BAB DUA PULUH ENAM
Hampir setengah jam dia menunggu Wani. Sudah separuh kotak kentang goreng masuk ke perutnya. Berjanji dengan Wani macam nilah, tapi dah lama dia tidak keluar dengan kawan baiknya itu. Malah hubungan mereka sudah mulai renggang gara-gara Wani sibuk melayan Fizal. Tiap kali Aryssa mengajak keluar, ada sahaja alasan yang keluar dari mulutnya. Tapi, hari ini Wani serius mengajaknya keluar. Dan biasanya, bila dia bersungguh-sungguh, pasti ada sesuatu yang menarik.
“Ary, aku dah jatuh cinta…” beritahu Wani, wajahnya ceria, hatinya berbunga riang.
“Aku tahu!” Aryssa menjawab, bosan.
Tidak adakah cerita lain yang mahu diasak ke telinga melainkan tentang lelaki itu? Aryssa tahu dengan siapa Wani jatuh cinta dan ianya membuatkan gadis tomboy itu bertambah bosan.
“Kau tak mahu tanya ke dengan siapa?” pertanyaan Wani di balas dengan gelengan malas.
Matanya langsung tidak merenung wajah teman baiknya itu. Ada sekelumit rasa yang sukar dijawab bila mendengar Wani sudah jatuh cinta. Aryssa sudah tahu siapa gerangan lelaki yang dicintai Wani.
“Aku tahu!” jawapannya masih bernada sama, acuh tak acuh.
“Kau tak mahu tanya sejak bila?” soalnya.
Wani masih mahu bercerita tentang boy friend barunya itu. Walaupun dia tahu, Aryssa langsung tidak berminat dengan ceritanya.
“Aku tahu!” jawapnya acuh tak acuh lagi.
Aryssa masih seperti tadi, menatap komik kegemarannya. Tidak menoleh langsung pada kawanya yang sedang dalam keriangan.
“Apa yang kau tahu?” Wani mulai bosan dengan sikap Aryssa.
Hatinya yang tadi berbunga, layu akibat sikap endah tak endah Aryssa. Sejak sebelum keluar tadi dia mahu bercerita tentang perasaannya terhadap Fizal, dia mahu bercerita tentang hari-harinya yang indah sejak hatinya mula dihuni lelaki itu.
Tapi semua itu terus padam bila melihat sikap dingin Aryssa atau mungkin kawannya itu irihati padanya atau mungkin juga Aryssa ada menyimpan perasaan terhadap Fizal. Dan dalam diam Wani tidak akan membenarkan ianya berlaku.
“Aku tahu, kau dah jatuh cinta sejak beberapa bulan lalu. Aku tahu lelaki tu Fizal. Aku tahu kau dah tak mahu kawan dengan aku sebab kau dah ada kawan, sahabat, kekasih, balak, pak we, or what ever… Wani!” Aryssa merengus.
Bukannya dia marah, tapi dia cepat bosan dengan orang yang suka bercerita tentang teman lelaki, memualkan. Tambahan pula dia sudah tahu siapa lelaki itu dan lelaki yang sama yang telah membawa pergi secebis hatinya.
“Bunyinya macam kau cemburu?” bentakan Wani, membuatkan Aryssa terhenti membaca. Direnungnya temannya itu dengan pandangan tajam.
“Cemburu? Hey! Ini Aryssalah! Nak buat apa aku cemburu? He just not my type!” tegasnya.
– Memang Wani, memang aku cemburu, mana pergi kawan baik aku yang sama-sama berjanji untuk mengenakan Casanova Perdana Kolej?
“Okey, sorry! Ary, aku bukan tak mahu kawan dengan kau. Kau pun tahukan, Fizal perlukan teman untuk berbual dan aku nak pulihkan semangat dia balik…” jawabnya, sekadar tidak mahu pertemuan mereka petang itu menjadi tegang.
Tanggapannya terhadap Aryssa tadi salah, dia kenal Aryssa yang masih tidak dapat melupakan Amir, teman lelakinya semasa di zaman persekolahan. Wani juga sedar dia sudah mula menjauhkan diri dari kawan baiknya. Sebelum ini mereka langsung tidak pernah bertelagah. Pendapat mereka selalunya sama. Tapi sekarang Aryssa terasa kehilangan seorang sahabat.
“Okey, carry on! Aku tak kisah pun kau nak couple dengan dia ke tidak… It’s up to you! So, kalau kau tak mahu kawan dengan aku pun, I don’t care!” bentak Aryssa. Dia bagaikan tidak dapat menyembunyikan rasa marahnya.
Wani mengajaknya keluar semata-mata untuk memberitahu yang dia dan Fizal saling menyintai! Noncense! Dia tidak mahu Wani beranggapan salah terhadapnya. Wani ada hak untuk menentukan siapa teman lelakinya. Kata-kata Aryssa membuatkan hati Wani tercalar bengang, entah kenapa, Aryssa begitu serius dan sungguh dia berasa pelik, mungkin juga benar tanggapannya yang Aryssa juga menyintai Fizal! Jangan harap Aryssa, Fizal hak aku! Hak mutlak Wani!
