BAB SATU
Majlis baru sahaja bermula, ada yang datang berpasangan, ada juga yang datang secara solo. Yang berpasangan masing-masing bercerita tentang kehebatan sendiri. Ada yang tidak berpasangan mencari teman-teman senasib, kononnya malu kerana tidak hadir dengan dikepit gadis jelita. Setiap kali ada majlis perjumpaan, pastinya Fizal dan Zastri yang menjadi tumpuan teman yang lain dan sememangnya mereka terkenal dengan kehebatan dalam memikat gadis.
“Hebat kau Zastri, sikit punya susah ke nak tackle si Lydia tu, tengok-tengok dah jadi awek kau?” puji Hakim setelah gadis yang dibawa Zastri meminta diri untuk ke ladies, pujian membuatkan Zastri tidak henti tersenyum bangga. Zastri tersenyum megah, bila kawan-kawannya tidak henti memujinya kerana dapat memikat gadis yang paling terkenal di Bandar ini, justeru mereka juga menjadi pasangan paling ideal. Matanya sesekali mengerling Fizal, pesaing utamanya dalam menawan hati gadis, dia tahu musuh paling utamanya itu sedang mendengar perbualan mereka.
“Aku tak suka bawa awek-awek low class ni, muka lawa sikit dari nenek aku, dah ada selera nak berkepit ke sana sini, apa kelass…” nada suara Zastri sememangnya menyindir Fizal sambil matanya masih mengerling ke arah musuh ketatnya. Fizal yang berdiri membelakanginya cuma tersenyum sinis, dia mulai masuk dalam kumpulan Zastri, panas di telinganya tidak mahu dibiarkan berpanjangan.
“Setakat seorang bukan jaguh namanya, kawan! Aku malas nak sembangla, setakat ni ada la dalam tujuh-lapan belas orang yang aku buat stok… dah tak heran! Nak lebih dari si Lydia pun aku boleh dapat, kau tu sebab satu kolej je boleh dapat dia, maklumlah dalam Dermaga tu tak ada lelaki lebih handsome dari kau…” Fizal memulang paku buah keras, mujurlah Suzanna berada jauh sedikit darinya, kalau tidak mahu gadis itu menarik muncung panjang.
“Wah! Kau memang terror sejak dulu, Zal, kalau tak orang tak panggil kau sifu!” sampuk Hakim yang memang suka mengampu, dia menepuk-nepuk bahu kawannya itu.
Beberapa orang kawan mereka mengiyakan. Fizal mula berlalu meninggalkan kumpulan bila melihat Zastri sudah berubah wajah. Dia keluar meninjau kawasan luar dewan utama itu, mencari kelibat Suzanna, gadis itu sudah tenggelam bertemu teman-temannya yang dikenalinya di situ. Dia tidak pernah kisah dengan siapa Suzanna berkawan, andai gadis itu sudah terpikat dengan lelaki lain pun, dia tidak ambil peduli, dia masih punya Azmira, Liza, Hartini dan lain-lain lagi. Lagipun ramai lagi gadis yang masih menunggu giliran untuk memberi kata-kata cinta padanya.
“Excuse me, you ada lighter tak?” sapa satu suara.
Fizal menoleh, dilihatnya seorang gadis yang memakai dress pendek berada di celah-celah pohon bunga yang mengelilingi dewan utama. Fizal mengerut dahi, takkan gadis ini mahu menghisap rokok di tempat begini, lagipun ini kawasan sekolah, kawasan larangan merokok! Getusnya.
Bagaikan faham dengan apa yang Fizal fikirkan gadis itu menjawab. “No, I bukan nak smoking, baju I ni ada lebihan benang, so kalau I tarik nanti, koyak pula, I need to burn it…”
Lelaki itu lalu mengeluarkan gunting kecil yang terikat bersama kunci keretanya, dia lalu memotong bahagian lebihan benang tersebut.
“Thanks! By the way, I’m Lydia Dato’Hisham, you ni Fizal kan? You are so familiar in my college, nice to meet you,” ucapan perkenalan dari Lydia di balas baik oleh Fizal.
- Kan betul aku cakap, sebab si Zastri tu yang mula jumpa anak Dato’ ni, kalau aku jumpa dulu, tak merasa la kau, Zastri!
“Nice to meet you too! You datang dengan Zastri kan? You tak risau ke kalau dia nampak kita kat sini?” pancing Fizal, tak kan ada perempuan yang menolak cinta Fizal. Never!
“Well, actually, I pun dah fed up dengan dia, terlalu mengongkong I, cannot do this, cannot do that! Lepas couple je dengan dia, I really lost my life,” adu Lydia, saat itu Fizal mulai ‘mencucuk jarum’ yang sentiasa di asah tajam untuk memikat perempuan. Mereka berbual lama, bertukar nombor telefon dan akhirnya berpisah bila majlis itu selesai. Selepas pulang dari majlis alumni itu, mereka berhubungan lagi. Fizal senyum senang, dia tahu Zastri tidak akan mampu menyainginya, kalau tidak orang tidak memanggilnya ‘Sifu’.
BAB DUA
Fizal membetulkan kolar kemeja, dia memperkemaskan lagi kaki jeansnya. Setelah berkali memerhatikan diri di dalam cermin dia menyembur perfume Hugo Boss yang dihadiahkan oleh salah seorang teman wanitanya, yang mana satu? Dia sendiri tidak pasti.
