BAB TIGA PULUH SATU
Hari ini dia ada temu janji dengan doctor, menurut mak, ada seseorang yang akan mendermakan salah satu buah pinggangnya pada Aryssa. Tidak dapat digambarkan bagaimana leganya perasaan kedua orang tuanya. Kerana sejak akhir-akhir ini kesihatan Aryssa semakin merosot. Badannya juga sudah mulai susut, mukanya pula tembam tapi pucat. Adakalanya dia langsung tidak mampu berjalan dan berkali-kali juga emaknya menyuruhnya menggunakan kerusi roda, tapi dia menolak. Aryssa menunggu di luar bilik, sementara emak dan ayahnya berbincang sesuatu dengan Doktor Ong.
Matanya tertumpu pada seorang lelaki yang amat dikenalinya. Lelaki itu berkerusi roda. Dengan hati yang gembira bercampur gementar, Aryssa menghampiri lelaki itu tanpa disedarinya. Dia lantas duduk di atas kerusi yang di belakangi lelaki itu.
“Semalam kau datang membawa cahaya, tersenyum menawan hati ini. Hari ini ku cuba melupakan seketika senyuman itu kerana ku tak layak berdampingan denganmu bidadari…”
Lelaki berkerusi roda itu bagaikan tersentak lalu menoleh ke belakang. Terkejut dia melihat seorang gadis bertopi terbalik, berseluar Jeans dan memakai jaket jeans lusuh. Dan bila melihat wajah gadis itu, dia terpempan.
“Am, ingat lagi pada Aryssa? Tak sangka kita akan jumpa balik, Am!” Sungguh, Aryssa begitu terharu bila melihat lelaki itu dalam keadaan begitu.
“Maafkan saya…” ucapan itu membuatkan Aryssa bersyukur yang amat sangat. Amir masih mahu bercakap dengannya.
Aryssa juga tidak mahu melepaskan peluang itu, dia lalu melabuhkan duduknya di sebelah lelaki yang sudah terlalu lama dirinduinya.
“Am, kenapa awak tak mahu jumpa saya? Saya tak pernah lupakan awak…” luahnya saat itu dia seakan mahu menangis, ingin diluahkan segala yang terbuku dihatinya selama ini. Selama Amir tidak mahu dihubungi dan menghubunginya.
“Saya dah lumpuh, Ary. Saya dah tak berguna pada sesiapa pun. Untuk apa saya perlu berkawan? Untuk siapa saya perlu hidup? Saya dah tak guna Ary…” memang dia kecewa.
Kecewa dengan takdir yang melanda hidupnya. Baru sahaja dia mahu bergembira dengan keputusan peperiksaannya, tapi kemalangan petang itu meragut segala kegembiraannya. Kemalangan itu juga merampas seluruh kehidupannya. Justeru itu dia merasakan dia tidak punya hak untuk hidup lagi. Hidupnya sudah tidak beerti lagi untuk diri sendiri, bagaimana dia mahu berkongsi kehidupannya dengan Aryssa.
“Lumpuh tak beerti mati, Am! Awak masih lagi bernafas untuk meneruskan kehidupan awak. Setiap orang ada masalahnya sendiri…Tuhan bagi kita ujian bukan untuk berputus asa, ujian itu semangat untuk berjuang, Amir. Awak tak boleh begini, menangisi takdir,” ucapnya panjang dan bermakna.
Bukannya Aryssa mahu berceramah panjang, tapi dia tahu Amir perlukan seseorang untuk menyuntik semula semangatnya. Dia juga tahu, keluarganya bagai sudah berputus asa untuk menasihatinya.
“Saya cacat Ary, tak ada tempat untuk orang cacat macam saya…Saya kalah dalam hidup saya sendiri,”
Amir tunduk, menyembunyikan titisan airmatanya. Pantas tangan Aryssa menyeka airmata itu agar tidak jatuh ke lantai. Amir perlukan sokongan, tapi lelaki itu tidak pernah memberinya peluang untuk dia membuktikan betapa dia menyintai lelaki itu.
“Am, ramai orang yang cacat boleh berjaya, ramai orang yang lumpuh melanjutkan pelajaran ke Universiti. Tapi awak, menolak peluang awak kerana awak lumpuh? Itu tak betul. Awak belum kalah, Am… awak masih ada peluang! Hidup awak masih panjang!”
Aryssa memegang tangan Amir. Dia tahu hatinya masih ada lagi untuk Amir. Dia mahu membuktikannya. Dia sayang Amir. Sayangnya tak akan berubah walau apapun keadaan lelaki itu. Amir masih lagi seperti tadi menunduk dan bagaikan tak mahu memandang Aryssa.
“Am, saya tak kisah siapa awak, tapi saya masih sukakan awak dan mahu berkawan dengan awak. Cuma awak saja yang tak mahu kawan dengan saya. Ini nombor telefon saya, telefon saya kalau awak rasa awak perlukan kawan…kalau awak malu, anggaplah saya kawan baru awak. Janji kita jangan putus hubungan, saya tahu awak perlukan kawan seperti saya…”
Aryssa menghulurkan kertas yang tertera nombor telefonnya. Dia harus pergi bila mana dia melihat ibubapanya sudah keluar dari bilik doctor. Hulurannya berbalas, Amir mencapai kertas itu lantas merenung wajah Aryssa, sekilas. Bila mata mereka bertemu, Amir pantas menundukkan mukanya semula. Aryssa senyum walaupun dia tahu Amir tidak memandangnya. Namun sekurang-kurangnya rindunya terubat. Dia amat berharap lelaki itu akan menghubunginya.
Amir merenung Aryssa yang sudah lama berlalu. Dia tidak pernah menyangka mereka akan bertemu semula. Selama ini dia cuma tahu berkurung di rumah dan jarang sekali keluar. Dia malu berhadapan dengan dunia luar. Dia takut kawan-kawan akan mengejeknya nanti. Hampir dua tahun dia kehilangan hidupnya. Temannya seharian hanyalah keluarga dan kenangannya bersama Aryssa. Justeru melihat Aryssa dalam keadaan itu membuatkan hatinya berdetik ingin bertanya di mana Aryssa yang comel dan manis yang pernah dikenalinya dulu. Mengapa Aryssa yang dihadapannya tadi, Aryssa yang lain, Aryssa yang kelihatan seperti lelaki…
“Amir kenal budak tomboy tu?” tanya ayahnya sebaik sahaja keluar dari bilik perbincangan.
“Aryssa, kawan Amir masa di sekolah dulu…” jawabnya.
“Patutlah Amir beriya nak dermakan buah pinggang pada dia, rupanya dia kawan Amir!” kata-kata ayahnya membuatkannya terpempan.