“Memang aku nak couple dengan dia dan kau dengar sini, aku tak mahu kau ganggu dia lagi. Aku dah bosan dengar nama kau dari mulut dia. Tiap-tiap hari, kau tahu tak? Aku tak mahu dia kecewa bila dapat tahu perempuan tu adalah kau!” bentakan Wani membuatkan Aryssa terkesima.
“Yang disebutnya bukan nama aku, Wani… tapi Syarina! Kau tu yang terlalu cemburu. Dia tak akan kecewa kalau dia benar-benar menyintai kau! Kenapa kau nak takut? Atau pun kau tak yakin yang Fizal cintakan kau? Hey, come on Wani, dulu kau yang beriya-iya mengajak aku kenakan mamat selenga tu. Kau yang marah sangat bila mamat tu kecewakan gadis-gadis kolej. Mana Wani yang aku kenal dulu? Mana Wani? Sekarang kau kata kau dah jatuh cinta pada lelaki yang pernah kau gelar Buaya tu?” pertanyaan itu menjadikan Wani hilang kata-kata.
“Aku tak peduli. Ini last warning Aryssa, jangan call Fizal lagi atau aku bocorkan rahsia kau dan kita putus kawan! Aku tak mahu berkawan dengan orang yang menipu boy friend aku! ” kata-kata Wani membuatkan Aryssa tersentak.
“What? Just because of that guy, kau dah tak mahu kawan dengan aku? Okey! Fine! That is your choice! Aku tak pernah rugi pun kalau tak ada kawan macam kau! Nanti kalau kau kecewa dengan buaya tembaga tu, jangan cari aku! You asked for it!” bentak Aryssa.
Kemarahannya amat memuncak. Bukan dia marah Wani nak bercinta, dia peduli apa dengan cinta Wani, tapi hanya kerana lelaki itu Wani sanggup memutuskan tali persahabatan mereka, ianya memang melampau. Aryssa tak dapat menerima hakikat itu! Hampir sepuluh tahun persahabatan mereka terjalin, tapi hanya kerana seorang lelaki Wani sampai sanggup memutuskan tali ukhwah mereka yang telah lama terjalin. Mereka tidak pernah bertengkar selama ini, tapi Aryssa tidak menyangka hanya kerana Wani sudah jatuh cinta, dia akan kehilangan sahabat yang paling baik dalam hidupnya.
“Ah! Kau tu yang jealous! Kau tu sebenarnya dah terpikat pada Fizal. Kau jangan cuba dekat dengan dia, dan setahu aku dia tak pernah suka pada tomboy macam kau! Watch out, Aryssa. Aku takkan berdiam kalau kau rapat dengan Fizal!” telunjuk Wani betul-betul berada di depan matanya.
Mahu sahaja ditunjalnya kepala Aryssa saat itu. Tapi dia tahu, Aryssa tidak akan berdiam diri kalau jari-jemarinya menyentuh kasar tubuh Aryssa. Wani yang berada di hadapan Aryssa hari ini memang benar-benar telah berubah. Dari Wani yang begitu feminine dan setia pada persahabatan, berubah menjadi bengis dan pendendam. Aryssa juga punya maruah yang harus dipertahankan. Tidak mungkin dia mengalah. Dia perlu mempertahankan haknya, kerana Aryssa dapat merasakan ada sesuatu yang terjadi pada hatinya sejak dia mula menghubungi Fizal.
“Aku pun tak peduli apa kau nak buat… Aku akan robekkan hati kekasih kau tu sehingga dia tak boleh menerima perempuan dalam hidupnya!” ugutan Aryssa membuatkan Wani tergamam, dia tahu Aryssa serius. Aryssa tak pernah memungkiri kata-katanya.
Dia juga tahu Aryssa mampu berbuat begitu, kerana itu juga dia harus bersedia untuk berbuat sesuatu sebelum Fizal dimiliki Aryssa. Sungguh Aryssa tidak percaya, tali persahabatan mereka yang selama ini kukuh, telah terlerai hanya kerana seorang lelaki yang mereka cintai. Walaupun dia sendiri mahu menyimpan perasaan itu, tetapi hatinya jadi terbakar bila Wani bagaikan sengaja mahu mencabarnya.
BAB DUA PULUH TUJUH
Aryssa terperosok di kerusi belakang, dari semalam dia protes tidak mahu mengikut mak dan ayahnya ke majlis kenduri mak cik Salina. Emaknya pula beriya-iya memintanya memakai kebaya yang dijahitnya pada hari raya lalu. Aryssa rimas dengan kebaya yang mengikut susuk tubuh dan kainnya agak ketat serta berbelah dibahagian belakang. Tidak dapat dibayangkan bagaimana Fizal dan Wani akan mentertawakannya ketika berpakaian begitu.