Penampilannya adalah perkara utama sebelum keluar, dia harus sentiasa kelihatan bersedia dan yakin maklumlah malam ini dia akan keluar dengan Lydia Binti Dato’ Hisham, ratu Kolej Dermaga yang dikenalinya ketika majlis reunion tempoh hari. Kebelakangan ini mereka selalu berhubungan melalui telefon, Lydia sering mengadu padanya tentang Zastri yang suka mengongkong, gadis itu sudah tidak tahan dengan sikap kekasihnya itu.
Nasib kau lah Zast… awek ni dah nak sangkut kat aku, apa nak buat sudah terbukti akulah Romeo paling top kat town ni…
“Ai…Fizal, wanginya…nak kemana ni? Tiap-tiap malam keluar, mama tengok?!” soal Salina setelah menjenguk ke dalam bilik anak bujangnya itu.
“Keluar ma… Saturday night fever!? Ayah kan kursus… sporting la sikit…” pujuk anak muda itu pantas mengucup pipi ibunya. Salina menggeleng kepala, adakalanya pening dengan perangai anak lelaki sulungnya itu.
“Dengan siapa? Perempuan lagi? Siapa pula kali ni?” Fizal mengangguk, memang mamanya itu sudah masak dengan perangainya.
“Lydia! Bakal menantu mama, kalau mama setuju! Kalau tidak terpaksalah Fizal cari yang lain pula!” kenyitan nakal anaknya itu dibalas dengan keluhan berat.
“Belajar belum habis dah nak carikan menantu untuk mama. Hah, ni keluar malam ni, balik pukul berapa pula? Mama tak sukalah anak teruna Mama usung anak dara orang sampai ke subuh! Orang tengok tak elok…nanti jadi perkara yang tidak-tidak, orang tak tuding jari kat orang lain! Ni, muka mama ni juga yang orang cari tau!!!” tegas Salina.
Walaupun dia tahu bebelannya itu tak mampu memberi kesan kepada anak lelaki yang seorang ni. Degil dan sikap bertukar teman wanita si Fizal itu pastinya diwarisi dari suaminya, Jefri, bapa borek anak rintik. Mujurlah Jefri membuang segala tabiatnya setelah berkahwin dengan Salina. Agaknya sikap anak bujangnya itu hilang kalau dikahwinkan kot!
“Promise… nothing happen, Mama! Pergi makan je… may be tengok movie, Fizal akan balik before 12:00… okey! I love you!” Pantas Fizal mengangkat tangan kirinya dan tangan kanannya diletakkan di dada.
Dia tahu ibunya itu risau dan sekali lagi pipi Salina menjadi mangsa ciumannya. Kerisauan itu terpancar dari wajah tenang ibunya.
“Before 12:00 malam bukan 12:00 tengah hari…” tegas Salina lagi, memang dia agak geram dengan anak bujangnya itu, selalu sangat keluar dan baliknya jauh malam.
Salina cuma senyum tawar, dia kadangkala kalah dengan sikap anak sulungnya itu. Entah ke mana perginya, jangan dia buat kerja tidak senonoh pada anak dara orang sudah. Adakalanya dia sendiri tidak tahan dengan perangai anak bujangnya yang seorang ini, yang mempunyai ramai teman wanita, mujurlah dia seorang sahaja anak lelaki yang Salina ada, kalau tidak mahu dia memotong talian telefon rumah mereka.
Mana tidaknya, setiap malam, Salina terpaksa pula menjadi operator telefon dan ke semua panggilan itu adalah untuk Fizal yang majority pemanggilnya adalah perempuan. Sekejap Suzana, lepas tu Liza, selang beberapa minit As pula, kemudian Tini, Mira, Mimi dan tak kurang juga yang tak mahu dikenali. Ada pula tu yang bertanya macam-macam, hinggakan dia tak terjawab dengan pertanyaan itu, nak di kahwinkan, umurnya baru nak masuk dua puluh satu tahun, belajar pun belum habis.
Takut perangainya tak berubah, nanti belum berumur empat puluh tahun, isteri dah berderet-deret. Hendak dimarahinya, anak itu sudah cukup dewasa untuk membentuk diri sendiri, kalau tidak ditegur dan dimarah, apa yang dia buat seperti tiada batasan. Salina risau, kalau-kalau anak itu terjebak dalam kumpulan tidak sihat. Ya Allah! Lindungilah keluargaku dari perkara yang tidak diingini….
Fizal bersiul mengikut rentak muzik dari CD player nyanyian Avril Lavigne, walaupun sebenarnya dia langsung tidak berminat dengan artis Barat itu, tapi kerana Lydia, dia sanggup bertukar citarasa. Lydia di sebelahnya menjeling manja, malam itu Lydia mengenakan blaus hitam dan skirt denim beropol yang pendek, menyerlahkan lagi pehanya yang putih dan gebu. Gadis itu memang cantik, rambutnya keperangan, wajahnya pula ala-ala Serani sekali pandang macam Linda Hudson, model iklan dan pelakon TV tu.
Mereka berpimpinan tangan menuju ke sebuah restoran untuk makan malam. Dia sanggup menghabiskan elaunnya untuk seminggu bersama Lydia. Lydia mengaku menyukai Fizal berbanding Zastri, kerana Fizal lebih romantik tidak seperti Zastri yang tidak ada sikap sportif dan langsung tak pandai menjaga hati kekasih. Fizal tersenyum bangga dengan pujian Lydia.
“Dengar cerita, you ada banyak stock awek, betul ke?” soalan itu terpacul dari bibir mongel Lydia.
