkecur air liurnya bila melihat emaknya membuka mangkuk tingkat yang terisi makanan kegemarannya. Tidak sabar-sabar dia mahu menikmati juadah yang di bawa Zakiah.
“Ye lah, nak duduk kat sini hari-hari... Ary kan tahu, Ary kena makan ubat setiap hari empat kali sehari…tak boleh miss sekalipun. Ary jangan buat macam ni lain kali ye. Buat mak semput je… dah lah Ary seorang je anak yang mak dengan ayah ada. Mak tak mahu kehilangan Aryssa. Mak dan ayah sentiasa berusaha untuk menyembuhkan penyakit Ary. Tapi Ary kena makan ubat ikut jadual… Ary buat macam ni, macam Ary dah tak sayangkan mak dan ayah!” airmata Zakiah meluncur laju.
Tangannya yang ingin menyuap anak kesayangannya itu terhenti. Hatinya sebak tiba-tiba bila teringatkan keadaan Aryssa semalam. Dia benar-benar risau. Degup jantungnya bagaikan terhenti bila melihat wajah pucat anak gadis itu. Jantungnya bagaikan gugur bila mendengar suara Aryssa mengerang kesakitan. Aryssa adalah satu-satunya anak yang ada dalam hidupnya, dia memang tidak boleh hamil lagi kerana ada ketumbuhan yang pernah menumpang di dalam rahimnya. Walaupun selepas pembedahan, ruang rahimnya tidak kuat menampung bayi untuk dihamilkan. Akibat dari itu dia keguguran beberapa kali selepas melahirkan Aryssa.
Hati Aryssa tersentuh bila melihat airmata Zakiah. Terasa teramat berdosa kerana mengundang kebimbangan orang tua itu. Memang salahnya, dia tahu dia harus makan ubat untuk meneruskan hidup. Tapi dia cuba untuk membuat eksperimen untuk dirinya, dia bertekad tak mahu makan ubat sejak tiga bulan lalu. Akibatnya, bahagian pinggangnya sering mengalami kesakitan yang amat sangat hingga sukar untuknya bernafas, tapi setiap kali ia menyerang, dia dapat melawannya. Entah mengapa semalam sakitnya tidak dapat ditahan lagi. Terasa buah pinggangnya bagaikan sudah pecah, perit dan menyakitkan.
“Maafkan Ary, mak. Ary janji tak buat lagi… Tapi Ary nak hidup macam orang normal, Ary tak mahu hidup dengan ubat saja mak. Ary dah jemu makan ubat…” pelukan erat Aryssa membuatkan Zakiah teresak-esak menahan tangisan.
“Ary tak boleh buat macam ni, selagi tak ada orang yang boleh dermakan buah pinggang pada Ary, Ary kena ikut kata doctor. Mak faham keadaan Ary, tapi mak minta Ary bersabar sehingga suatu masa nanti Ary dah sihat, Ary boleh lakukan apa yang Ary suka, okey!” pujuk Zakiah.
Tangannya mengusap lembut rambut anaknya itu. Hati ibu mana yang tidak terusik melihat keadaan anak sebegini yang tidak dapat hidup seperti orang lain. Dia faham kemahuan Aryssa, tapi kemahuan itu tak mungkin dapat dilaksanakan sehingga dia bertemu penderma yang sesuai. Menurut doctor, pembedahan perlu dilakukan dengan segera. Penyakit Aryssa sudah sampai ke tahap kritikal dan perlukan pembedahan secepat yang mungkin kerana kedua-dua buah pinggang sudah rosak. Sudah puas dia dan suaminya berusaha mencari penderma. Malah jika ada yang mahukan bayaran mereka sanggup membayar walau berapa harganya.
Pada usia Aryssa menjangkau empat belas tahun, ada seorang penderma yang baik hati hendak memberi sebelah dari buah pinggangnya secara percuma. Namun mereka hampa bila buah pinggang penderma itu juga tidak sesuai. Pernah mereka cuba mahu mengiklankan pada media, tapi dihalang Aryssa. Aryssa tidak mahu dirinya diiklankan kerana penyakit itu. Dia tak mahu masa depannya musnah kerana semua orang tahu tentang penyakitnya. Mereka akur dengan kehendak anak itu, walaupun hati mereka tidak pernah tenteram kerana risaukan penderitaan si anak. Sehingga kini, mereka masih berurusan dengan pihak hospital untuk mencarikan buah pinggang yang sesuai dengan Aryssa.
BAB DUA PULUH DUA
Hampir seminggu Syarina tidak menelefonnya, semalam dia menunggu sampai tertidur. Apabila tersedar saja dari tidur terus dia menjerit memanggil mama dan bertanya samada ada panggilan untuknya atau tidak. Jawapan yang diterimanya, hampa. Dia jadi tidak keruan, bimbang kalau-kalau Syarina sudah tidak sudi lagi untuk berkawan dengannya, ataupun Syarina sakit, mungkin Syarina kurang sihat, dia cuba memujuk hati.