“Senyum sikit Ary, cantik anak dara ayah hari ni. Macam ni, cepat ayah dapat menantu…” usik Alias, adakalanya kasihan dengan si anak yang tidak henti jadi mangsa paksaan ibunya.
Aryssa masih seperti tadi, masam mencuka. Wajahnya yang disolek ibunya tadi sudah dilap bersih dengan tisu. Dia tidak mahu kelihatan seperti badut. Tapi yang masih merimaskan, gincu yang dipakaikan ibunya masih melekat. Puas ditenyeh dengan tisu, tapi warna merah jambu kejinggaan itu terlalu degil untuk ditanggalkan.
“Don’t wipe off your make-up!” itulah amaran yang diberikan ibunya sebelum keluar dari rumah.
Sesampai sahaja di rumah mak cik Salina, dia dilayan mesra. Tidak henti-henti mak cik Salina memuji kecantikannya. Jarang sekali wanita itu melihatnya dalam pakaian sebegini. Mak cik Salina juga sering tersasul membahasakan dirinya Mama. Walaupun Aryssa tidak selesa tapi dia masih dapat mengawal dirinya bila berhadapan dengan Wani. Ternyata ada riak cemburu pada wajah bekas kawan baiknya itu. Fizal pula semacam mencari peluang untuk bercakap dengannya. Dia sendiri tak menyangka dia kelihatan cantik bila berpakaian begitu. Kebaya satin hijau tua bercorak bunga-bunga kecil bewarna putih begitu menyerlahkan penampilannya. Rambutnya yang sudah beberapa bulan tidak digunting, lurus dan hampir menutupi lehernya yang jinjang. Walaupun solekannya sudah dilap bersih, namun kerana masih ada sisa gincu yang tidak tanggal bibirnya kelihatan segar bila mengukirkan senyuman. Semasa dia menolong mengangkat dulang, ada mata-mata yang nakal asyik merenungnya.
“Kak Ary cantiklah hari ni. Selalunya kak Ary macam tomboy!” pujian Nurul dibalas dengan senyuman.
“Abang tu macam suka je pada kak Ary. Mana satu perempuan yang dia nak, Nurul pun tak tahu. Kak Wani pun dia mahu, kak Rina pun dia suka sekarang kak Ary pula, pening-pening! Nasib baik tak macam dulu, lagi pening…” Gelengan kepala Nurul membuatkan Aryssa ketawa lucu.
Ketawanya terhenti bila terlihatkan pasangan Wani dan Fizal duduk rapat. Hatinya digigit rasa cemburu yang amat sangat, tapi disembunyikan perasaan itu.
- Ah! Aku tak mungkin jatuh cinta pada orang lain. Tak mungkin, hatiku kukuh untuk Amir. Aku akan tunggu Amir hingga habis hayatku!
“Tu tengok tu, asyik nak berkepit je. Bukan nak tolong orang…” Muncung Nurul menjuih ke arah pasangan itu.
“Biarlah, diorangkan tengah bercinta,” jawapan Aryssa membuatkan Nurul mencebik.
“Cinta konon! Abang tu sebenarnya bukannya apa, nak cari teman berbual je. Bila malam, Kak Rina yang temankan. Tapi kan Kak Ary, kak Rina tu ok! Macam kak Ary juga, very sporting!” terang Nurul sambil tangannya lincah mengelap pinggan mangkuk yang bersusun.
“Iya ke? Nurul pernah jumpa ke kak Rina tu? Cantik tak orangnya?” soal Aryssa walaupun dalam hati bagai mahu ketawa ketika menyoal gadis itu.
“Tak pernah, dengar suara je. Kata abang, Kak Rina tu tinggal di tempat lain, jauh… dan dia belum bersedia nak jumpa abang! Tapi Nurul memang antikan kak Wani ni, dahlah suka merengek pada abang dan mama, pemalas pula tu! Tak macam kak Ary, walaupun biasanya nampak macam tomboy, tapi pandai sesuaikan diri dengan keadaan!” pujinya sambil mencuit hujung hidung mancung Aryssa.
- Wani tu macam dah tak ada tempat lain nak melepak. Balik-balik muka dia. Macamlah abang aku tu apa je, asyik nak mengekor ke sana ke mari. Mentang-mentang abang aku dah sihat. Masa abang aku tak sihat dulu, tak ada pun muka si Wani datang hulur tangan bagi semangat pada abang aku tu…
“Mengada-ngada pula tu, kadang tu suruh mama masak tu masak ini… Nurul sendiri tak pernah buat macam tu…” sambung Nurul lagi.
“Hish, tak baiklah Nurul ni, dah jangan perdulikan mereka, angkat pinggan tu, kak Ary nak susun!”
“Mama ni pun satu kalau pakai kateringkan bagus tak payahlah kita nak buat kerja teruk-terukkan?!” bebelan Nurul masih belum reda. Aryssa hanya mengelengkan kepala mendengar luahan hati Nurul.