Gadis itu mengangkat muka menatap wajah jejaka idaman Malaya di hadapannya, sungguh dia tertarik dengan wajah lelaki itu, begitu tampan dan bersahaja. Kalau dibandingkan dengan Zastri yang berketurunan Arab campur Belanda itu, Fizal tidaklah sekacak mana, tapi senyumannya membuatkan ramai gadis terpesona. Bait-bait kata yang keluar dari bibirnya cukup membuatkan ramai gadis terpukau asyik. Malah lirikan matanya yang tajam dan menggoda serta mendengar kata-kata lelaki itu pasti membuatkan si gadis terigau dan termimpi-mimpi.
Fizal memang tergolong dalam golongan lelaki Melayu terkacak, keningnya lebat sesuai dengan matanya yang tajam bagai helang, hidungnya manjung, bibirnya pula merah mungkin kerana tidak merokok dan yang paling menawan ada lekuk didagunya. Wajah pemuda itu memang tidak jemu dipandang, bila ditenung lama, terasa tenang! Tubuhnya juga sasa dan pasti ramai gadis tidak mahu terlepas dari dakapannya.
“Well, actually, diorang yang sukakan I. Bukannya I tak pernah menolak, tapi maklumlah I ni tak suka kecilkan hati orang, kalau I tak layan, kesian pula… I nikan baik hati, so tak sampai hati nak kecewakan orang!” ujarnya, untuk melepaskan diri.
“You ni, macam artis pula… popular sangat! Sampai kat kolej I, nama Fizal mesti ada dalam gossip kawan-kawan I. Tak sangka pula, I salah seorang gadis yang menjadi pilihan you.”
Cubitan manja singgah di lengan Fizal. Fizal tersenyum bangga, hidungnya kembang-kuncup tidak mampu untuk mengawal pernafasan.
Selepas makan, mereka pergi ke Flubber, tempat berkumpulnya golongan remaja yang mahukan hiburan, mereka menari puas-puas. Dia peluk pinggang Lydia yang ramping, gadis itu pula merangkul lehernya, mereka menari dan berpelukan sehingga tengah malam. Terasa bangga bila ada di antara kawanya yang nampak, lebih bangga lagi, bila Lydia mengenalkannya pada kawan-kawannya.
Alangkah bagusnya kalau si Zastri ada, dan pasti lelaki menggigit jari bila melihat Lydia dalam rangkulan Fizal, dan yang pasti biar dia rasa. Fizal ketawa dalam hati, bangga kerana dapat memiliki Lydia sekaligus menjatuhkan Zastri, musuh sepanjang zamannya.
BAB TIGA
Aryssa menghirup Nescafe panas untuk menghilangkan mengantuk. Dia masih menghadap lap top, menyiapkan assignment yang mesti di hantar esok. Dia mesti menyiapkan assignment itu malam ini, jika tidak tentu Mr. Mark Loo akan membebelkannya bila masa kuliahnya nanti. Dulu dia sangkakan, kalau masuk course Graphic Design ni, tidak perlu buat teori segalanya kena buat praktikal, rupanya dia salah, kedua-dua perkara dia terpaksa lakukan untuk mendapat keputusan yang terbaik.
Sebelum ni pun keputusannya sentiasa baik, walaupun kesihatannya sering terganggu. Tapi itu semua tidak pernah melemahkan semangatnya. Dia terpaksa menerima kenyataan dan segala apa kehidupan yang telah ditentukan untuknya. Kerana itu juga dia semakin kuat menghadapi ujian, walaupun kadangkala semangatnya goyah bila dia diserang penyakit secara tiba-tiba. Tiba-tiba telefon bimbitnya, hadiah dari emaknya sempena harijadinya tahun lepas, berlagu minta diangkat. Dia mencapai telefon comel yang tertera di skrin, Daniah.
“Ye, Danny, what’s up?” soalnya, matanya masih melekat di dada monitor. Ayat-ayat yang perlu ditaip sudah terlekat di mindanya.
“Ary kau kat mana? Janji nak datang, Linda dah lama tunggu ni…” balas suara garau yang dibuat-buat dihujung sana.
Teringat janjinya untuk datang bertemu Linda seperti yang dijanjikan Danny. Bukan dia yang mengatur pertemuan itu, Pengkid ini lah yang tak pernah nak faham keadaan sebenarnya. Sudah berkali dia menegaskan pada budak dua alam itu, yang dia adalah seorang perempuan bukannya makhluk dua jantina seperti Danny, Ficky dan lain-lain yang masih tidak mahu menerima kenyataan bahawa mereka dilahirkan sebagai perempuan.
“Sorry, tak boleh la, busy! Aku nak siapkan assignment ni. Kirim salam ajelah kat dia ye…” ujarnya, sekadar mahu meloloskan diri dari bertemu dan berkawan dengan mereka yang mempunyai dunia yang teramat lain itu.
“Ei, dude! Aku dah baik punya arrange date kau dengan Linda, kau buat sial pula…last night aku ajak kau clubbing, busy la, besok nak gi library la…banyak kau punya reason! Aku tunggu kau kat sini, Shuttle Eight…” marah Danny.
“Sorry dude! Aku tak boleh pergi, skang dah pukul 10 lebih pun… esok aku ada class pagi… kau faham ke tidak ni?” balas Aryssa, rimas dengan kata-kata Danny yang bagaikan mendesaknya.
Sudah berkali budak pengkid itu menelefonnya sejak dari semalam, mengingatkannya tentang temu janji pertamanya dengan Linda, gadis manis yang seksi tapi, mempunyai selera yang pelik dan aneh, meminati hubungan sesama jenis.