Tapi, tak kisahlah kalau Syarina tidak mahu berkawan dengannya, dia sudah ada Wani untuk menggantikan tempat Syarina sekaligus menggantikan tempat awek-awek sebelumnya. Lagipun Syarina tidak jujur, tidak pernah mahu menceritakan siapa dirinya sebenar. Tapi mana boleh Syarina pergi macam itu sahaja, sekurang-kurangnya berilah dia peluang untuk mengucapkan terima kasih kerana Syarina, gadis misteri itu sering menemaninya ketika dia perlukan seseorang untuk berbicara.
- Rina, mana lah kau pergi… Fizal rindu! Rina tak rindu ke pada Fizal? Sampai hati Rina buat Fizal macam ni, Rina call Fizal setiap hari sampai Fizal jatuh cinta, kemudian bila Fizal dah syok pada suara Rina, Rina pergi tanpa berita. Tidakkah Rina rasa, diri Rina tu seorang yang kejam!? Rina buat Fizal tertunggu-tunggu… Rina buat Fizal ternanti-nanti panggilan suara Rina. Rina tak mahu kawan dengan Fizal lagi ke…
Fizal sudah mulai meracau. Bagaikan terigau-igau mendengar suara Syarina. Tapi segala igauannya jadi kenyataan bila beberapa minit kemudian telefon berdering. Pantas tangan Fizal meraih telefon merah itu. Tak sabar menanti suara yang bakal memberi salam padanya. Dan suara ceria itu benar-benar kepunyaan Syarina Wirdayu.
“Hello Fizal! Apa khabar? Fizal sihat ke? Rina-”
“Mana Rina pergi? Ooo…suka hati Rina je nak call Fizal bila ye? Rina tahu tak Fizal tunggu Rina call macam tunggul kayu je… Kenapa Rina buat Fizal macam ni? Dah lah Rina tak mahu bagi nombor telefon, tak mahu kenalkan diri… sampai bila Rina nak menipu Fizal? Kalau Rina tak nak berterus-terang dengan Fizal, kita tak payah kawan lagi…” bentakan dari suara lelaki itu membuatkan Syarina terkejut. Belum sempat dia memulakan bicara dia sudah disembur begitu.
- Kenapa dengan mamat ni? Hilang akal apa? Takkan marahkan aku tak call sampai macam ni sekali. Ke dia dah terangaukan aku, eh! Bukan aku, Syarina Wirdayu lah!
“Chup! Chup! Fizal ni dah kenapa, marah-marah je hari ni. Datang bulan ke? Rilexla… Rina kena balik kampung la… nenek Rina meninggal dunia!” jawapan sayu itu membuatkan Fizal pula terdiam di hujung talian.
“Sorry… Rina! Fizal out of control! Fizal… Fizal tak patut marahkan Rina. Fizal tak tahu apa jadi pada Rina, Fizal risau… kalau Rina tak mahu kawan dengan Fizal!”
- Salah aku juga, main sembur je. Buatnya minah ni langsung tak mahu call aku lagi, baru niaya. Sudahlah sekarang, aku macam tak boleh hidup kalau tak dengar suaranya…
“No sweat! Lain kali, tanya dulu barulah nak marah-marah. Tak kanlah tak ada sebab, tiba-tiba Rina tak nak telefon Fizal. Kalau Rina tak call maknanya Rina ada hal… Takkanlah Rina nak lapor diri pada Fizal setiap kali nak pergi mana-mana?” jawapan itu benar-benar melegakannya.
Kalau diikutkan hati dia tak mahu lagi menelefon lelaki itu. Tapi entah kenapa hatinya memberontak juga untuk mendengar suara lelaki ini. Lima hari dia terbaring di hospital, betapa dia rindukan suara itu. Betapa dia rindukan gelak tawa Fizal. Betapa dia rindukan kata-kata Fizal yang meruntun nalurinya. Tidak sangka pula baru dia hendak melepas rindu, dia ditengking sebegitu. Boleh tahan juga kalau Fizal marah.
“Fizal minta maaf, Rina. Sebenarnya, Fizal rindu sangat pada Rina…”
Sungguh memang perkataan itulah dia nantikan selama dia di wad. Tapi benarkah lelaki itu rindukan Syarina ataupun Syarina cuma perhentian sementara? Syarina tidak mahu hanyut tiba-tiba. Walaupun hatinya sekarang sudah mulai dihuni Fizal.
“Fizal dah okey ke? Tak ada cerita menarik selama lima hari Rina tak call…” Syarina mengubah topik, dia tidak mahu terus tewas dilayari perasaan, dia hanya mahu mendengar suara dan tawa lelaki itu. Lima hari dia merinduinya, selama itu juga dia memendam perasaan. Syarina tahu hatinya sudah tersangkut, tapi bolehkah dia melupakan kisah lama untuk memulakan cinta baru?
“Fizal okey! Cuma Rina tu je yang tak okey kan?”
Untuk kesekian kalinya Fizal cuba menyelami hati gadis itu lagi. Mana tahu, Syarina sebenarnya malu untuk mengaku yang dia juga menyintai Fizal.
“Eh! Tak la, Rina okey je!”
“Rina tak rindu Fizal?”
“Tak!”
“Sikit pun tak?”
“Sikit pun taklah!” Oh! Tuhan, janganlah kau uji lagi hati ini dengan perasaan yang mengelirukan ini.