“Dia yang perlukan buah pinggang tu ayah?” pertanyaan Amir membuatkan Azman hairan.
“La, takkan Amir tak tahu… Kesian dia, Mir…sejak umur dua belas tahun buah pinggangnya rosak. Sekarang dia berada dalam keadaan kritikal, dia kena buat pembedahan secepat mungkin, sekurang-kurangnya, satu dari buah pinggangnya mesti ditukar… kalau tidak dia mungkin menghadapi maut.” terang Azman.
Amir bagaikan sudah tidak keruan. Tak mungkin, Aryssa yang pernah dikenalinya dulu sentiasa ceria dan tak pernah pun dia tahu Aryssa ada penyakit berbahaya. Ya Allah! Tabahkanlah gadis itu menerima ujian-Mu, pintanya. Dia benar-benar berasa simpati terhadap Aryssa, gadis yang pernah dicintainya.
Bukan dia tidak mahu menerima gadis itu dalam hidupnya semula, tapi dia tidak sanggup melawan takdir andainya suatu hari nanti orang yang amat dicintainya akan meninggalkannya kerana dia tidak berdaya melakukan apa-apa, dia cacat.
Kerana menyedari ketentuan itu, Amir pasrah membiarkan Aryssa berlalu pergi sedangkan hatinya terasa ingin berdampingan semula dengan gadis itu. Ingin bertanyakan tentang perubahan gadis itu. Dia terlalu teringin meluahkan apa yang terbuku di hatinya selama ini, teringin untuk berbicara tentang cinta bersama Aryssa seperti suatu masa dahulu.
Tapi apakan daya, dia berasa terlalu kerdil bila berhadapan dengan Aryssa, dia rasa terlalu hina bila berbual dengan gadis itu. Aryssa tidak mungkin menerimanya kembali, menerima Amir Hizam yang sudah tidak mampu berdiri di atas kaki sendiri, mana mungkin dia akan memberi bahagia pada orang lain.
BAB TIGA PULUH DUA
Puas hati aku! Padan muka kau Aryssa, aku dah pecahkan rahsia kau. Kau ingat aku main-main? Ini Wani lah… sudah lah dari dulu, kau sahaja yang selalu mendapat tempat di mata lelaki. Waktu sekolah dulu, aku yang beriya-iya cuba menggoda si Amir Hizam, alih-alih kau yang berkepit dengan dia. Lepas tu bila si Amir tu cacat, kau ubah imej kononnya kau tak mahu ada lelaki lain jatuh cinta pada kau! Sekarang ni kau nak merampas Fizal dari aku, jangan harap! Kalau kau nak kata aku busuk hati pun lantaklah! Aku tak peduli, yang penting Fizal jadi hak aku. Aku tak akan senang-senang nak bagi kau rapat dengan dia.
Kenapa dia tak tunggu aje si Amir tu? Yang dia gilakan sangat tu! Memang Aryssa hipokrit, sengaja nak ambil kesempatan. Si Fizal ni pula macam apa je, tak ada orang lain nak diceritakan, balik-balik Syarina Wirdayu, balik-balik Syarina Wirdayu. Nama tu macam sebati di bibirnya.
Hari ini dia mahu menceritakan segalanya. Dia mahu membongkar rahsia yang misteri sangat pada anak muda itu. Telinganya sudah tidak tahan lagi dengan kisah-kisah yang bersangkutan dengan nama perempuan itu. Wani tidak mahu lagi mendengarnya. Dia mahu Fizal tahu siapa perempuan yang dipujanya itu. Biar Fizal tahu, biar lelaki itu rasa betapa sakitnya hati bila tertipu dengan budak tomboy yang dibencinya sangat itu.
“Betul ke ni Wani? Fizal tak percayalah!” Fizal mengerut dahi, keliru. Tapi tak mungkinlah, suaranya lain sangat. Fizal pernah bercakap dengan Aryssa.
“Betullah! Takkan Wani nak tipu Fizal. Lagipun Wani dah rasa bersalah sangat sebab sembunyikan hal ni dari Fizal… I’m sorry okey!”
Wani mengenggam tangan Fizal erat. Kepalanya dilentokkan ke bahu lelaki itu. Tangannya mengelus lembut jari jemari anak muda itu. Pemuda itu hanya membiarkan sahaja perlakuan Wani. Dia masih lagi terdiam dan berfikir. Seluruh pemikirannya tertumpu pada Aryssa. Memang dia sudah mengagak tapi bila mendengar suara Aryssa malam kelmarin, hatinya lega. Tidak mungkin Syarina segarang Aryssa.
“Ary tu kan kawan baik Wani? Kenapa Wani nak bocorkan rahsianya? Sanggup Wani khianati kawan Wani sendiri?” Fizal mengerut dahi. Terfikir dia mengapa Wani sanggup membocorkan rahsia kawan baiknya sendiri.
“Dulu memang kawan baik, tapi bila Wani kata pada dia, jangan ganggu Fizal lagi, dia marah-marah. Dia kata dia nak robekkan hati Fizal. Fizal kan boy friend Wani, mana boleh dia buat Fizal macam tu. Tu tak nak percayalah tu. Fizal memang tak sayang kat Wani. Sebab tu tak percaya apa yang Wani cakap…!” rengek Wani.
Wani pura-pura merajuk, tapi rajuknya tidak diperdulikan. Bukankah Aryssa kawan baik Wani, kenapa tergamak Wani khianati teman baiknya sendiri hanya kerana seorang lelaki, sedangkan Aryssa tak benarkan Fizal mempermainkan Wani. Fizal sendiri keliru dengan kedua-dua gadis ini, tapi sekarang macam Fizal pula menjadi punca mereka bermusuhan.
“Kalau macam tu bagi Fizal nombor handphone Aryssa, biar Fizal call dia, Fizal nakkan penjelasan!”
“Nak buat apa? Dia takkan mengakulah, Fizal, kan Wani ada untuk jaga Fizal. Wani cintakan Fizal!”
“Bukan pasal nak suruh dia mengaku, Fizal nak tahu kenapa dia tipu Fizal. Itu je, lagipun Fizal peduli apa dia ada balak ke tidak…”
- Fizal nak tahu, kenapa dia tak terus terang je dengan Fizal. Kalau dia terus terang, tentu Fizal terima dia lama dulu…
“Kan Wani dah bagitahu sebabnya… Tak payahlah contact dia lagi, kalau dia contact, Fizal jangan layan, buat bodoh je. Wani kan ada nak temankan Fizal sampai bila-bila!” elak Wani. Dia tidak mahu lelaki itu terus menerus menghubungi Aryssa.