“Jual mahal kau ye… Dah banyak kali kau ‘kencing’ aku… blah la!” marah Danny, taliannya terus mati di situ.
Aryssa tahu Danny marah sangat padanya, dia tersenyum sendirian. Kadang-kadang terasa ingin ketawa dengan pandangan Danny terhadapnya. Apa tidaknya, ada ke nak kenalkan dia dengan awek. Awek gila je yang nak couple dengan kaum sejenis macam Danny atau namanya dalam IC, Siti Daniyah Binti Ramli.
Dia ingat Aryssa ni ‘sekaum’ dengan dia kot, Aryssa tidak segila itu. Perwatakannya memang bercirikan seorang tomboy, tapi dia masih tidak sanggup membuat hubungan cinta dengan kaum sejenis, itu adalah kerja gila.
Sebenarnya dia masih gadis sejati, cuma penampilannya sahaja nampak begitu. Dia gemar mengenakan jeans dan T-shirt longgar beserta cap yang tak pernah lekang dari kepalanya. Dia lebih suka memakai sneakers supaya pergerakannya bebas dan selesa. Rambutnya di potong pendek dan kemas, yang penting tak perlu dijaga rapi. Dia tidak suka bersolek, baginya semua itu membazirkan masanya.
Tapi tidak semestinya kerana tampil dengan imej tomboy, Ary mahu bercinta dengan perempuan… never! Dia juga seperti gadis remaja lain, ingin dicintai dan menyintai lelaki. Segala perubahan pada penampilannya bersebab. Dia sukar melupakan kenangan lama, kenangan yang begitu kukuh terpahat di hatinya. Dan dia tidak mahu segala kenangan itu terpadam begitu sahaja.
BAB EMPAT
Fizal menyuap nasi gorengnya penuh berselera, kemudian menyedut carrot juice yang segar penuh nikmat, dari pagi tadi dia ‘kebuluran’ kerana tak sempat bersarapan di rumah. Semuanya gara-gara dia keluar dengan Lydia semalam, pulangnya hampir dua pagi. Mujur mama sudah lama dibuai mimpi, jika tidak sudah tentu dia terpaksa menadah telinga mendengar ceramah, kuliah sebelum subuh.
“Jay! Awak pergi mana? Sue call awak banyak kali… tak angkat pun!” rengekan Suzanna tidak mematahkan seleranya. Fizal menyeluk kocek baju, mengeluarkan telefon bimbit dan tertera di skrin, ‘8 missed called’.
“Sorry, phone tak pasang sound…vibrate pun tak pasang…” balasnya sambil tersenyum ke arah gadis itu. Tidak ada sedikit pun terbit rasa bersalah.
“Eii! Saja la tu, takut awek lain call ke?” cubitan manja singgah di paha Fizal.
Fizal tersenyum melihat gadis kacukan Cina-Melayu itu. Tangannya menyudu nasi goreng lagi, kali ini di halakan ke mulut Suzanna. Dengan gaya penuh manja dan menggoda gadis itu menghalakan mukanya ke depan sambil mengangakan mulutnya, tapi sudu yang dipegang Fizal terus beralih arah ke mulutnya sendiri, pecah tawa lelaki itu bila melihat Suzanna mencebik.
“Awak ni, main-mainkan Sue!” katanya nada merajuk sambil tangannya menarik-narik manja lengan baju Fizal.
“Ala main-main pun tak boleh? Selalu tu Sue yang suka ‘main-main’.” Fizal ketawa lagi.
“Ala itu lain…Awak, kita pergi waterfall lepas kolej nak?” ajak Suzana.
Bab ini yang Fizal malas nak layan, asal nak dating je dia nak pergi waterfall tidak pun tepi laut, rimas, macam dah tak ada tempat lain, walhal punya banyak tempat kat dunia ni, kat tempat banyak agas dan nyamuk tu lah yang dia nak pergi. Lagipun Fizal bukannya ahli kelab pencinta alam.
“Waterfall? Taknak la…banyak nyamuk, kita main bowling, okey?” Fizal mengusap tangan Suzanna, dia tahu dengan sentuhan itu Suzanna pasti tidak menolak.
“Gatal!” ucap gadis itu, sambil jarinya mencubit lembut hidung Fizal.
Suka la tu! Perempuanlah katakan, bila disentuh dan dibelai terus cair. Bagi Fizal, perempuan ni macam aiskrim, keras dan beku sebelum di pegang. Lepas pegang aiskrim tu, kita sentuh dengan bibir, tak ada rasa melainkan sejuk je. Kemudian cuba masukkan dalam mulut, tiba-tiba sahaja aiskrim itu cair dan bila cair, baru kita dapat rasa kenikmatannya. Lemak dan berkrim, disukai ramai…
“Jay, betul ke you ada affair dengan Amira? I selalu dengar you lepak-lepak denga Amira kat belakang café. You janganlah buat macam tu, I cemburu tau!” rengek Suzana. Dia menunduk sambil jari jemarinya berjalan-jalan di peha Fizal. Lelaki itu masih seperti tadi terus menikmati makan tengaharinya dengan berselera.
“Well, you kan tahu I ni ramai peminat. So banyaklah gossip. Before you kenal I, I dah bagi tahu awal-awalkan. Tapi you tetap kata nak kawan dengan I. So, bukan salah I tau!” balas lelaki itu sambil mencuit hidung Suzana.