“Kalau tak rindu, kenapa call Fizal lagi? Dah lima hari tak call, tak payahlah call sampai bila-bila pun!” Syarina terperangkap dengan soalan yang bakal membuatkan segala rasanya terbongkar.
“Oh! Kalau tak rindu, tak boleh call? Kenapa Fizal nak marah-marah Rina ni, kalau tak suka Rina call, lain kali Rina tak mahu call lagilah macam ni…” rajuknya. Pura-pura.
“Bukan macam tu, tapi tak boleh ke Rina buang sikit ego Rina tu and just say, you missed me? Fizal dah banyak buangkan segala ego Fizal selama ni, Rina… terlalu banyak. Dan segalanya untuk Rina! Tak boleh ke Rina bagi sikit pun harapan untuk Fizal sulam sayang Fizal di hati Rina?” suara Fizal rendah sekali. Dalam kerendahan suara itu, Syarina dapat rasakan kejujuran lelaki itu.
- Ah! Jujurkah lelaki ini? Atau hanya pura-pura untuk mempermainkan hatinya…
“Rina!”
“Hmmm….”
“Tak adakah secebis hati Rina untuk sayangkan Fizal lebih dari seorang kawan?” soalan Fizal memerangkap seluruh hati dan jiwanya untuk tidak pergi jauh menerawang mencari cinta lain. Kala itu Syarina kelu, tiada jawapan.
- Tidak mungkin! Dia tak mungkin akan menyintai lelaki itu. Dia cuma mahu mempermainkannya. Fizal perlu diberi pengajaran di atas kesalahan yang pernah lelaki itu lakukan. Tapi layakkah dia yang menghukum lelaki itu? Bukankah, dia sendiri sudah mulai jatuh kasih pada lelaki yang pernah digelarnya buaya? Bukankah dia juga merindui suara lelaki itu!?
Tidak… bukan Aryssa yang menyintai Fizal. Aryssa hanya mahu mempermainkan hati Fizal. Yang menyintai Fizal, adalah Syarina. Tapi Aryssa dan Syarina adalah orang yang sama…
Aryssa mulai keliru dengan perasaannya. Mana mungkin dia menyintai Fizal. Tak mungkin! Hatinya hanya untuk Amir… tapi semakin lama, rindunya pada Amir semakin tenggelam dan pudar, dan rindunya pada lelaki bernama Fizal semakin menyegar! Tidak Aryssa, kau cuma nak mempermainkan Fizal. Kau cuma mahu memberikan pengajaran kepada lelaki yang sudah banyak mendera perasaan ramai gadis. Kau cuma mahu lelaki itu menangis kecewa…
“Rina, dengar tak apa yang Fizal cakap ni? Rina… hello!” suara Fizal dihujung sana dibiarkan. Hatinya mulai merintih hiba. Apa yang perlu diucapkan, dia tidak pasti. Yang pastinya dia juga dapat merasakan perasaan yang sama bila mendengar suara itu.
“Fi… Fizal. Rina… Rina… ada kerja sikit. Esok Rina call lagi! Bye!”
Klik! Bunyi telefon diletakkan. Fizal tergamam. Tak sangka semudah itu gadis itu meletakkan telefon tanpa memperdulikan perasaannya sekarang. Apa boleh buat, untuk menghubunginya semula, dia tidak punya nombor telefon gadis itu. Akhirnya terpaksalah dia menanti hari esok untuk mendapatkan jawapan yang pasti.
BAB DUA PULUH TIGA
Wani tidak dapat melelapkan mata, dia asyik berpusing ke kiri dan ke kanan. Ingatannya tertumpu pada lelaki yang sudah menghuni di hatinya. Dia baru sahaja pulang dari rumah Fizal, menemani anak muda itu berbual. Dia menyenanginya dan keluarganya, Auntie Salina begitu baik dan melayannya seperti anak sendiri, begitu juga uncle Jefri, bapa Fizal, walaupun tak sampai sebulan dia berkawan dengan anak bujang pasangan baik hati itu. Kalau dulu dia amat membenci romeo Perdana Kolej ini, tapi sekarang perasaannya bertukar sayang. Dia mahu jadi peneman Fizal sehingga lelaki itu sembuh. Tapi adakalanya dia cemburu bila bibir lelaki itu tidak pernah lekang menyebut nama Syarina setiap kali mereka berbual.
Kelmarin Fizal mengadu yang Syarina sudah beberapa hari tidak menghubunginya. Dan tadi, Fizal memberitahu yang Syarina balik kampung kerana neneknya sakit tenat. Wani keliru, sedangkan dia tahu kedua-dua belah nenek Aryssa sudah lama meninggal dunia. Dia juga hairan hampir seminggu Aryssa tidak datang kuliah. Wani cuba menelefon telefon bimbitnya, tapi tiada jawapan. Dia telefon di rumah, tapi tiada siapa yang mengangkat telefon itu. Petang kelmarin dia pergi ke rumah Aryssa, pagarnya juga bermangga besar. Mungkin mereka sekeluarga tiada, tapi kemana dia sendiri tidak pasti, ataupun Aryssa atau keluarganya sakit. Aryssa terlalu perahsia orangnya, teringat Wani ada suatu hari dia melepak di bilik Aryssa dilihatnya di atas meja ada beberapa botol pil yang bewarna-warni. Pernah juga dia bertanya, tetapi Aryssa seperti tak mahu berbicara tentang ubat itu. Katanya itu cuma vitamin kesihatan.