Kemudian matanya beralih pandang ke arah pasangan Fizal dan Wani. Mereka bergelak ketawa tanpa memperdulikan keadaan sekeliling. Benar apa yang dikatakan Nurul. Padahal majlis ini adalah majlis kesyukuran kerana Fizal terselamat dan beransur pulih dari kemalangan. Aryssa tidak dapat menipu hati sendiri. Sememangnya dia terasa ada sesuatu yang mencengkam lubuk hati bila melihat pasangan itu bergurau senda. Hatinya tersayat luka, saat Wani bagai sengaja merangkul mesra tangan Fizal. Tambah menyeksakan bila Fizal bagaikan tidak nampak kewujudannya di situ. Tapi adakalanya dia bagaikan mendoakan kebahagiaan mereka.
“Kenapa? Kau sakit hati? Kau tengoklah betapa Fizal sayangkan aku kan? So, tak ada maknanya kalau kau nak call dia setiap malam. Dan tak payahlah nak cuba goda dia dengan kebaya buruk kau ni!” bisikan dan jelingan benci Wani saat dia datang menyinggung bahu Aryssa tidak dapat Aryssa dilupakan. Penghinaan Wani terhadapnya bagaikan Aryssa tidak pernah dikenalinya.
- Wani, Wani… macam kau tak kenal aku! Aku tak pernah putus asa Wani, walaupun bukannya aku nak sangat merebut hati lelaki itu tapi bila kau macam minta persaingan dari aku, kau kena terima cabaran kau! Walaupun aku terasa malu yang teramat sangat kerana pergaduhan dua bekas sahabat hanya kerana seorang lelaki… sungguh memalukan!
“We wait and see, who will win, Wani!” bisik Aryssa sekadar membalas penghinaan dari gadis yang pernah dinobatkan sebagai sahabat baiknya.
***********************************************************************************
Sungguh, memang Fizal terpegun bila melihat anak mak cik Zakiah. Tak sangka si betina-jantan yang pernah diejeknya itu, memiliki kejelitaan semula jadi. Entah sejak bila gadis itu bertukar kulit, Fizal sendiri tak tahu. Yang dia tahu dia sudah terpesona dengan kecantikan itu. Fizal selalu melihat gadis cantik tapi, kecantikan pada Aryssa tak boleh dinafikan.
Wani pernah beritahu, semasa di sekolah menengah Aryssa menjadi rebutan pelajar lelaki sekolah. Fizal tak pernah percaya dengan cerita Wani sehingga Fizal menatap sendiri keayuan Aryssa. Sering sekali Fizal mencari peluang untuk bercakap dengannya tapi sekerap itu juga Wani datang mencelah. Mungkin Wani cemburu, tapi bagi Fizal, Wani cuma seorang kawan yang baik. Untuk menjadi teman istimewa, gadis itu bukan pilihan yang tepat. Wani agak kebudak-budakan dan kadangkala terlalu mengongkong. Itu juga tidak bermaksud Fizal akan memilih Aryssa, walaupun gadis itu mempunyai markah di matanya.
Yang pastinya, keluarga Fizal tidak akan menolak jika gadis itu dijadikan menantu. Fizal bagaikan teringat sesuatu. Pantas tangannya membuka laci meja. Dia mengeluarkan penanda buku yang pernah dihadiahkan oleh Aryssa padanya. Hatinya mulai curiga, dan andai benar telahannya dia pasti menerimanya. Bukan rugi pun, selama ini memang hatinya sudah terpaut pada si misteri Syarina dan kalau benar Aryssa dan Syarina adalah orang yang sama, dia patut bersyukur.
BAB DUA PULUH LAPAN
Dia teramat rindukan suaranya, fikirannya sering melayang terkenangkan lelaki itu. Aryssa sudah mulai tewas pada perasaannya sendiri. Dia tahu dia sudah jatuh cinta, tersangat-sangat jatuh cinta. Tambah pula Wani mengugutnya tempoh hari, memintanya membuang nama Fizal dari ingatan, mana mungkin Aryssa bisa berbuat begitu. Mana mungkin ditipunya hatinya sendiri sedangkan nalurinya bagai terseksa dek kerana perasaan itu. Betapa dia cemburu bila melihat Fizal dan Wani begitu mesra berbual, betapa dia ingin berterus terang waktu itu supaya Wani pergi jauh dari Fizal. Tapi dia takut andai berterus terang, Fizal tidak mahu memaafkannya. Tapi bukankah Wani mahukan persaingan? Bukankah Wani sendiri mahu dia bersaing merebut Fizal. Bukan Aryssa yang minta semua itu. Wani yang mulakan, apasalahnya Aryssa terima cabaran Wani!
“Hai, Fizal! Any interesting story today?’ suaranya ceria, penantian satu harinya terasa begitu lama. Dia juga tahu Fizal sentiasa menantikan panggilan darinya.
“Nothing, but, I have something to tell you!” suara di hujung sana juga ceria, bagai ada sesuatu yang amat meriangkan hati.
“Apa dia? Macam excited je nak bagitahu, dapat awek baru kot?”