Suzana menarik muka. Setiap kali dia meminta penjelasan Fizal setiap kali itu lelaki itu memberi jawapan yang sama. Dia sebenarnya takut lelaki itu meninggalkannya setelah apa yang mereka lalui bersama. Mana mungkin dia mahu tinggalkan lelaki yang pernah mengucup bibirnya. Dia memang menyayangi Fizal sepenuh hati, namun lelaki itu gemar bermain tarik tali. Gossip tentang lelaki itu juga sudah acap kali di dengarnya. Malah sepanjang mereka berkawan selama setahun lebih ini, tidak pernah sekalipun Fizal mengungkapkan kata-kata cinta dari bibirnya. Adakalanya Suzana merasakan dia yang terhegeh-hegeh menyayangi Fizal. Namun lelaki itu langsung tidak perduli tentang perasaannya.
Yang paling tidak dapat dilupakan semasa majlis alumni sekolah tinggi dulu. Fizal enak berbual mesra dengan Lydia, teman wanita Zastri. Sedangkan terkonteng-konteng seorang bila kawan-kawan lain sedang menari dengan pasangan masig-masing. Dia hanya merenung dari jauh dalam pelbagai rasa. Dia sedih diperlakukan begitu namun apa boleh buat, dia menyintai lelaki yang punya sifat buaya darat.
***********************************************************
“Whooi!” sergahan Aryssa membuatkan Wani mengurut dada. Terkejut dengan sergahan itu, pantas mengepal penumpuk, mengajukan pada teman baiknya itu.
“Cilakak! Apasal kau tak joint the club last night? Mengamuk si pengkid bodoh tu kat kau!” Wani menepuk kasar bahu Aryssa.
Bengang dia semalam kena ‘belasah’ teruk dengan Danny and the gang. Tak pasal-pasal dia kena bersoal-jawab dengan pengkid garang tu. Semuanya gara-gara Aryssa tidak datang untuk dating dengan Linda.
“Hilang akal apa? Ada ke dia nak kenalkan aku pada Linda tu… Dia ingat aku macam dia, Lesbian? Hie! Yarkh!” balasnya sambil memasukkan jari telunjuknya ke mulut seolah-olah mahu muntah. Wani ketawa kecil melihat gelagat temannya itu.
“Tengok kau pakai gaya gini, dia ingat kaum-kerabat dia la jugak! Dia tak tau kau la awek paling jiwang karat sekali dalam dunia ni!” gurau Wani lagi.
Kali ini dia ketawa kuat. Dia tahu temannya itu takkan ambil hati walaupun apa jua gurauannya. Dia mengenali Aryssa sejak sekolah rendah dan persahabatan mereka kekal hingga sekarang, tidak pernah ada perbalahan.
“Amboi sedapnya kata aku jiwang karat! Aku lapar ni… jom makan!” ajak Aryssa. Wani mengekorinya, mereka beriringan menuju cafetaria.
“Danny suruh kau tackle Linda tu pasal dia ada kepentinganlah tu. Kalau tak takkanlah dia beriya sangatkan, aku dengar Danny minta Linda kenalkan dia dengan Nani, ala model majalah kecantikan tu… Aku tengok si Linda tu, memang mengancam, macam pelakon Rita Rudaini. Tapi dia memang species syok kat kaum sendiri la. Aku nampak Danny peluk-peluk Linda, masa dia menangis pasal kau tak datang…” terang Wani.
Si Wani ni kalau pasal bergossip, serah padanya, semua dia tahu. Kalau gossip artis tu lagilah, dari dalam dan luar negara sampai ke Bollywood pun dia tahu.
“Dia nangis sebab aku tak datang semalam? Dah parah budak tu, kesian betul!” tanya Aryssa, dia mengerut dahi dan bermuka serius yang dibuat-buat, Wani mengganguk mengiyakan.
“Betul, Ry! Linda tu memang syok habis kat kau Ry… Dia sendiri cakap kat aku…Dia kata, dia ingat aku steady awek kau, dia jealous kat aku. Tapi aku dah explain kat dia. Dia ada candid gambar kau masa party kat rumah Salmi. Masa tu kau memang sebijik jantan la Ry… Aku tengok gambar tu, handsome siot! Nasib baik aku pun tak tergoda,” sambung Wani lagi, ternganga Aryssa mendengar cerita Wani.
Dia memang tidak pernah menyangka ada perempuan jatuh hati padanya. Mustahil ada perempuan yang menyimpan rasa cinta terhadap perempuan lain hanya setelah melihat perempuan itu berpenampilan seperti lelaki. Hilang akal anak muda zaman sekarang! Kenapalah fikiran orang perempuan ni cetek sangat sehingga tidak dapat membezakan jantina untuk menyelami percintaan yang sememangnya lumrah bagi seorang manusia yang berakal.
“Habis tu, kau nak jadi steady awek aku?” pertanyaan Aryssa sekali lagi membuatkan si Wani ketawa berdekah-dekah. Dia ni kalau dapat ketawa macam apa je.
“Gila! Kau tu betina, kalau si Zastri, hero Dermaga College to offer macam tu, boleh gak aku fikirkan! Tapi semua tu pun salah kau juga Ry!”
Wani menolak ke bawah lidah cap besball yang dipakai Aryssa. Dia membetulkan capnya semula. Malas Aryssa nak layan kalau Wani mula buka cerita pasal Zastri, hero Dermaga College. Nanti mesti dia akan melalut sampai ceritanya jadi mengarut.
“Kau kata salah aku? Apasal pulak salah aku? Aku tak kacau orang, tak menyusahkan hidup orang…” balas Aryssa.