Semasa mereka di tingkatan empat, Aryssa tidak diterima masuk ke dalam pasukan hoki sekolah, walaupun tidak pernah memonteng waktu latihan. Dia dapat melihat wajah Aryssa pada ketika itu, langsung tidak kecewa dengan keputusan cikgu Sarjit. Permainannya juga agak mantap, tetapi dia akan berhenti beberapa minit sebelum meneruskannya. Wani tahu Aryssa amat menggemari sukan itu sejak sekolah rendah lagi, mereka sering berangan untuk menjadi ratu hoki di sekolah menengah suatu masa nanti. Namun, Wani sendiri hairan bila Aryssa bagaikan tidak kisah lagi tentang cita-citanya bila mereka sama-sama melangkah ke sekolah menengah. Apabila di tingkatan lima, Aryssa diberi peluang oleh cikgu Sarjit untuk menjadi pemain simpanan dalam pasukan hoki mereka. Namun, sejak jadi pemain simpanan tidak pernah walau sekalipun Aryssa dimasukkan ke padang semasa pertukaran pemain. Wani tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan teman baiknya itu, tapi sehingga kini Wani tidak pernah bertanya.
Wani berjalan di tepi padang tempat dia selalu melepak bersama Aryssa sementara menunggu waktu kuliah. Dia terlihat bangku tempat dia selalu berbual dengan Aryssa diduduki seseorang. Hatinya gembira bila dilihatnya gadis itu adalah Aryssa.
“Hei! Mana kau pergi? Seminggu tak nampak muka? Melancong ke?” sergahan Wani bersama pukulan perit singgah di bahu Aryssa, lantas dia menggosok bahunya yang perit dipukul temannya itu.
“Tak, aku pergi melencong!” balas Aryssa dalam tawa kecil.
“Yelah tu, aku datang rumah kau, tak ada orang… Aku call handphone kau, tak angkat pun, bertapa ke? Takkan satu family pergi bertapa…” gurauan Wani dibalas dengan senyuman. Tiada jawapan yang boleh membuatkan Wani puas hati. Wani mengeluh, malas bertanya lagi. Dia sudah maklum dengan Aryssa, jika sesuatu dia tidak mahu memberitahu dia tidak akan beritahu sampai bila-bila.
“Nah, aku beli masa ‘melencong’ hari tu…” sekeping penanda buku yang cantik dihulurkan pada Wani.
Penanda buku itu dihiasi bunga-bunga kering dan ada kata-kata hikmat di belakangnya. Penanda buku itu dibuatnya semasa berada di hospital minggu lalu. Bunga-bunga yang dibawa oleh saudara dan emaknya dikeringkan dan dia menghasilkan kad dan penanda buku menggunakan bunga-bunga tersebut.
“Ye lah tu kau beli, aku tengok pun tahu kau buat sendiri… Kau tak nak cerita kat aku kau pergi mana? Ary… kitakan dah lama kawan?” tanpa jemu, Wani meminta penjelasan.
“Aku tak ke mana-mana, cuma tak sihat je,” jawab Aryssa.
“Ary, kau kan kawan aku, kalau kau tak sihat apa salahnya kau beri tahu aku, bolehlah aku datang melawat kau. Bawa buah tangan untuk kau ke? Ini tidak, kau ni asyik nak berahsia je lah!” luah Wani.
Sememangnya dia tidak pernah melihat Aryssa sakit sebelum ini. Yang dia tahu gadis tomboy itu kelihatan ceria setiap hari.
“Hallow! Kawan! Aku demam sikit je lah! Bukan apa-apa pun, okey! Next time kalau aku demam je aku call kau, and kau buat press conference! Okey?” gurau Aryssa. Sengaja mahu mengubah situasi Wani yang kelihatan kusam bila mengetahui dia sakit.
“Orang cakap betul-betul kau main-main! Takkan kau demam sikit cuti sampai seminggu, Ry. Kurang yakin la aku dengan jawapan kau tu!” wani masih tidak puas hati, ingin dikoreknya lagi rahsia kawan itu. Pasti ada sesuatu yang disembunyikan Aryssa.
“Hie… banyak ceritalah kau ni! Aku cakap yang betullah! Memang demam je, tapi aku malas datang kelas. Tu yang aku lepak je kat rumah, letihlah kau ni! Nah ni, kau bagi pada boy friend kau tu,” Aryssa mengeluarkan lagi sekeping memberikan kepada Wani.
Wani tahu siapa yang dimaksudkan Aryssa, ingatannya melayang pada Fizal, lantas dia membiarkan sahaja persoalannya tergantung. Penanda buku yang dibuat dari bunga-bunga kecil yang dibentuk umpama jambangan itu untuk Fizal. Di belakangnya ada tertulis sesuatu yang agak puitis.