“Janganlah perli Fizal macam tu, kecik hati. Tapi,Fizal bak Rina tahu yang Fizal cintakan Rina!” Fizal berbisik, dan bisikannya membuatkan Aryssa terpaku.
“No! No! You are joking, Fizal please, we never meet yet, how can you feel that you love me? Fizal tolonglah jangan mainkan girls lagi, okey! Dan Rina tak mahu menjadi salah seorang dari mereka.” Pantas Aryssa tersedar, dia tidak mahu tersenarai dalam senarai gadis-gadis yang pernah dipermainkan.
- Hati aku tak serapuh itu untuk menerima cinta kau Fizal. Cukuplah hati ini telah kau bawa pergi jangan kau sogokkan dengan kata-kata cintamu, ianya membuatkan hati aku terseksa Fizal…
“Rina, macam mana Fizal nak bagi Rina percaya? Memang Fizal dah cintakan Rina, that is true! From the bottom in my heart! Trust me, okey! Fizal janji Fizal akan menyayangi Rina sampai bila-bila. Tolonglah Rina, I love you!’ rayuannya membuatkan gadis itu sayu.
Tapi betulkah segala apa yang diucapkannya, Aryssa tidak mahu tertipu kerana dia juga berkeadaan sama, dia juga sudah terlanjur menyintai lelaki itu. Namun berat untuknya mengucapkan bukan takut cintanya tidak berbalas tapi takut perasaannya nanti dipermainkan, takut hatinya nanti dicakar kepalsuan. - Fizal, Rina pun cintakan Fizal, tapi tak mampu untuk Rina meluahkannya… rintihnya dalam hati. Aryssa benar-benar ingin menyatakan tapi dia tak mampu, takut tak mampu mengotakan apa yang akan diucapkannya.
“Rina, are you still there? Kenapa tak jawab Fizal? Sorry, kalau Fizal terlalu cepat melafazkannya, tapi memang itu yang Fizal rasa, Fizal nak Rina tahu, Fizal sayangkan Rina! Sumpah! Tolonglah Rina, fahami Fizal, Fizal juga nak Rina balas kata-kata keramat ini,”
Lelaki itu merayu lagi untuk kesekian kalinya. Aryssa memejam mata, terasa ada titisan jernih jatuh ke pipi. Tak mungkin, kita tidak ditakdirkan bersama Fizal….
“Rina faham, tapi beri Rina masa okey! Bukan Rina tak mahu terima Fizal, tapi terlalu awal untuk Fizal buat keputusan begitu… Memang senang melafaz cinta Fizal, tapi untuk kita melaksanakan dengan keikhlasan, ianya terlalu payah,” ujarnya perlahan menahan tangis.
Aryssa seperti mahu mengakhiri kata-katanya, tidak sanggup lagi dia meneruskannya, dia tak cukup kuat untuk membina hubungan itu. Walaupun dia selalu berangan-angan untuk mendampingi lelaki itu dan menjadi Syarina Wirdayu yang sebenarnya tapi Aryssa tahu kenyataannya dia tidak akan mampu mengecapi impian itu, semua itu bagaikan sebuah kisah dongeng tidak mungkin akan berlaku sepanjang hayatnya. Dan dia juga takut lelaki itu akan menyesal dengan kata-katanya sendiri.
Aryssa serba salah, tidak tahu apa yang harus diucapkan, andai dia menyambut ucapan cinta ianya cuma sementara, andai dia melepaskan Fizal pergi darinya, di hatinya juga sudah tersimpan rasa terhadap lelaki itu. Dia juga tidak mahu lelaki itu kecewa suatu hari nanti, kerana dia rasa dia tak mampu lagi untuk berjuang meneruskan hidup. Dia harus menelan pahitnya kenyataan hidup daripada terus ingin merasa manisnya angan-angan…
“Apa yang susah sangat Rina. Cakap je Rina tak pernah jujur pada Fizal, sebab jtu Rina selalu mengelak bila Fizal bercerita tentang hati dan perasaan. Rina sengaja nak mainkan Fizal kan? Rina nak bagi Fizal menangis kecewa saat Rina tinggalkan Fizal kan? Katakan Rina… katakan!” bentakan Fizal membuatkan hati Aryssa merintih pilu.
- Maafkan aku Fizal, maafkan Rina….
“Sudahlah Rina, Fizal tak mahu menipu diri sendiri. Biarlah Fizal buang segala ego Fizal untuk melafazkan sayang Fizal pada Rina. Fizal jujur, Fizal ikhlas! Tapi kalau Rina tak jujur berkawan dengan Fizal, it is over, Rina!” jawapan dari Aryssa masih dinanti. Kenapalah gadis ini terlalu payah untuk menyatakan sayang? Kenapalah gadis ini tidak pernah memahami hatinya?
“Fi… Fizal, jangan macam ni, Ri… Rina ikhlas nak berkawan. Ta… pi, Rina tak boleh cintakan Fizal~” Aryssa gugup.
“Kenapa? Kenapa Rina tak boleh cintakan Fizal? Sebab Fizal tak sesempurna dulu?” tempelak lelaki itu.