- Ah! Sibuk sangat nak tahu nombor telefon dia apahal? Aku ni kan ada kalau nak bagi cinta ke kasih sayang ke. Aku sedia dengar kata-kata manis dari kau Fizal. Kau lagi nak call si perempuan tak tentu hala tu.
- Senangnya Wani cakap, dia tak tahu betapa hati Fizal sudah diikat kasih Syarina Wirdayu.
Fizal tidak tahu bagaimana hendak meluahkan rasa hatinya sekarang. Kerinduannya pada si misteri Syarina amat mencengkam dan mustahil dia dapat melupakan Syarina hanya kerana mendengar kata-kata dari Wani. Syarina terlalu istimewa untuk Fizal. Tidak pernah jemu temankan Fizal saat Fizal betul-betul perlukan kawan. Dia juga yang membuatkan Fizal serik untuk mempermainkan perempuan, banyak memberi sokongan hingga Fizal rasa hidup Fizal masih bermakna. Dia yang merubah segalanya dalam hidup Fizal dan semua orang sukakan perubahan itu. Fizal rasa, penipuannya itu juga satu rahmat buat Fizal.
“Fizal dengar tak apa yang Wani cakap, Fizal tak payah layan dia, okey?” rengek Wani lagi.
“Fizal, Wani cintakan Fizal sepenuh hati tau! Wani sanggup serahkan jiwa raga Wani pada Fizal, percayalah!” ucapan Wani bagaikan tidak memberi apa-apa pengertian pada Fizal.
Puas dibelai-belai rambut lelaki itu. Namun Fizal masih membeku bagaikan tidak punya rasa terhadap gadis jelita disebelahnya. Lelaki itu masih terpaku terkenangkan segala kata-kata dan ucapan yang pernah dilafazkan Syarina padanya. Dia senyum lagi bila teringat cabaran Syarina, kalau Fizal berjaya mengubah seorang tomboy menjadi gadis sejati, bermakna Fizal berjaya menjadi lelaki sejati.
- Patutlah, dia beriya-iya pertahankan tomboy. Patutlah dia selalu nasihatkan aku tentang perempuan. Tentang ah! Segala-galanya… rupanya dia adalah Aryssa…
Teringat dia bila Aryssa memakai kebaya semasa ke rumahnya tempoh hari, semenjak dia mengenali gadis itu itulah kali pertama dia bertemu Aryssa berada dalam pakaian seorang perempuan, andai benar kenyataan Wani, Fizal benar-benar lelaki sejati.
Aryssa merenung telefon di meja, menanti kalau-kalau Amir Hizam masih sudi menghubunginya semenjak pertemuan mereka tempoh hari. Tapi, ternyata penantiannya hampa, Amir terus membisu. Aryssa pula terlalu mengharap pada orang yang tak sudi. Ingin diluahkan segala kerinduan yang mencengkam dalam hati. Aryssa harus terima kenyataan yang Amir masih tidak mahu berkawan dengannya.
Memang Amir begitu tegas dengan keputusan. Aryssa tidak mahu terus menjadi penanti pada sesuatu yang tak pasti. Biarlah Amir dengan dunianya, dia sudah akur dan pasrah menerimanya.
Kala itu dia teringat Fizal, sudah terlalu lama dia tidak menghubungi lelaki itu. Fizal yang terlalu berbeza berbanding Amir, Fizal tabah namun sentiasa perlukan sokongan, Amir pula langsung tak mahu memberi peluang Aryssa menyuntikkan semangat untuknya. Alangkah bahagianya kalau dua lelaki ini adalah orang yang sama, tak perlu dia membuat pilihan.
Apa perlunya Aryssa membuat pilihan, kerana tiada siapa yang perlu di pilih untuk hidupnya, dia sendiri tidak pasti sehingga mana hidupnya akan berakhir. Mungkin Tuhan tidak memberi peluang untuknya mengecapi cinta, kerana tak mahu ada yang akan kecewa andai Aryssa pergi dulu. Biarlah mereka memilih orang lain untuk bahagia, kerana Aryssa tidak layak untuk mereka. Dia juga sudah lama tidak menghubungi Fizal, walaupun hatinya meronta-ronta untuk berbuat demikian.
Dia sedar Fizal tidak lagi memerlukannya, lelaki itu sudah ada Wani untuk menjadi penghuni tetap di hatinya. Lagipun dia cuma mahu mempermainkan lelaki itu.
Walaupun kini di hati kecilnya sudah mulai bercambah kasih pada lelaki itu. Biarlah segalanya tersimpan dalam lipatan hati walaupun adakalanya ingin dia berterus terang dengan lelaki itu mengenai dirinya. Teringin sekali dia bertemu dan berbual dengannya, tapi dia takut. Takut kehadirannya tidak diperlukan.
Perjalanannya masih terlalu jauh dan andai dia sembuh dia perlu membalas jasa kedua orang tuanya. Adakalanya Aryssa takut, takut dia tewas sebelum sempat berjuang, takut tidak dapat membalas pengorbanan orang tuanya. Yang paling ditakutinya kalau-kalau Fizal tidak memaafkannya andai dia berterus terang.
“Hello! Aryssa ada?” suara itu membuatkan hati Aryssa berbunga ceria.
“Saya cakap… awak apa khabar, Am? Awak sihat? Akhirnya awak sudi juga telefon saya!” ujarnya.
Dua tahun dia menantikan suara itu menyapa telinganya. Hingga dia berputus asa.
“Saya… sihat! Saya… saya minta maaf Ary! Saya takut awak tak mahu bercakap dengan saya….” ujarnya tersekat-sekat.
“Kalau saya tak mahu cakap dengan awak, saya tak akan bagi nombor telefon saya ni!” jawab Aryssa.
Dia melepaskan keluhan panjang, bukan kerana bosan tetapi melepaskan perasaan lega kerana menunggu panggilan itu setelah sekian lama.
“Kenapa? Awak bosan nak cakap dengan saya?” soal Amir, kaget bila mendengar keluhan berat Aryssa.
“Tak adalah, saya suka awak call saya, akhirnya awak mahu bercakap dengan saya, mungkin untuk kali yang terakhir!” ujarnya dalam tawa kecil.
“Ary, awak jangan cakap macam tu! Awak janji nak kawan dengan saya sampai bila-bila kan? Saya perlukan kawan seperti awak, Ary!”
Saat itu Aryssa memejamkan mata. Merasakan suara Amir meresap jauh ke sanubari, suara yang teramat dirinduinya. Suara yang sering menjadi penemannya suatu ketika dulu.
“Ary, awak ingat lagi lagu yang saya karangkan untuk awak?” soalan Amir Hizam membuatkan Aryssa tersenyum panjang.