Mana boleh semua tu salah dia? Dia tidak pernah cuba menggoda mana-mana lelaki mahupun perempuan dalam dunia ni. Lagipun dia tidak pernah ambil tahu siapa yang menaruh hati padanya atau siapa yang suka nak berkawan dengannya. Hidupnya terlalu simple, ada emak, ayah dan Wani, itu sudah memadai untuk dia meneruskan hidup, yang paling penting masih ada kenangannya bersama Amir.
“Ye lah tu! Yang kau pakai macam jantan, siap potong rambut pendek. Bergaya macho dengan Yamaha 125 kau tu, apahal? Memanglah kau tu perempuan, tapi kalau dah dress up macam jantan, mana ada mamat yang nak berselera, awek tentulah meleleh tengok kau! Dan semua tu boleh menimbulkan pelbagai spekulasi!” Wani mula bersyarah. Aryssa cuma mengangguk kecil, mengiyakan apa yang dikatakan Wani.
“Jadi aku ni kira bersalahlah? Macam mana nak tebus balik kesalahan aku?” tanya Aryssa, kebodohan sambil tangannya menggaru pipi yang tidak gatal. Wani mengetap bibir! Lurus bendul betullah minah ni…
“Adalah lebih baik kau ubah imej kau tu jadi gadis macam aku ni! Feminin, sopan dan anggun! Err… tapi nanti dulu, kalau kau ubah imej, jatuhlah saham aku nak pikat Zastri tu. Hish! Jangan-jangan, lebih elok kau jadi cam gini! Dan aku rasa selamat di sisi kau!” Wani merangkul lengan Aryssa. Gadis tomboy itu menggelengkan kepala.
- Lantak kaulah Wani, namakan aku nak tukar balik jadi pompuan sopan, minta maaf bebanyak!
Memang selama ini ramai yang mempertikaikan hubungan mereka, Aryssa dan Wani terlalu rapat, sehingga tiada orang lain menjadi kawan mereka, hingga ada yang menganggap mereka sebagai lesbian. Aryssa sudah terlalu selesa dengan imej ala-ala tomboy dan Wani pula begitu feminine.
Malah sewaktu mula-mula menjejakkan kaki ke kolej ini, mereka telah dipanggil ke bilik kaunseling oleh Ustazah Hamizah. Setelah diterangkan hal sebenarnya, barulah ustazah itu faham dan melepaskan mereka.
Aryssa dan Wani sudah mula memasuki kafetaria. Biasanya waktu tengahari begini, memang ramai yang suka melepak di sini bukan sahaja untuk makan dan minum, malah ada yang mengambil kesempatan untuk dating bersama pasangan masing-masing. Yang menghairankan, pasangan yang suka meniru gaya remaja Barat, yang suka berpelukan dan bercumbuan kesana-sini tidak pula diberi kaunseling.
“Ni couple paling aku menyampah, si Fizal ni handsome memang le handsome, tapi macam dia bagus sangat, tukar awek mengalahkan tukar baju. Yang si Suzanna tu pula perasan lawa, mata pun sepet! Tergedik-gedik macam ikan keli ke ketuk!” cebik Wani bila sepasang kekasih melintas di hadapannya.
Aryssa juga turut menoleh ke arah pasangan kekasih yang bergurau senda dan berpegangan tangan. Dalam hatinya juga terasa meluat dengan gelagat pasangan yang popular di Kolej Perdana ini. Macam bagus sangat lagak mereka, kononnya mereka mahu meniru gaya remaja di barat, yang tanpa silu bebas berpelukan dan bercumbuan di kawasan kolej.
Aryssa berfikir sendiri, mengenangkan remaja-remaja di negara ini, dapat masuk kolej yang dibiaya kerajaan, mereka senang sahaja menghabiskan PTPTN untuk membeli handphone model terbaru, pakaian berjenama malah ada yang langsung tidak menggunakan pinjaman wang itu ke jalan yang sepatutnya, kemudian menyusahkan ibubapa untuk membiayai pengajian mereka. Padahal sepatutnya masa ini mereka patut belajar dan buktikan pada ibu bapa bahawa suatu hari nanti mereka akan jadi orang yang berguna, tapi yang berlaku sebaliknya.
Kadangkala dia sendiri tidak faham ke mana hala tuju pelajar-pelajar seperti ini, macam mana nak lulus periksa kalau dah dua puluh empat jam berkepit macam belangkas. Yang lelakinya tidak cukup nak tunjuk macho, siap tanggung awek lagi, setakat belanja awek makan dan minum tu sudah menjadi perkara biasa, ini siap top-up prepaid handphone, ada juga yang sanggup belikan awek handphone baru guna duit biasiswa, walhal belum tentu lagi mereka tu kekal sepanjang hayat.
Lagipun makan, pakai dan yuran kolej mereka sendiri ditanggung MBF (MakBapak Finance) ada hati nak menanggung anak dara orang, tak malu ke? Tak kurang juga yang perempuan spedo si jantan… lagi buang karan! Nanti pelajaran ke mana, mereka ke mana, itu lah yang boleh jadi buang anak macam buang tahi ikan je, campak merata-rata! Nauzubillah min zhalliq!
BAB LIMA
Dia menyanyi kecil semasa hendak memasuki pintu rumah. Helmet dan begnya di letakkan di tepi pintu. Dia memandang sekeliling halaman, tidak nampak emaknya di mana-mana. Selalunya bila petang begini, emaknya pasti sedang memanjakan pokok-pokok bunga yang di tanam merata laman.
“Assalamualaikum!” jeritnya, seperti budak-budak darjah satu menjerit ketika cikgu masuk kelas. Memang dia sengaja menjerit begitu, mesti ibunya bengang dengan jeritannya.