“No, bukan sebab itu! Rina cuma mahu berkawan dengan Fizal. Rina mahu berkawan rapat dengan Fizal itu saja…”
“Rina, please, jangan bagi jawapan bodoh pada soalan Fizal. Rina nak berkawan rapat dengan Fizal tapi tak mahu dikenali! What a noncense Rina… Rina buat Fizal jadi orang bodoh, bercinta tanpa rupa! Atau Rina memang dah kenal Fizal dan Rina sengaja nak mainkan hati Fizal!” suara Fizal mula mengendur sedikit. Entah mengapa perbualan mereka sejak akhir-akhir ini sentiasa tegang dan jarang sekali disulam tawa seperti dulu.
“Fizal please, Rina nak kita macam dulu. Fizal berborak dengan Rina tanpa apa-apa perasaan, kita seperti kawan baik yang sentiasa memerlukan nasihat antara satu sama lain! Kita jadi macam dulu Fizal, please….” rayu Aryssa.
Dia tidak sanggup memutuskan hubungan mereka dengan cara begini. Hatinya memang sudah terpaut pada suara lelaki ini. Namun dia tetap mengelak untuk berbicara tentang cinta.
“Okey! Fizal tak tahu apa kesudahannya, sampai bila Rina nak menyorok dari Fizal. Kita boleh jadi macam dulu, tapi Fizal tak mahu tipu diri sendiri Rina, Fizal nak Rina tahu yang Fizal cintakan Rina! Dan Fizal tak pernah melafazkan perkataan itu pada mana-mana perempuan lain yang Fizal kenal!” ucapnya lagi untuk kesekian kalinya.
Ah! Lelaki, kenapalah kau masih tidak mahu berganjak dari persoalan itu. Tidakkah kau tahu betapa aku sebenarnya terseksa kerana perasaan itu? Aku juga menyintai kau Fizal, tapi bagaimana harus aku buktikan ucapkan, bila setiap kali aku ingin melafazkan, aku terbelenggu dengan bayangan orang lain… maafkan Rina, Fizal!
Dia sepatutnya puas dengan apa yang berlaku. Sememangnya Aryssa mahu lelaki itu tewas dalam cintanya. Sememangnya Aryssa mahu lelaki itu belajar bercinta dengan perasaan bukannya nafsu. Tapi sekarang Aryssa sendiri tewas dalam perasaannya. Dia sendiri terperangkap dalam jeratnya. Aryssa sendiri tidak tahu apa kesudahannya. Tapi yang pasti hatinya telah dicuri lagi!
BAB DUA PULUH SEMBILAN
Tiub untuk pembersihan darah sudah dicucuk di pangkal lengan Aryssa. Zakiah memasang mesin dialysis, menekan butang-butang yang diperlukan untuk kegunaan pembersihan darah. Pengalaman selama lima belas tahun menjadi jururawat telah membuatkannya yakin untuk menjaga dan merawat Aryssa sendiri. Sejak Aryssa disahkan menghidap sakit buah pinggang, Zakiah mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan yang memang amat diminatinya. Namun dia tidak pernah menyesal, malah berasa selesa menjaga dan menjadi jururawat kepada anaknya yang seorang ini.
Bilik itu akan dipastikannya dalam keadaan amat bersih dan setiap 2 minggu kakitangan hospital akan datang untuk memeriksa keadaan mesin tersebut. Mesin itu disewa dari sebuah hospital swasta. Aryssa tidak mahu lagi berulang alik ke hospital dan memaksanya tinggal selama satu malam di sana kerana melakukan pembersihan darah. Lagipun sudah tentu dia terpaksa menunggu gilirannya untuk menggunakan mesin tersebut. Akhirnya, Zakiah dan Alias berusaha menyewa mesin tersebut dari pihak hospital dengan bayaran yang agak tinggi. Mereka mahu anak tunggal mereka berkeadaan selesa kerana itu sahaja harapan yang mereka ada.
Dua bulan kebelakangan ini Aryssa terpaksa melakukan dialysis dengan lebih kerap, kalau dulu cuma sekali atau dua kali sebulan, tapi kini Aryssa perlu mencuci darahnya sekurang-kurangnya dua kali hingga tiga kali seminggu, kerana tahap kesihatannya sangat merosot, seringkali dia mengalami demam pada waktu malam, gusinya juga sering berdarah dan anggota badannya mengalami lebam yang serius.
Aryssa juga terpaksa menjaga pemakanannya, Zakiah terpaksa memberi anak itu makan-makanan berkhasiat dan seimbang yang mampu menambahkan kandungan darah dalam badannya. Dia tidak lagi boleh makan-makanan segera dan berminyak, makanannya terpaksa di sukat, dan sejak dua bulan lalu Zakiah sentiasa pastikan Aryssa membawa bekal dan tidak menjamah makanan di luar. Bagi Aryssa segala kenikmatannya sudah hilang, dia tidak lagi boleh makan-makanan kegemarannya.