“Saya tak pernah cuba lupakan awak, lagu awak, kenangan awak! Cuma awak yang lupakan saya! Awak tak mahu bertemu saya, bertemu Wani, Meor dan Acid hanya kerana awak rasa hidup awak sudah berakhirkan?” soal Aryssa.
“Tak, saya tak pernah lupakan awak! Kalau saya sudah lupakan awak, pasti saya tak kenal siapa budak tomboy yang menegur saya semalam! Kenapa awak tiba-tiba bersalin kulit? Ke mana perginya Aryssa saya dulu? Saya tak suka awak pakai macam semalam, macam lelaki!” luah Amir, setelah sedikit kekuatan dikumpul untuk mengkritik Aryssa. Dia dapat dengar gadis itu tertawa kecil.
“Saya pun tak suka Amir yang sekarang, tolong kembalikan Amir saya yang dahulu, Amir yang tegas dan berpendirian. Bukan Amir yang berputus asa seperti Amir sekarang!” dia masih belum menghabiskan sisa tawanya.
Malam itu mereka berbual panjang. Sudah lama Aryssa tidak seceria itu bila berbual. Jika ada pun bila dia berbual dengan Fizal. Tapi bila meluahkan apa yang terbuku di hatinya kini, dia lega.
Aryssa puas mendengar janji Amir, janji untuk menyulam semula cinta dengannya. Janji Amir untuk teruskan hidup tanpa menyalahi takdir. Janji Amir untuk mengotakan segala permintaannya yang mungkin permintaan terakhir dari seorang Aryssa Alias. Aryssa mahu Amir terus berjuang dan tidak kalah dalam menghadapi hidup. Amir tidak perlu lemah dan terlalu bergantung harapan terhadap takdir.
“Saya masih sayangkan awak Aryssa, tapi saya takut! Takut suatu hari nanti awak tinggalkan saya kerana saya tidak berdaya. Saya tidak sempurna seperti dulu Aryssa! Saya cacat!” luah lelaki itu lagi.
“Am, sayang saya tak pernah hilang pada awak. Kenangan awak tetap dalam ingatan saya. Saya sedih, berhari-hari saya menangis bila awak tak mahu berjumpa saya dulu. Awak biarkan saya menagih kasih yang tak pasti Amir! Mujur saya bangun semula, kalau tidak tentu SPM saya kantoi!” jelasnya.
“Saya minta maaf Aryssa! Saya janji akan sayangkan awak sampai bila-bila!” lafaz Amir Hizam.
Aryssa tersenyum puas, walaupun dia tahu dia tidak mungkin dapat menggenggam semula cinta Amir seperti dulu, tapi pengakuan Amir terhadap cintanya membuatkan dia lega. Dia tahu usianya tidak panjang untuk membalas kasih Amir, tapi sekurang-kurangnya dia mampu pergi dengan aman bila tiba waktu dan ketika.
BAB TIGA PULUH DUA
Fizal keluar dari perut kereta, dia baru sahaja pulang dari kolej dan kemudian keluar makan tengah hari bersama Wani. Sejak dia sudah pulih dan mampu berjalan sendiri, Wani yang menjadi temannya. Syarina pula tidak lagi pernah mahu menghubunginya, mungkin betul kata Wani, Aryssa adalah Syarina… tapi Fizal perlukan bukti yang kukuh. Namun hatinya juga terdetik perkara sama, memang dia rasa tertipu, tapi mungkin ada hikmahnya Aryssa berbuat begitu.
Dan Fizal akui, Fizal banyak berfikir tentang makna kehidupan sejak si gadis misteri itu menghubunginya. Selama ini juga tiada seorang kawan pun yang pernah mengejutkannya dari terus hanyut dibawa hidup yang langsung tidak bermakna. Hanya gadis itu yang sudi menyedarkannya dan menyuntik semangat untuknya meneruskan hidup dan dia bangun dari sengsara menanggung amaran takdir yang berupa pengajaran terhadapnya.
Kerana pengajaran itu dia berasa insaf dan gadis itu bagaikan penyuntik harapan dan semangat, tidak mungkin dia membiarkan gadis itu pergi begitu sahaja tanpa mengucapkan terima kasih di atas perhatiannya selama ini.
Fizal terus keluar dari kereta, langkahnya terhenti bila dilihatnya Nurul tergesa-gesa keluar, bagaikan ada sesuatu yang tidak di ingini berlaku.
“Abang! Jom pergi hospital, Nurul nak tengok Kak Ary, dia sakit! Mama suruh Nurul tunggu Abang…Mama dan ayah dah pergi dulu!” pantas tangan Nurul menarik lengan Fizal masuk semula ke kereta. Fizal terpinga-pinga.
“Bagi Abang masuk dulu. Abang nak call Wani ~”
“Tak payahlah! Nurul dah kunci pintu, handphone Abang kan ada, sms je lah!” getus Nurul yang sememangnya tak senang hati dengan kehadiran Wani. Tanpa banyak soal Fizal terus menghidupkan enjin kereta dan Satria GTi terus membelah jalan. Entah mengapa hatinya berdegup kencang, risau akan keadaan Aryssa.
Sakit apakah dia? Sedangkan selama ini Fizal tidak pernah diberitahu tentang penyakit Aryssa. Malah mamanya juga tak pernah memberitahunya tentang penyakit gadis itu.
“Aryssa sakit apa?” tanyanya ingin kepastian.
“Entahlah, Abang, mama sendiri pun tak tahu. Tadi mak cik Zakiah call, katanya Kak Ary pengsan tiba-tiba dan mereka bawa dia ke hospital Pantai Puteri” jawapan Nurul mengimbas ingatannya pada gadis bernama Aryssa yang selalu dilihatnya selalu ceria.
Tapi sejak dua tiga minggu di kolej, dilihatnya Aryssa selalu menjauhkan diri. Tambahan pula, Wani sudah tidak mahu berkawan dengan gadis itu. Adakalanya hatinya kasihan, tapi dia tidak mahu dikatakan terhegeh-hegeh untuk menemani gadis betina-jantan yang dimusuhinya sejak dulu. Dia juga teringat yang selalunya Aryssa ke kolej dengan motorsikal tetapi sejak beberapa minggu Aryssa dihantar dan dijemput mak cik Zakiah. Patutlah dia nampak kurus berbanding dulu. Segalanya bermain difikiran Fizal, namun hatinya sudah kuat mengatakan bahawa Aryssa adalah Syarina Wirdayu…
************************************************************************************
Aryssa masih terbaring lemah di katil, wajahnya lesu dan pucat. Tetapi masih mahu menguntum senyuman walaupun bibirnya sudah semakin membiru. Dia langsung tidak bermaya. Tengahari tadi Aryssa tiba-tiba pengsan semasa pulang dari kolej. Mujur sejak beberapa hari ini dia tidak menunggang motorsikal. Memang sejak beberapa hari lalu Zakiah yang akan menghantar dan menjemputnya dari kolej. Dia bimbang akan keselamatan anak gadisnya itu.