“Kau tahu, Ary… sekarang baru aku perasan muka dia iras-iras A’aron Aziz, lemah lutut aku bila tengok muka dia!”
Wani mula bercerita tentang Fizal. Dua tiga hari ini, perasaannya pada lelaki itu bertambah lain. Bila mendengar sahaja suara lunak pemuda itu, Wani bagaikan sudah berada di awangan. Apakah ini yang dimaksudkan cinta, Wani sendiri tidak pasti. Yang pasti, dia begitu cemburu andai nama orang lain disebut sering disebut lelaki itu.
“Aron Aziz? Siapa tu?”
“Alah, kau ni, pelakon drama TV tulah! Selalu dalam slot Samarinda, yang macho tu. Kau tu mana nak kenal tengok TV pun malas. Malaslah aku cakap dengan kau.” Wani seakan malas untuk meneruskannya. Bosan dengan sikap temannya itu yang paling tidak suka menonton TV. Yang ditahunya melukis-melukis dan melukis, serta apa sahaja perkara berbentuk lukisan.
“Mana aku tau, Rosyam Noor aku kenallah. Aku rasa dia yang paling handsome antara pelakon-pelakon lain,” jawap Aryssa. Mendengar itu, Wani mengeluh kemudian ketawa geli hati.
“Rosyam Noor tu hero dah tua, kau ni memang tak ada tastelah! Malas aku nak layan kau!” Dia langsung menukar cerita.
Lagi dia layan Aryssa bercakap pasal pelakon kat Malaysia ni, lagi dia akan pening kepala, nanti tak pasal-pasal keluar nama Nordin Ahmad dengan P. Ramlee. Tau sangat dia dengan kawannya itu, menonton TV adalah aktiviti yang paling tidak digemari Aryssa.
“Bila kau nak hentikan lakonan kau? Setiap hari dia asyik bercerita pasal kau. Aku rasa dia dah terpikat pada kaulah…” suara Wani mula mendatar. Wani menunduk, ada kegusaran di wajahnya. Aryssa tahu kawannya itu dilanda rasa cemburu.
“Bukan pada aku, pada suara aku ni je. Takkan baru sebulan kau rapat dengan dia, dah bercinta kot? Biar betul kau Wani… Kau tak mahu tunggu Hero Dermaga Kolej ke?” Aryssa ketawa bersahaja.
“Si Zastri tu? Kau tak tahu ke? Parents dia dah hantar dia study kat England, sebab dia dah terbuntingkan si Lydia, anak Dato’ Hisham tu… Kau tahu, si Fizal tu pun couple dengan Lydia on the same time. Terkejut si Fizal dengar cerita aku,” terjuih-juih mulut si Wani bergossip.
“Lydia cakap dia dah break off dengan Zastri rupanya perempuan tu penipu. Kesian Fizal, frust betul dia…” sambungnya lagi
Memang Aryssa tahu kisah itu. Fizal yang menceritakan padanya semalam. Bersungguh-sungguh lelaki itu bersyukur kepada Tuhan kerana mentakdirkan ujian untuknya, kalau tidak tentu dia akan diseret menjadi pak sanggup. Aryssa tahu Wani sudah mulai terpikat dengan Fizal. Hatinya dilanda sekelumit cemburu.
“Wani!”
“Yups!”
“Kau betul-betul dah jatuh cinta pada mamat tu ke?” Aryssa merenung tepat ke mata Wani. Teman baiknya itu mengangguk perlahan, bagaikan malu-malu dengan jawapannya.
“Kenapa? Kau tak percaya ke atau kau pun dah suka pada Fizal?” pancing Wani bila dilihatnya Aryssa bagai bersungguh ingin tahu.
“Oh! Please… Wani. Soalan apa kau bagi aku ni? Kau pun tahu kan kita cuma nak mempermainkan dia. Dan kau dah tak ingat apa yang berlaku pada kaum sejenis kita dulu?” balas Aryssa mengelak dari persoalan itu. Dia cuba mengimbas kembali ingatan Wani pada Rahayu, gadis yang meratap merayu lelaki buaya itu.
“Kita? Kita yang nak permainkan dia? Sekarang bukan kita, kau sorang je ye. Jangan nak babitkan aku pula dengan pekerjaan tak jujur kau tu! Please la Ary, janganlah kau mainkan dia sampai nanti kau yang dimainkan balik. Atau kau jatuh cinta pula dengan dia. Iman perempuan ni bukannya kukuh sangat!” sindir Wani dalam senyum sinis.
“Oh! Jadi di sebabkan kau dah jatuh hati pada mamat selenga tu, kau nak letak kesalahan pada aku pula. Tolonglah, Wani tak mungkin aku nak jatuh cinta pada mamat tak ada wawasan tu!” tapi ternyata kata-katanya yang ditelan hanya sebuah kata-kata tanpa makna.
Memang adakalanya Aryssa merasakan ada sesuatu yang menyelinap di hati bila nama Fizal terkeluar dari bibirnya. Ada sesuatu yang berbunga bila tiba-tiba wajah Fizal menerawang di awangan bagaikan melambainya. Apa maknanya semua ini. Dia dah jatuh cinta juga ke pada lelaki yang juga dicintai Wani. Mana mungkin dia boleh menyintai lelaki itu, kerana yang berbual setiap malam dengan lelaki itu adalah Syarina bukan Aryssa. Tak mungkin lelaki itu akan memberikan secebis cintanya pada Aryssa, budak tomboy yang terang-terang dibencinya.