“Waalaikumussalam! Apa yang terjerit-jerit ni, anak dara apa macam ni, malu kan emak je…” marah Zakiah dalam nada berbisik.
Anak daranya ni, memang begini, tidak kira ada orang ke tak ada orang ke main belasah je nak jerit-jerit macam gitu. Buatnya ada orang tengah nak masuk meminang, kan dah kena reject!
“Mak ni kan kalau marah lawa la mak, macam muka Seniwati Sarimah dalam cerita Ali Baba Bujang Lapuk!” pujinya, kemudian dia memeluk ibunya dan diciumnya pipi wanita itu bertalu-talu.
Zakiah menggeleng kepala, tidak terbuat dengan perangai anak daranya yang seorang ini. Hendak dimarah sangat, hanya dia lah satu-satunya zuriatnya yang ada di dunia.
“Masuk, jumpa dengan mak cik Salina, kawan mak masa kat asrama dulu…” arah Zakiah, mendengar itu Aryssa menekup mulutnya sendiri. Patutlah ada kereta kat pagar luar tu.
“Patutlah berbisik-bisik, ada tetamu rupanya…” perlinya dalam nada berbisik juga.
Zakiah mencerunkan matanya. Anak itu hanya tersengih nakal menampakkan lesung pipit di kedua belah pipinya. Dia mencubit kecil anak gadisnya itu lalu ditariknya ke dalam rumah, memperkenalkan Aryssa kepada sahabat lamanya, Salina.
“Apa khabar mak cik?” tanya Aryssa seraya menghulur tangan, tangannya diraih Salina, dengan sopan dia tunduk mengucup tangan wanita separuh abad itu. Tidak lepas mata wanita itu memandangnya.
“Alhamdullillah! Baik. Ini lah anak dara kau, Kiah? Dah besar, lawa macam maknya juga. Baru balik kuliah ye? Belajar kat Kolej mana?” ramah si tamu itu bertanya, sambil tangannya tidak lepas memegang tangan Aryssa. Membuatkan gadis itu berasa tidak selesa.
“Kolej Perdana, jurusan Graphic Design,” jawab Aryssa penuh bersopan, dia kemudian duduk di sisi emaknya.
“Kolej Perdana? Eh! Sama dengan anak lelaki mak cik, dia jurusan Sains Komputer. Aryssa kenal agaknya, Fizal namanya…” Salina bagai teruja mendengar nama kolej tersebut.
Fizal? Ok oo… ini emaknya si Casanova Kolej Perdana, rupanya. Tak sama langsung, emaknya jelita dan baik hati. Tapi anaknya, macam buaya bertelinga arnab dan kadang-kadang kelihatan macam anaconda, hieh! Menyeramkan!
“Tak berapa kenal, mak cik,” balas Aryssa.
- Mana boleh tak kenal mak cik, kalau makcik nak tahu, anak makcik tu buaya paling glamour di kolej. Satu town ni kenal dia, kasanova Kolej Perdana. Pakar dalam hal ehwal mengatur dan membuat koleksi anak dara orang.
“Anak aku tu Kiah, tak tau aku nak cakap, kawan perempuannya ramai sangat, aku naik risau. Bukan apa, kot jadi satu-satu hal, niaya aku, Kiah?!” keluhan Salina membuatkan Aryssa mulai bangun meninggalkan mereka.
- Mak dia tau rupanya perangai anak dia… Isk! Perangai teruk sampai tak dapat maknya nak pantau! Kesian mak dia, hantar anak belajar tinggi-tinggi tapi anaknya macam tak ada tamadun, mengelek anak dara orang ke hulu ke hilir sesuka hati!
“Anak bujang macam gitulah, Sal. Anak dara aku ni satu hal pula, dah macam jantan. Yang si Lias satu, dibelikannya pulak motor, bertambah-tambahlah perangai jantannya tu…” kata-kata Zakiah membuat Aryssa menjeling. Tidak puas hati dengan komen emaknya tentang dirinya.
- Mulala mak ni, ada je yang tak betul. Lepas ni mulalah nak mengumpat pasal aku pula! Belum cukup baik lagi ke aku ni…
“Itu tak apa Kiah. Takut orang lelaki nak dekat, tak ada lah risaukan kita. Tau ke mana dia pergi, kawannya siapa. Kalau anak jantan aku tu, tiap-tiap malam keluar, tak tau ke mana halanya, bila ditanya, tak ke mana…makan je! Tengok wayang je… itu jawabnya, risau aku! Kot dibuatnya benda tak senonoh pada anak dara orang, mana aku nak letak muka, Kiah!” jelas terpancar kerisauan pada muka Salina.
“Sabar je la, Sal. Pandai la dia jaga nama baik keluarga, lagipun orang muda Sal, kena faham juga, kita dulu pun pernah muda!” balas Zakiah.
Aryssa membiarkan kedua sahabat itu bercerita, mengumpat tentang anak masing-masing. Dia menuju ke biliknya, malas untuk mencampuri perbualan orang tua, lagipun dia sudah lali dengan emaknya itu sentiasa risaukan dirinya. Asyik risaukannya yang dikatakan ala-ala jantan, dia tak kisah, yang penting dia tetap merasakan dirinya perempuan.
Aryssa sendiri sudah terlupa sejak bila dia bertukar rupa. Sedangkan dulu dia juga di antara pelajar perempuan paling popular di sekolah. Dan semuanya itu terjadi kerana, Amir!