“Mak, Ary… okey! Mak jangan risau…” suaranya tersekat-sekat, mukanya berkerut menahan kesakitan.
Salina menepuk-nepuk bahu Zakiah, menyuruhnya bersabar. Air mata Zakiah tidak henti mengalir semenjak semalam. Bagaimana hatinya tidak risau, bila Doktor Ong memberitahu keadaan perjalanan darah Aryssa tidak lagi stabil. Buah pinggangnya langsung tidak dapat berfungsi lagi. Pembedahan harus dilakukan dalam masa dua puluh empat jam, kalau tidak gadis itu tidak mungkin dapat diselamatkan.
Fizal yang baru sahaja tiba bersama Nurul terpempan melihat keadaan Aryssa. Wayar-wayar yang berselirat di tubuhnya membuatkan Fizal terkaku. Serius sangatkah penyakitnya sampai begitu banyak tiub berselirat di tubuhnya? Dia tidak pernah diberitahu tentang penyakit budak tomboy ini. Salina berdiri rapat dengan anak terunanya, dia tahu Fizal terkejut melihat Aryssa, begitu juga dengannya. Patutlah selama ini Zakiah berat mulut untuk bersetuju bila dia mahu menjodohkan Aryssa dan Fizal, rupanya anak gadis itu berpenyakit serius yang sukar untuk diubati.
“Mama… Ary sakit apa?” tanya Fizal dalam bisikan.
“Sakit buah pinggang, dia perlukan pembedahan secepat mungkin!” balas Salina dalam esakan. Saat itu Fizal terasa bagaikan mahu duduk disebelahnya, menyeka airmatanya dan mengembalikan senyuman Aryssa.
Kala itu juga terasa menyesal dengan kekasarannya selama ini, Fizal bungkam, tiada bicara ceria untuk Aryssa selama ini, dan andainya benar kata-kata Wani, Fizal harus bersyukur kerana sekurang-kurangnya Aryssa pernah menemani hidupnya walau seketika. Andai buah pinggangnya juga sesuai, Fizal sanggup untuk mendermakannya pada gadis itu.
“Ma, Fizal nak dermakan buah pinggang Fizal pada Ary!” bisiknya pada Salina, ternyata airmuka mamanya berubah. Pantas Salina memberitahu Zakiah dan Fizal kemudiannya dia dibawa bertemu Doktor Ong untuk pemeriksaan.
Sudah hampir tiga jam Aryssa di bilik pembedahan. Mereka yang menanti tidak senang duduk. Zakiah dan Alias sejak semalam tidak menjamah apa-apa, puas dipujuk Salina supaya mereka makan, namun kedua suami isteri itu bagai sepakat menunggu anak tunggal mereka di luar bilik bedah. Salina dan Jeffri juga pagi-pagi lagi datang bersama Nurul, dan Salina siap membawa bekalan untuk dijamah kedua suami isteri itu, namun bekalannya hanya dipandang sepi.
Fizal yang datang bersama Wani sejak tadi tidak henti menyuarakan rasa risau. Semalam dia menyuarakan hasratnya untuk menderma buah pinggangnya pada gadis itu, tapi setelah diperiksa buah pinggangnya tidak sesuai untuk Aryssa. Walaupun kecewa dengan keputusan itu, namun Fizal bersyukur kerana masih ada insan yang sudi mendermakan buah pinggangnya kepada Aryssa.
Fizal masih seperti tadi ke hulu ke hilir macam kucing hilang anak. Dia takut kehilangan Aryssa. Wani pun langsung tidak diperdulikannya. Baginya kini Aryssa adalah segalanya. Dia mengenal hidupnya semula kerana Aryssa. Aryssa adalah nyawanya, Aryssa juga nadinya. Wani bangun merapati Fizal yang masih lagi mundar mandir. Di tariknya lelaki itu jauh dari tempat keluarga mereka.
“Fizal, sabarlah! Duduklah dulu, Wani rimaslah tengok Fizal macam ni, yang Fizal nak risau sangat tu kenapa?” protes Wani.
Dia mengetap bibir, memang dia rimas dengan keadaan Fizal yang sedari tadi mundar-mandir di hadapannya. Bukankah dia ada di depan mata, kenapa dia perlu risaukan tentang orang lain? Tambah perempuan itu yang pernah menipunya. Apa yang hebat sangat dengan Aryssa sehingga lelaki ini mudah sekali memaafkan segala kesalahannya?
“Fizal sayangkan dia, Wani!” tegas Fizal, memang dia sudah benar-benar sayangkan Aryssa.
Jawapan Fizal bagaikan batu besar menghempap kepala Wani. Dia tidak pernah menyangka Fizal akan memaafkan Aryssa sebegitu mudah. Bagi Wani, Fizal memang sudah gila! Tapi entah mengapa hatinya terasa menyesal mengenangkan perbuatannya pada Aryssa, padahal kawannya itu tidak pernah sekalipun mengkhianatinya. Wani sendiri hairan bagaimana dia boleh mengkhianati sebuah persahabatan yang terjalin hampir sepuluh tahun goyah kerana sikapnya yang keterlaluan.
Aryssa sahaja kawannya di dunia selama ini, dan mereka selalu berjanji akan bersahabat hingga ke hujung nyawa, tapi tanpa disedarinya kerana terlalu pentingkan diri sendiri, dia mengkhianati Aryssa. Maafkan aku Ary…
************************************************************************************
Amir menolak kerusi roda, berlalu dari wad di mana Aryssa di rawat. Mereka sudah selamat dibedah tadi, walaupun keadaannya juga lemah, tapi dia masih mahu menatap wajah gadis yang masih lagi menjadi bidadari dalam hatinya. Amir tidak mampu menafikan perasaan itu, dia juga masih menyintai Aryssa sepertimana dahulu.
Puas semalaman dia meluahkan apa yang terbuku, melahirkan apa yang dirasa, meleraikan kerinduan yang terpendam, dan meleraikan apa yang berselirat dihatinya. Amir membetulkan kerusi rodanya, dia merenung dari celahan pintu yang terkuak sedikit, tapi sudah cukup untuk dia menatap wajah sayu Aryssa. Dia nampak gadis itu masih lagi lemah. Dia nampak, ramai yang berada di sisi Aryssa, ada seorang pemuda di sisinya yang sedang menggengam tangan gadisnya, Amir tidak mahu tahu siapa mereka yang penting dia juga sudah jadi sebahagian dari hidup Aryssa dengan satu harapan, semoga suatu hari nanti Aryssa menjadi miliknya semula.