Fizal membelek penanda buku yang diberi Wani. Kata Wani, budak betina-jantan tu belikan semasa dia melancong. Bila pula betina-jantan ni pergi melancong. Tidak pernah pun mama cerita yang family mak cik Zakiah pergi melancong. Lagipun takkan melancong selepas habis cuti semester. Tak pun dia yang melencong. Melihat pada penanda buku itu dia tahu penanda itu dibuat sendiri. Kreatif juga budak betina-jantan ni, sama macam Rina. Cute juga benda ni, bunga-bunga kering yang disusun cantik dan kelihatan seperti jambangan kecil dan diikat pula dengan riben bewarna biru muda, warna kegemaran Fizal. Macam tahu-tahu je aku suka warna itu. Fizal sendiri hairan apasal tiba-tiba pula budak ni bagi souvenir kat aku? Buang tebiat kot. Dia menterbalikkan penanda itu, tertera di belakangnya tiga baris kata-kata yang cukup puitis –
Cinta itu manis andai disulam keikhlasan dan kesetiaan, namun cinta itu rapuh jika tiada pengorbanan, dan cinta itu akan kukuh bila disulam doa dan tawakal, kerana cinta kepada Allah akan kekal!
- Hemm… pandai budak ni mengarang kata-kata puitis, ringkas tapi padat dengan mesej yang bermakna. Tapi macam perli aku je. Dekat seminggu Fizal tak jumpa dia, Wani sendiri tak tahu ke mana kawannya itu, padahal mereka kawan rapat ini yang membuatkan Fizal sedikit curiga. Entah-entah budak betina-jantan tu yang menyamar sebagai Syarina. Tapi, tak berasas juga tuduhan Fizal tu, mendengar pada suaranya, dapat Fizal bayangkan yang Syarina itu mesti lemah lembut, sopan-santun dan berperwatakan yang agak menarik dengan rambut yang panjang dan mempunyai ciri-ciri gadis sejati. Tak kena langsung dengan perwatakan si betina-jantan ni. Sudahlah kasar, muka pula tu tak pernahnya yang manis.
BAB DUA PULUH EMPAT
Wani menemani Fizal ke Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz. Besi yang terpacak di kaki Fizal sudah dikeluarkan. Fizal perlu berjalan di atas batu-batuan kecil untuk refleksology. Wani pula akan memegang tangan lelaki itu dan mengadun untuk Fizal bertatih mengatur langkah perlahan-lahan. Fizal tidak perlukan kerusi roda untuk ke mana-mana. Yang dia perlukan cuma sepasang tongkat. Menurut doctor, dalam masa dua bulan lagi Fizal akan berjalan seperti sediakala.
“Kalau Rina ada sekali best kan? Fizal teringin nak jumpa Syarina. Dia baik sangat kat Fizal. Kalau tak ada dia, Fizal dah rasa putus asa je nak hidup…” kata-kata Fizal membuatkan Wani memalingkan wajah.
- Balik-balik Rina, aku yang tercongok kat depan dia ni jangan kata nak puji, terima kasih pun tak, yang dia tahu sebut nama Syarina sepanjang hari, tak boleh tidak. Teringin nak jumpalah, tak sabar nak tengok rupa dialah, tak sabar nak kenalkan pada mama, penyelamat hidup dialah, konon. Macamlah Syarina tu superwoman yang selamatkan dia dari kemalangan tempoh hari.
Memang Wani cemburu. Dia yang sibuk melayan, temankan ke sana-sini. Siap datang rumah untuk temankan anak muda itu berbual. Tapi yang didengarnya hari-hari, nama Syarina sahaja. Kadang tu mahu sahaja Wani membocorkan rahsia si Syarina tu.
- Aku ni dekat dua bulan tunggu kata-kata manis dari dia. Kot dia nak kata ‘aku sayang padamu’ ke takpun ‘aku suka kau’ ke? Macam tunggu bulan jatuh ke riba, entah bila-bila.
“Wani agak-agak macam mana rupa Syarina? Fizal bayangkan, rambutnya lurus dan panjang melepasi bahu. Mata bulat, hidung mancung, ada lesung pipit dan semestinya mempuyai senyuman yang termanis di dunia...” Fizal masih lagi tidak jemu memuja si gadis misteri itu.
- Syarina lagi? Sah budak ni dah gila bayang, boleh tahan juga penangan si Aryssa ni. Kalau lah kau tahu yang kau dah kena tipu dek budak tomboy yang kau bencikan sangat tu…
“Fizal tak takut ke kalau Syarina tu nerd, gemuk, kulit dia gelap, pakai cermin mata tebal, rambut kerinting macam Negro, Fizal nak ke couple dengan orang macam tu? Eww…tak padan langsung dengan Fizal!” telahan Wani membuatkannya terbayang keadaan itu, Fizal mengerutkan mukanya.