Dia juga sentiasa murung tidak bermaya, kadangkala langsung tidak mahu berkawan, tambahan pula Wani sudah tidak sudi menemaninya. Aryssa sudah tidak betah hidup begini, tapi dia juga harus kuat, seperti mana yang selalu di cakapkan pada Fizal yang dihubunginya setiap malam. Aryssa sudah terlalu jarang menghubungi lelaki itu, dia perlu membuat dialysis selama beberapa jam dan emaknya akan memastikan dia makan ubat sebelum waktu tidurnya yang tepat jam sebelas malam.
Zakiah memakaikan earphone pada telinga Aryssa dan memasangkan muzik kegemarannya. Aryssa menggemari muzik instrumental, dia meminati petikan gitar Santana dan Eric Clapton, adakalanya dia juga sukakan tiupan seruling dari Kitaro yang menenangkan jiwa. Bila saja muziknya menerjah ke gegendang telinga, Aryssa mula memejamkan mata.
Setelah memastikan keselesaan gadis itu Zakiah kemudian meletakkan beberapa buah majalah dan novel di atas meja kecil di sebelah katil anak itu. Dia tidak mahu Aryssa berasa bosan kerana terpaksa berbaring beberapa jam sehingga selesai proses dialysis.
“Mak keluar ye, nanti kalau Ary nak apa-apa call mak…” pesan Zakiah, di bilik itu diletakkannya telefon supaya anak itu senang menghubunginya ketika dia di dapur.
Aryssa mengangguk sama seperti kebiasaan, tidak pernah sekalipun dia memanggil Zakiah ketika melakukan dialysis, dia tahu emaknya itu sibuk dengan tugasan di rumah membuatkan dia tidak sanggup mengganggu wanita yang paling dikasihinya. Lagipun dia tidak perlukan apa-apa, sudah cukup apa yang diberikan padanya sehingga dia tak berdaya membalas pengorbanan emak dan ayah. Maafkan Ary mak, ayah…
BAB TIGA PULUH
Rina buat hal lagi hampir seminggu Fizal menunggu panggilannya, tapi gadis itu masih tidak menghubunginya. Mungkin tidak mahu lagi berbual dengan Fizal setelah Fizal meluahkan perasaannya. Dia mula menyesali kata-katanya tempoh hari. Dia sedar, dia terlalu mendesak gadis itu.
Jika dia tidak mendesak Syarina dulu, pasti sekarang dia dapat berbual dengan Syarina, mereka akan bercerita dan ketawa. Fizal masih menghadap telefon di meja. Hatinya resah bila tidak mendengar suara gadis itu. Sekilas Fizal melirik kalendar di dinding. Dia pasti bulan ini bukan bulan peperiksaan. Fizal mulai bosan menunggu, dia tidak lagi pernah keluar malam selepas Syarina mula menghubunginya sejak beberapa bulan lepas.
Segala perhatian Syarina semasa dia sakit membuatkannya sentiasa bersedia menunggu suara misteri itu. Fizal masih mengharap Syarina menghubunginya malam ini, walaupun jam di dinding sudah berbunyi dua belas kali. Fizal benar-benar tidak dapat melelapkan matanya. Pandangannya segar walaupun hari sudah jauh malam. Dia bosan menanti panggilan si misteri Syarina, tapi di saat ini dia perlukan seseorang untuk berbual dan bercerita. Bagaikan sudah menjadi kebiasaan dia sering berbual dengan si misteri itu, jadi dia sudah tidak dapat lari dari kebiasaan itu.
Walaupun kini Fizal sudah sembuh sepenuhnya. Dan mungkin kerana itu Syarina mulai menjauhkan diri. Fizal membelek buku telefon bewarna hijau tua. Dia membuka setiap helaian, mencari kalau-kalau ada kawan-kawan yang boleh diajak berbual untuk menghilangkan kebosanan. Matanya tertumpu pada nama yang tertera di helaian bertanda huruf ‘Z’. Demi melihat nama itu, pantas jemarinya menekan butang-butang bernombor di telefon.
“Hello! Assalamualaikum! Aryssa ada?”
“Aryssa bercakap! Siapa ni? Nak apa malam-malam buta ni? Orang dah tidurlah!” jawapan panjang itu membuatkan Fizal ketawa kecil.
Rasa bersalah juga kerana mengejutkan anak dara mak cik Zakiah dari lenanya. Mendengar suara husky Aryssa cukup membuktikan yang bukan gadis tomboy itu yang menyamar jadi si misteri Syarina Wirdayu.
“A…aku ni…Fizal! Anak mak cik Salina…” Fizal terasa gugup untuk memulakan perbualan dengan gadis itu.
Mesti gadis itu terkejut. Ah! Peduli apa, asalkan, dia sanggup menemani aku berbual malam ini, sudah cukup baik bagi aku.
“Ooo… kau nak apa? Huargh! Hah? Anak makcik Salina? Fizal? Apa kau nak call aku malam-malam ni?”