Tapi dia tahu semua itu hanya janji kosong, tidak mungkin dia dapat melaksanakan janji itu. Dia cuma mahu memberi sedikit kekuatan kepada gadis itu sebelum pembedahan. Dia tidak mahu Aryssa kecewa menanti panggilannya sehingga gadis itu patah hati dan berputus asa. Kepada kedua ibu bapa Aryssa pun, dimintanya merahsiakan tentang perkara itu. Bukan dia tidak mahu berhubungan dengan gadis itu tetapi dia tidak kuat untuk menghadapi dugaan, dia takut suatu hari nanti Aryssa akan meninggalkannya.
Amir takut Aryssa kecewa andai bersama dengannya. Siapalah dia untuk memberi bahagia kepada Aryssa. Aryssa lebih berhak mendapat kehidupan yang sempurna, tidak mungkin gadis itu mampu menghabiskan hayatnya bersama lelaki cacat sepertinya.
BAB TIGA PULUH TIGA
Zakiah dan Alias menarik nafas lega bila Aryssa sudah selamat dibedah, namun kerisauan masih tergambar di wajah mereka bila Doktor Ong menyatakan harapan Aryssa cuma lima puluh peratus. Keadaannya masih tidak stabil walau pun lima jam pembedahan dilakukan, ini membuatkan pasangan itu masih tidak keruan. Aryssa terbaring lemah, kebas akibat ubat bius sudah beransur hilang, terasa ada kesakitan di belakang pinggangnya mungkin akibat pembedahan itu.
Tidak putus juga mereka mengucapkan terima kasih pada Amir Hizam yang bermurah hati menderma buah pinggangnya secara percuma, sekurang-kurangnya Amir mampu memberi harapan pada mereka. Menurut keluarga Amir, Aryssa adalah kawan baik Amir suatu masa dahulu, kerana itulah Amir bersedia mendermakan buah pinggangnya dan Amir meminta mereka merahsiakan perkara itu. Anak muda itu tidak mahu Aryssa berasa terhutang budi. Aryssa seperti biasa, masih mampu tersenyum. Tangannya dihulurkan pada Zakiah, lantas ibu itu memeluk dan menciumnya bertalu-talu.
“Mak…ayah, maafkan segala kesalahan Ary. Halalkan makan minum Ary…!” permintaan itu membuatkan Zakiah semakin tidak keruan. Airmatanya yang sentiasa membasahi pipi semakin galak mengalir.
“Apa Ary cakap macam ni? Mak dan ayah selalu maafkan Ary… jangan cakap macam ni sayang, Ary suka buat mak risau!” balasnya.
Zakiah mengucup lembut dahi anak itu, dia tidak sanggup kehilangan Aryssa, sungguh! Alias mengusap rambut Aryssa. Itulah satu-satunya anak yang dia ada dalam dunia ini.
“Ary, akan sembuh, sayang. Kalau Ary dah keluar hospital nanti kita pergi memancing sama-sama ye, Ary boleh main hoki, Ary boleh jogging, Ary boleh buat apa yang Ary suka!…” pujuk Alias tangannya tidak lepas menggenggam anak itu, Aryssa tersenyum lagi.
“Tapi Ary rasa macam dah tak mampu nak tahan, rasa macam nak pergi jauh~”
- Betul, yah, Ary rasa nak pergi jauh, nak tinggalkan semua. Nak tinggalkan ayah, mak, dan dunia ni… Ary tak lagi mampu untuk bertahan. Ary tak berdaya melawannya, Ary akan tewas, yah!
“Tak! Ary takkan ke mana-mana, Ary kena kuat! Ary tak boleh putus asa! Ary kan tabah, Ary selalu cakap pada mak macam tu kan? Ary takkan tinggalkan mak, Ary janji dengan mak, Ary tak boleh pergi mana-mana tanpa mak dengan ayah.” Zakiah tersedu-sedu menahan tangis.
Tangannya tidak lepas dari memegang erat tangan Aryssa. Mana mungkin dia akan tersenyum bila anak tunggalnya berkata begitu. Memang dia tidak boleh melawan takdir yang ditentukan, tapi kalau ditakdirkan penyakit Aryssa tidak dapat disembuhkan, dia rela menjaganya siang malam, janji Aryssa berada di depan mata dan jangan diambil anak ini, Ya Allah!
Zakiah tidak sanggup. Zakiah tidak mahu kehilangan Aryssa, tiada lagi yang paling berharga melainkan Aryssa satu-satunya permata hatinya.
Aryssa tersenyum melihat orang yang berada di sekelilingnya. Dia terasa dihargai saat dia perlukan sokongan mereka. Tapi dia sedar, dia tidak ada kesempatan lagi untuk mengucapkan terima kasih pada mereka. Segalanya seperti akan berakhir bila-bila masa. Nafasnya juga tidak seperti biasa, turun naik tidak menentu. Salina dan Nurul juga tidak henti menitiskan air mata, pilu melihat keadaan gadis itu, gadis yang selama ini dikenali dengan lagaknya yang bersahaja dan ceria, akan tetapi sekarang bertukar rupa, wajahnya pucat dan kurus.
Seorang demi seorang dari mereka mula mengucup dahi gadis itu. Aryssa masih tersenyum seperti tadi, dia tahu dia tak dapat menunggu lama untuk bertemu insan-insan yang pernah disayanginya. Aryssa menggapai tangan kepada Wani, gadis itu mulai rapat padanya.
“Aku… minta maaf, Wani, aku… ba… nyak… buat salah… pada kau! Ja… ga… Fizal elok-elok, dia milik… kau…” bisiknya amat perlahan dan tersekat.
“Ary, aku yang kena minta maaf, aku… aku khianati persahabatan kita, aku berdendam pada kau, padahal kau tak tahu apa-apa! Aku yang bersalah Ary! Aku nak kita macam dulu, kita kawan balik Ary! aku menyesal, aku minta maaf sangat-sangat pada kau! Aku tak nak kau mati! Aryssa, kita kawan balik! Fizal cuma sayangkan kau… ” pohon Wani. Raungannya memecah ke pelusuk ruang bilik itu. Fizal memintanya bersabar.
Aryssa menitiskan airmata sewaktu Wani meminta maaf. Dia tahu temannya itu memohon dalam penuh penyesalan. Dia sudah lama memaafkan Wani.
Kala itu rasa kesal membelit jiwa Wani, alangkah berdosanya dia mengkhianati kawannya itu alangkah bebalnya dia kerana mendendami Aryssa, sedangkan gadis itu tidak pernah bersalah padanya. Pantas tangan Wani menarik lengan Fizal untuk rapat kepada Aryssa yang bagaikan mahu menyatakan sesuatu. Fizal duduk merapati gadis itu, tangannya menggenggam kejap jemari Aryssa yang sejuk dan pucat.