- Hish! Wani ni, ada ke dia bayangkan macam tu. Tapi ye tak ye juga buatnya bayangan Wani tu betul. Fizal telan liur, pahit dan perit bila bayangan wajah Syarina dalam keadaan yang hodoh datang dan menghampirinya… Mak!!!
Wani mengesat peluh yang bermanik di dahi anak muda itu. Fizal duduk di sebelah Wani. Dia mengambil botol air yang berada di sebelahnya, meneguknya perlahan-lahan.
“Kalau dah jodoh Fizal dengan dia, Fizal terima. Lagipun selama ni dia baik sangat pada Fizal, susah Fizal nak lupakan dia…” suaranya perlahan.
Memang dia akui kadangkala takut jika Syarina itu bukan seperti Syarina yang selalu hadir dalam mimpinya. Tapi dia juga takut kehilangan Syarina yang sering membuatkan mimpinya ceria. Bukan dia gila bayang. Tapi dia merasakan suatu keajaiban pada dirinya setiap kali menyebut nama gadis itu. Apalagi bila mendengar suaranya, hati lelakinya seakan bergetar. Apabila tidak mendengar suaranya pula, hidupnya terasa tidak sempurna. Adakah itu yang di namakan cinta? Jika itu yang di namakan cinta, sungguh, dia tidak mahu kehilangan perasaan itu.
“Hey, Fizal ni dah kenapa? Takkan Fizal masih nak bercouple dengan perempuan hodoh macam tu? Hi yer! Tak ada taste langsung!” bentak Wani.
- Ada ke masih nak kawan dengan orang yang seperti aku bayangkan? Cubalah renung lama-lama ke dalam mata aku ni, Fizal. Di mata aku ni kau bakal temui cinta sejati bukannya cinta palsu yang si Syarina alias Aryssa tu bagi pada kau. Aku boleh berikan cinta yang sejuta lebih setia dari cinta palsu si Syarina kau tu. Aku ni tak sempurna ke di mata kau sampai kau masih terkenang Syarina yang hanya kau kenal suara tu?
“Yang Wani ni emosional sangat apahal? Fizal just nak pendapat Wani, tak semestinya pendapat Wani tentang Syarina tu tepat! Entah-entah Syarina tu memang cantik macam Miss Universe ke, mana tahu!?”
Fizal menarik tuala di tangan Wani, kemudian mengelap peluhnya sendiri. Geram juga dia dengan perangai si Wani ni kadang-kadang.
- Tak tentu hala, kejap-kejap nak marah la, nak merajuklah, macamlah Fizal ni balak dia yang dia nak merajuk sesuka hati. Hey, kita ni cuma nak berkawan je dengan awak, bukannya nak bercinta. Seriklah kita nak couple dengan girls ni, baik kita layan Syarina tu lagi best!
**************************************************************************
Memang sudah sah, Wani couple dengan Fizal. Dia sendiri nampak dengan mata kepalanya. Patutlah asal datang rumah, budak Wani ni tak ada. Emaknya sendiri tidak tahu ke mana perginya anak gadis itu. Rupa-rupanya sedang di lamun cinta. Di kolej pun susah nak nampak muka. Dulu di mana ada Aryssa di situ ada Wani, macam kembar siam tapi sekarang sudah lain Fizal pula menjadi kembar siam si Wani. Kemana-mana sahaja mesti berpasangan.
Cemburu? Aryssa tidak kenal erti cemburu, tapi itu Aryssa yang dulu. Aryssa yang sekarang bagai digigit rasa bila melihat kemesraan mereka. Tambah menyakitkan bila Wani memimpin tangan Fizal, hatinya bagai dihiris-hiris bila melihat mereka bergelak ketawa. Aryssa cuba untuk tidak kalah dengan perasaan, dia tidak mahu dilamun cinta lagi.
Alah, lagipun aku telefon dia bukan apa, saja nak bagi tunjuk ajar pada jantan tu cara jadi manusia yang sebenarnya bukannya jadi manusia yang berlidah biawak, bertelinga arnab dan bersifat buaya. Oleh kerana perkhidmatan percuma aku, Wani berada di sisi lelaki itu sekarang. Itu pun betul ke mamat tu sudah insaf? Entah-entah, lepas je kaki dia elok… tinggallah si Wani tu. Biasalah lelaki macam tu, buat perempuan macam bus stop. Lagipun, tak pernah Fizal menyebut nama Wani ketika mereka berbual. Bila di tanya, siapa teman baik Fizal sekarang jawapannya cuma satu, Syarina Wirdayu.
Tapi mana mungkin dia membohongi diri. Sedangkan hatinya sudah mula terpaut pada lelaki itu. Resah bila tak menelefon walau sehari. Hatinya kacau jika terpandang wajah lelaki itu. Tapi, tak mungkin dia menyintainya. Tak mungkin dia akan menyulam cinta membelai sayang bersama lelaki itu. Sudah ternyata lelaki itu sedikit pun tidak mahu memandang wajah Aryssa, kalau dia terpikat pun cuma pada suara Syarina, penemannya di kala malam.