Fizal ketawa lagi mendengar bunyi Aryssa menguap, buruk betul dia menguap. Aryssa masih lagi mamai, suaranya juga serak dan kasar seperti selalu.
“Saja je… tak de kawan nak borak. Aku pun sebenarnya nak minta maaf kalau selama ini aku berkasar dengan kau…” Fizal menyusun ayat. Bimbang kalau kali ini dia terlepas lagi peluang untuk kenal rapat dengan gadis itu. Bagai terbayang-bayang wajah Aryssa memakai kebaya hijau putih semasa ke rumahnya tempoh hari. Sungguh ayu dan mempesonakan.
“Aku dah maafkan. Eh! Kau tak payah lah contact-contact aku…Kang awek kau tahu, mampus aku. Kau bukan tak tau Wani tu kan, jealous giler…”
“Aku tak ada apa-apa dengan dialah! Wani tu cuma kawan biasa saja. Tapikan, kadang-kadang macam dia yang-“
“Lebih-lebih perasan, gitu? Bila kau nak insaf? Baru je mak bapak kau buat kenduri kesyukuran, dah mula nak buat perangai lama balik. Kau tak ingat ke, apa yang dah jadi pada kau? Come on Fizal, jadilah lelaki yang setia pada yang satu... kau tak pernah rasa ke yang kemalangan itu sebenarnya suatu pengajaran pada sikap kau tu?”
Kerek betullah minah ni, aku ni call nak hilangkan boring tetiba je kena ceramah! Masak betul! Kalau Syarina nak nasihatkan aku tu, tak kisah juga, dia tu lemah lembut… ini tak, suara pun macam bunyi guruh berdentum, ada hati nak nasihatkan orang. Macam ni nak jadi isteri? Silap gaya kalau terkahwin dengan minah ni, mau anak-anak aku jadi hypertension dapat mak suara macam petir ni.
“Aku call kau bukan nak ajak bergaduh, aku cuba nak berbaik dengan kau. Yang kau kerek sangat ni apasal? Macam bagus je… Harap muka je cantik, perangai out! Patutlah tak ada jantan yang nak kat kau! Pompuan macam kau ni, boleh blah!” tempelak Fizal.
“Kaulah boleh blah! Sebab muka aku cantik la kau nak call. Kalau tak dari dulu pun boleh nak buat baik dengan aku… aku tak harap pun kau call aku! Pegi mampuslah kau!”
- Eleh! Kalau tak kerana aku pakai kebaya hari tu bukannya kau sudi pun nak call aku. Kata dulang paku serpih!
Belum pun sempat Fizal membalas kata-kata Aryssa, budak itu sudah meletakkan telefon. Tak guna punya budak, aku tak habis cakap lagi, dia dah letak. Apa punya perempuan lah ni, sikit punya handsome ke aku ni, awal-awal dia dah reject kan aku. Dia ni memang tak ada nafsu kat lelaki kot? Kalau bukan sebab nak mengurat aku, apasal hari tu pakai kebaya bagai, buang tebiat apa? Alah perempuan, bukannya nak berterus terangkan? Ke aku yang perasan Aryssa nak mengurat aku, tapi aku nampak juga mukanya macam jealous je masa aku berborak sakan dengan Wani, sah dia memang suka kat aku!
************************************************************************************
Fizal telefon aku? Nasib baik tekak aku sakit lagi, mesti dia tak cam suara aku, kalau tidak, mampus! Memang aku teringin sangat nak dengar suaranya. Rindu giler!
Tapi, mana mungkin dia boleh menghubungi lelaki itu sedangkan semasa di kolej kelmarin suaranya memang sudah mulai serak. Kalau aku call jadi Rina, mesti pecah lubang. Tapi takkan aku nak call dia sebagai Aryssa pula, mau dia kata aku yang terhegeh-hegeh nak kat dia, tolonglah!
Tapi, kesian kat Wani, punyalah minah tu beriya-iya jatuh cinta berguling-guling kat mamat tu sampai sanggup putus-putus kawan, mamat tu boleh cakap dia tak ada apa-apa. Aku rasa mamat ni jujur, memang dia melayan awek semuanya sama. Tapi mungkin juga lelaki itu belum mahu berubah, masih mahu mengekalkan title playboynya itu dan menganggap perempuan seperti bus-stop, berhenti sementara menunggu bas lain.
Hatinya berdetik kasihan terhadap Wani yang terlalu memberi harapan tinggi terhadap lelaki itu, sedangkan lelaki itu hanya mahu menjadikannya perhentian sementara.
Namun adakalanya ingin saja dia mentertawakan Wani, yang pernah memberi amaran keras supaya jangan dekati Fizal. Tapi, bagaimana dia harus menerangkan kepada Wani bahawa perasaannya itu sedang dipermainkan lelaki buaya yang tidak pernah mahu insaf.
Betul kata orang, buaya mana yang menolak bangkai! Agaknya nasihatnya selama ini tak pernah menjadi apa-apa kesan di hati buaya darat ni, tak habis-habis nak mainkan perempuan. Sampai bilalah kau nak insaf Fizal?