“Fizal ma… afkan… Ri…na!” bisikan itu dibalasnya dengan senyuman bermakna.
Kasihan melihat gadis itu yang terlalu payah untuk mengeluarkan kata-kata. Tidak pernah dia menyangka akan bertemu Aryssa dalam keadaan ini, terasa menyesal bila teringat layanannya pada gadis itu selama ini.
“Tidak sayang, Rina tidak pernah bersalah pada Fizal. Dah lama Fizal nekad untuk menerima Syarina Wirdayu walau siapa pun dia… Fizal sayang Ary!” dia juga berbisik, tidak mahu didengar oleh sesiapa di dalam bilik itu.
Mata mereka bertentang, pandangan mereka bertaut, kemudian masing-masing mengukir senyuman yang hanya difahami mereka. Senyum di bibir Aryssa masih terukir, senyuman yang termanis di dunia.
Saat itu juga dia terpandangkan Amir dari celahan pintu, ingin sekali dia melaungkan nama Amir. Dia ingin mengucapkan terima kasih, dia tahu lelaki itu telah mengorbankan buah pinggang untuknya. Dia nampak wajah Amir saat sebelum dia belum ditidurkan, beberapa minit sebelum pembedahan namun dia langsung sudah tidak berdaya untuk bersuara, pandangannya semakin kabur. Wajah-wajah mereka yang berada di situ semakin kelabu. Suara tangisan emaknya juga semakin jauh dan sayup. Tangan kirinya semakin terlerai dari genggaman Fizal.
“Ary jangan tidur sayang, jangan tinggalkan mak! Ary please… abang, cepat bang, panggil doctor… Aryssa! Aryssa anak mak! Buka mata sayang, mak ada kat sini…” Zakiah sudah mengogoi seperti anak kecil.
Zakiah merapati semula anaknya itu, dia menepuk lembut pipi Aryssa kiri dan kanan. Tangannya tidak berhenti mengenggam erat jemari anak gadisnya. Aryssa sudah lemah tidak berdaya lagi untuk membalas genggaman itu, jemarinya terlerai layu. Cuma yang masih bermaya, bibir pucatnya, masih lagi terdaya untuk tersenyum walaupun tidak semekar dulu.
Alias bagaikan tidak tahu berbuat apa-apa, melihat keadaan itu Jefri pantas memanggil doctor. Nafas Aryssa semakin turun naik, keadaannya semakin meresahkan.
“Aryssa, mengucap… Aryssa…” menyedari keadaan Aryssa, Alias pantas membisikkan kalimah syahadah di telinga kanannya, Fizal yang duduk rapat di sebelah kiri juga membisikkan kalimah suci itu.
Bibir Aryssa bergerak mengikut kalimah syahadah. Habis sahaja kalimah, tiba-tiba Aryssa menarik nafas dalam dan melepaskannya perlahan dengan dengkuran kecil. Saat itu Aryssa tidak bergerak lagi, matanya tertutup rapat, ada titisan airmata di hujung kelopak matanya. Hembusan dengkuran halus itu cukup menandakan dia terpaksa pergi meninggalkan segalanya untuk selama-lamanya.
Fizal terpempan melihat keadaan itu, seumur hidupnya, pertama kali ini dia melihat pemergian seseorang di depan mata. Seseorang yang tidak sempat untuk mendengar kalimat sayang yang sejujurnya dari hati lelaki ini.
“Ary! Ary!” Fizal cuba mengejutkan gadis itu, tidak mungkin Aryssa pergi begitu sahaja tanpa menyambut cintanya. Fizal tidak akan benarkan gadis itu pergi darinya, Fizal perlukan Aryssa dan selama ini Aryssa adalah kekuatannya.
Doktor Ong datang memeriksa dan mengesahkannya, Aryssa sudah tiada, sudah pergi jauh meninggalkan mereka. Alias menggelengkan kepala, redha dengan pemergian anak tunggalnya. Selama ini pun dia dan isterinya tidak pernah sanggup melihat Aryssa menderita, tapi untuk melepaskannya pergi begitu sahaja tanpa usaha, mereka tidak rela.
Saat itu semua yang berada di situ sebak menahan tangis, Zakiah jatuh pengsan, Alias pula masih seperti tadi, dia sudah redha dengan ketentuan Ilahi walaupun berat hatinya melepaskan Aryssa pergi. Fizal mengusap mukanya, tidak sangka hadiah yang diberikan oleh Aryssa untuk pertama kali bertemu adalah airmata, dia tidak mampu lagi menahan sebak, airmatanya laju mengalir tidak tertahan. Buat pertama kalinya dia menangis hanya kerana seorang gadis, selama ini entah berapa ramai gadis yang menangis kerananya, tidak.
Untuk kesekian kalinya, Fizal menyesali perbuatannya selama ini, andai keegoaannya dapat dileraikan sejak dulu, pasti Aryssa menjadi miliknya, dan tangisan untuk Aryssa hari ini bukan tangisan penyesalan yang tidak dapat dilafazkannya.
Mereka yang berada di situ menatap gadis itu, wajahnya tenang seperti di dalam keadaan beradu lagaknya, namun bibirnya masih lagi terukir senyuman yang termanis buat Fizal. Oh! Manisnya, manisnya senyumanmu…
*************************************************************************************
Sepasang mata bundar yang masih menjadi penonton setia di balik celahan pintu masih tidak dapat menerima hakikat itu. Gadis yang pernah dicintainya telah meninggalkannya bersama kenangan. Tidak pernah dia menyangka semua ini akan berlaku. Malah sejak dia mengetahui buah pinggangnya akan didermakan pada Aryssa, dia bagai tidak sabar-sabar lagi untuk memberikan satu dari organnya kepada gadis itu. Sekurang-kurangnya dia mahu melihat gadis itu ceria seperti dulu.
- Sampai hati awak tinggalkan saya, Aryssa! Bisik hatinya dalam sebal yang teramat.
Untuk pertama kali juga, Amir Hizam menitiskan mutiara jantan yang jarang sekali mahu merembes keluar, tapi bila dilihatnya gadis yang amat disayanginya telah terbujur kaku dia tidak mampu lagi menahan empangan airmatanya. Harapan dan anganannya kosong.
Walaupun dia bagaikan tidak mahu lagi menyulam hidup bersama gadis itu, namun masih ada secebis harapan untuknya menagih kembali kasih Aryssa. Malangnya, gadis itu pergi dulu tanpa pesan dan salam. Selamat jalan, Aryssa!