Ah! Ary, jangan kau layan sangat perasaan ni. Kau masih cintakan Amir kan? Kau masih mnegharapkan Amir… cinta kau cuma untuk Amir. Kuat untuk Amir bukan untuk lelaki lain, apalagi mamat selenga ni… tak! Fokus Ary, kau cuma nak mainkan dia je…
BAB DUA PULUH LIMA
Jam sepuluh malam datang lagi, seperti malam-malam sebelumnya sejak tiga-empat bulan kebelakangan ini, Fizal sentiasa menanti panggilan dari Syarina, gadis misteri. Malam ini Fizal mahukan kepastian tentang rupa Syarina Wirdayu sebenarnya. Takut juga kalau-kalau Syarina tidak seperti yang selalu dibayangkan.
“Hello! Fizal buat apa tu?” ceria sahaja suara Syarina, seperti malam-malam sebelumnya.
“Tunggu Rina call la. Err… Rina dah makan?”
Mukadimah itu memang selalu diucapkan. Entah mengapa hari ini, Fizal rasa gugup nak mulakan perbualan.
“Dah! Siang tadi Fizal pergi mana? Ada buat terapi hari ni?”
“Ada. Kaki Fizal dah okey sikit! Rina, kalau Fizal tanya satu soalan boleh?”
“Boleh! Apa dia?”
“Berat dengan tinggi Rina berapa? Kulit Rina colour apa? Muka Rina banyak jerawat tak?” soalan Fizal membuatkan gadis itu ketawa panjang.
“Kenapa tanya macam tu? Kalau Rina tak cantik Fizal tak mahu kawan ke?” soal Syarina balik.
- Bukan tak mahu kawan, kalau awak tu cantik, peluang untuk kita jadi balak awak cerahlah… tapi kalau tak, cukup sekadar kawan biasa. Tapi Fizal tak boleh fikir macam tu, kan Syarina yang beri semangat untuk Fizal hidup, lagipun Fizal dah janji tak mahu buat koleksi awek lagi.
“Tak adalah, Fizal cuma nak bayangkan macam mana rupa Rina, nanti kalau dalam mimpi Fizal tahulah yang mana satu Rina!” Alasan sebodoh itu yang terkeluar dari mulutnya. Syarina ketawa panjang.
– Gelaklah, Rina, gelaklah, aku cuma nak tahu je, kau tu cantik ke tidak. Senang sikit aku nak berangan… ah! Sebenarnya aku takut kalau-kalau muka kau seperti yang dibayangkan Wani. Kenapalah bayangan Wani terhadap Syarina begitu menakutkan Fizal? Entah-entah Wani tu jealous kot!!!
“Sebenarnya biar Rina terus-terang ajelah! Rina ni tak le secantik mana, kulit pun gelap, Rina ni gemuk pendek tahu! Muka Rina penuh dengan kawah gunung berapi. Kiranya kalau dengan Fizal tak padan langsun tapi, Rina bukannya nak jadikan Fizal balak Rina pun…” mendengar itu, Fizal menelan liur, air liur yang ditelannya terasa pahit.
- Gemuk pendek?! Hi yer… takkan dia nak dating dengan orang macam tu, jatuhlah saham! Syarina yang masih di hujung talian masih lagi ketawa kecil. Lucu sangat ke bila dapat mengenakan orang ni? Dah tahu awak tu buruk, tak payahlah nak try tackle orang yang macho macam aku. Tapi kan aku masih ada Wani? Tapi dengan Wani tiada apa yang mengetarkan naluri aku. Mungkin aku tak pernah cintakan Wani, dia cuma kawan biasa yang baik dan selalu temankan aku. Itu pun secara kebetulan.
“Nampaknya, Fizal ni masih kurang keikhlasan nak kawan dengan Rina. Masih lagi mahu memilih rupa walaupun Tuhan dah bagi warning kat Fizal, tak serik lagi ke berkawan dengan orang cantik? Kalau Fizal rasa tak mahu Rina contact lagi pasal Rina ni buruk, it’s okey! Lagipun, biasanya kita tak pernah jujur dengan diri sendiri apalagi dengan orang lainkan?” sindiran Syarina membuatkan Fizal tersentak.
Terdetik di hatinya Syarina berbohong, tak mungkin gadis selincah Syarina punyai rupa seteruk itu, namun apa ada pada rupa? Syarina sudah cukup baik untuk dijadikan sahabat mahupun kekasih. Lagipun hatinya sudah terlanjur jatuh cinta pada suara itu, mana mungkin dia bisa hidup andai suara itu tidak menemaninya setiap malam.
“Elleh! Baru je Fizal tanya cam gitu dah spekulasi macam-macam. Mana boleh Rina tak contact Fizal, Rina kena bertanggungjawab ke atas apa yang Rina lakukan pada Fizal… Rina dah buat Fizal kena penyakit, makan tak kenyang, tidur tak lena, mandi tak basah!”
Sungguh, Fizal tidak mahu kehilangan suara itu, suara yang membuatkan hari-harinya terasa indah. Hidupnya tidak akan sempurna andai suara gadis itu tidak menemani malamnya. Tidak mungkin dia mahu membiarkan suara itu pergi begitu sahaja, sedangkan hatinya mudah dilanda rindu dan kerinduan itu hanya untuk si gadis misteri, Syarina Wirdayu!