BAB TIGA PULUH EMPAT
Pohon kemboja yang rendang redup menutup pusara di bawahnya. Angin lembut terus menerpa, pohon itu melayangkan kuntuman kemboja putih justeru menghiasi pusara yang masih merah tanahnya. Kelihatan seorang pemuda yang baru sahaja selesai menjirus air mawar ke atas pusara yang agak gersang di makan matahari. Dia bangun dengan bersusah payah menegakkan kedua-dua tongkatnya kemudian perlahan-lahan dia berjalan menggunakan tongkat itu, Acid dan Meor yang datang bersamanya membantunya untuk berjalan meninggalkan kawasan perkuburan itu.
‘Aryssa, sekarang saya sudah mampu bangun untuk berjuang, saya tak mahu lagi tewas dalam perjuangan hidup sendiri. Saya harus kuat sepertimana awak kuat menghadapinya, walaupun keadaan kita berbeza. Sungguh, dalam hati saya masih tiada pengganti diri awak, Aryssa. Saya benar-benar menyesal kerana tidak dapat membalas segala kebaikan awak kepada saya selama ini. Saya akan simpan segala kenangan kita dan tak akan ada sesiapa yang boleh menggantikan tempat awak dalam singgahsana hati saya. Saya tahu segalanya sudah terlewat untuk saya menyatakannya, tapi awak telah membawa saya bersama jasad awak Aryssa, kita akan bersatu kelak, insyaAllah!’
Amir berteleku seketika kemudian menoleh ke arah pusara yang semakin ditutupi oleh kuntuman kemboja putih. Dedaun di pohon itu beralun mengikut rentak angin bagai melambai kepulangan Amir dan kawan-kawannya.
Bagaikan Aryssa sedang melambai mengiringi kepulangan mereka bersama senyuman cerianya. Mata Amir masih tidak lepas memandang pusara yang sudah putih ditutupi kemboja yang masih tidak jemu gugur diseka bayu.
‘Esok saya datang lagi Aryssa, membawa secebis doa untuk awak, saya takkan lupa menghadiahkan awak kalimah suci, Al-Fatihah!’
*********************
Hampir sebulan Aryssa pergi, kehidupannya kembali seperti biasa tapi tanpa keceriaan yang dulu, mana mungkin dia akan menangisi pemergian gadis itu selamanya. Kalaupun dia menangis keluar airmata darah sekalipun, Aryssa tak mungkin akan kembali. Gadis itu hanya meninggalkan ingatan tawa riang yang menghidupkan malam-malamnya. Teringat-ingat lagu yang seperti punya kena mengena dengan hidupnya.
Takdir yang menentukan pertemuan yang tak disangka
Takdir jua yang menentukan perpisahan
Di talian cinta ini terjalin ikatan mesra,
Walau hanya seketika bagiku sungguh bermakna
Masih terkenang lagi kepadamu insan misteri
Yang sudi bertamu di hati
Tersentuh hatiku ini rasa ingin bersama mu
Menyapu si air mata menghilangkan rasa sendu di hati
Setiap malam ku tunggu panggilanmu resah hati pun menanti
Walaupun sehari tak ku dengar suaramu hati rindu
Ku terasa dunia ini bagai terhenti
Aku tahu kau rindukan aku belaian kasih mesra untukmu
Tak sempat lagi kita bersua bermesra
Engkau telah pergi jauh
Terlerailah genggaman mawar dari tanganku…
Kini, malamnya terasa sepi, sunyi dari gurauan dan suara tawa Syarina, walaupun adakalanya bila tiba jam 10:00 dia masih acapkali menanti suara misteri di tepi telefon, terlupa seketika bahawa Syarina Wirdayu dambaannya sudah tiada, bila mengingatkannya semula dia sayu, hatinya tercuit pilu. Dan adakalanya rasa kesal selalu berlegar. Kini kenangan Syarina hanyalah kad-kad yang sentiasa disimpan kemas dan teristimewa penanda buku yang dihadiahkan padanya. Terasa benar kepiluan tanpa suara si misteri Syarina. Fizal menongkat dagu, bosan. Tiada lagi gadis manis berdampingan dengannya, dia sudah bersumpah tidak mahu mempermainkan gadis lagi, serik! Pesanan Syarina akan di pegang teguh dalam sanubari.
Wani pula seakan mahu menjauhkan diri dari Fizal, tapi Fizal tidak pernah kisah dengan Wani, itu hak dia, lagipun mungkin dia terkilan dengan perbuatannya kepada Aryssa. Fizal juga tidak pernah menyalahkannya kerana, belum pernah ada gadis yang menolak cintanya sebelum ini, Fizal tersenyum bukan dia bangga.
Namun secebis ingatan terhadap Aryssa membuatkannya tersenyum sendiri. Entah mengapa, sejak pemergian Aryssa, hidupnya terasa kosong. Kini dia tidak lagi mengatur anak dara orang, semuanya berkat kata-kata seorang sahabat yang telah lama pergi. Aryssa alias Syarina Wirdayu menjadi serikandi di hatinya kini.
“Assalamualaikum, bang…ada orang duduk sini tak? Tempat lain dah penuhlah!” ketukan di meja membuatkan Fizal tersentak dari lamunannya.
Dia mendongak, kelihatan seorang budak berlagak tomboy bersama dulang di tangannya sedang merenungnya sambil tersenyum comel dan bersahaja. Budak betina-jantan itu memakai T-shirt longgar bersama jeans biru yang juga longgar dan berantai di tepi poketnya. Dia memakai cap besball yang sengaja di terbalikkan menutupi rambutnya yang agak panjang tapi masih tidak mencecah bahu. Budak itu tampak manis dengan lesung pipit di kedua-dua belah pipiya.
Saat itu Fizal bagaikan terpaku sejenak. Senyuman manis itu membuatkannya terpesona seketika. Oh! Manisnya, manisnya senyumanmu…
Ah! She is not my type…. bisik Fizal dalam hati namun seperti ada suara lain yang berbisik di telinganya, ‘kalau Fizal berjaya mengubah seorang tomboy menjadi gadis sejati, bermakna Fizal benar-benar lelaki sejati…’
“Duduklah! Kalau tak malu…” balasnya nakal, sememangnya dia sedang menanti kalau-kalau ada orang yang sudi berbual dengannya. Fizal membalas senyuman comel gadis di hadapannya.
“Saya memang tak malu pun!” tanpa banyak fikir, pantas tomboy itu duduk di hadapannya sambil tersenyum lagi. Tiba-tiba dia menghulur tangan tanda inginkan persahabatan.
“Rina… Syarina Wirdayu! Saya pelajar baru kolej ni, selamat berkenalan!” Saat itu Fizal ternganga, tidak percaya!