Amir Hizam, nama itu memang menjadi bahan bualan harian setiap pelajar perempuan di Sekolah Menengah Dato Megat atau SMDM.
Pelajar lelaki popular itu juga menyandang beberapa jawatan dalam sekolah dan merupakan pemain bola sepak yang menjadi harapan semua guru. Siapa yang tidak terpikat dengan kebolehan itu, tambah pula Amir Hizam tergolong dalam golongan pelajar paling tampan dan digilai gadis di sekolah. Tapi Amir bukanlah lelaki yang sering mengambil kesempatan terhadap perempuan, tidak betah melayan perempuan berlebih-lebihan apalagi mahu bertukar pasangan.
Andai dia sukakan seseorang dia lebih suka berterus-terang dan sentiasa tegas dengan keputusan. Aryssa juga salah seorang dari pelajar perempuan yang meminati Amir Hizam dalam diam. Tapi rupanya dia tidak bertepuk sebelah tangan, bila Amir menyuarakan hasrat untuk berkenalan dengannya.
“Aryssa, saya nak ajak awak makan ABC kat kedai Apek, mahu tak?” ajak Amir, semasa dia baru saja selesai latihan hoki pagi Sabtu itu. Dia masih teragak-agak dengan pelawaan itu. Wani di sebelah mencuitnya sambil mengangkat kening.
“Ry, aku balik dulu ye… aku dah janji dengan mak aku nak balik cepat hari ini…” kata Wani, seakan memberi ruang untuk mereka bersama.
“Eh, Wani kita pergi sekalilah, aku belanja…” Amir serba salah bila melihat Wani bangun meninggalkan mereka.
Dia takut Aryssa tidak menerima pelawaan itu tanpa Wani, satu sekolah sedia maklum tentang persahabatan Wani dan Aryssa. Di mana ada Aryssa di situ ada Wani. Mereka bagaikan kembar siam yang tidak melekat tapi tidak juga boleh dipisahkan.
“Tak apa aku bagi chance, bukan senang nak dapat kawan yang sporting macam aku. Ok, Ary, Amir ! Aku chow dulu…” balas Wani kemudian berlalu.
“Aryssa…jom kita pergi…” ajakan Amir di terimanya, teragak-agak, melihat itu pantas tangan Amir menarik lengan Aryssa yang sedang duduk.
- Alamak! Mamat ni pegang-pegang tangan aku pula. Kang orang nampak, jadi gossip pula.
“Eh! Tak apa ke ni? Nanti orang lain nampak, kena gossip pula!” ujar Aryssa.
“Siapa yang tak mahu kena gossip dengan awak?” pertanyaan Amir membuatkan Aryssa semakin serba salah.
Sejak pertemuan itu, mereka jadi pasangan paling sensasi di sekolah, ramai yang cemburu. Tambah hangat lagi, semasa sekolah mengadakan Hari Terbuka, Amir menyanyikan lagu yang diciptakan khas untuk Aryssa. Bait-bait kata di dalam lagu itu membuatkan Aryssa semakin terpesona.
Semalam kau datang membawa cahaya
Tersenyum menawan hati
Hari ini ku cuba melupakan seketika senyuman itu
Kerana ku tak layak berdampingan denganmu bidadari…
Tapi tak mampu ku leraikan nya
Cinta itu bagaikan membelenggu diri
Ubatilah aku, dengan kasih mu,
Andai benar cinta itu milik aku
Milik kita berdua, Aryssa…
“Ary rasa kita berdua ni serasi tak?” soal Amir, matanya merenung tepat ke anak mata Aryssa sehingga gadis itu tersipu dan mengalihkan matanya ke arah lain.
“Kenapa awak tanya macam tu?” Aryssa menguis daun-daun kering yang gugur dari pohon angsana yang sudah mulai berbunga.
“Saya rasa saya masih tak layak untuk menjadi pasangan awak… saya rasa Aryssa terlalu cantik buat saya!” Amir masih bermain kata, masih malu untuk meluahkan rasa hatinya. Dia terlalu merendah diri.
“Kalau macam tu awak kawanlah dengan monyet, jangan kawan dengan saya! Sebab monyet je yang padan dengan awak!” balasnya dalam gurauan.
Aryssa bangun menggenggam daun kering dan dibalingnya ke muka Amir, kemudian dia ketawa sambil berlari meninggalkan Amir. Lelaki itu bertindak pantas, bangun dan terus mengejar Aryssa di sekeliling taman. Mereka sama-sama ketawa bila Amir cekap menangkap Aryssa dan gadis itu terus didakapnya.
“Ubatilah aku, dengan kasih mu, andai benar cinta itu milik aku, milik kita berdua, Aryssa…” bait-bait rangkap lagu ciptaannya dibisikkan ke telinga Aryssa.
Gadis itu memejamkan mata, menghayati bait lagu ciptaan Amir. Tangannya semakin erat melingkari leher Amir dan dia bagaikan tidak mahu melepaskan lelaki itu.
“Am cintakan Aryssa! Dulu, kini dan selamanya…” ucap Amir dalam bisikan ke telinga gadis yang bagaikan terlena di bahunya.
“I love you, two three four five… hundred thousand… million!” pantas bibir Aryssa mencium pipi Amir Hizam. Dan kemudian mereka ketawa dalam bahagia.
Aryssa menatap gambarnya bersama Amir yang tersimpan sekian lama di dalam laci meja tulisnya. Mengenangkan saat bahagianya bersama lelaki itu, hatinya diusik pilu, bila merasakan kenangan itu tidak akan berulang lagi. Aryssa mencapai gitar ‘Kapok’nya. Di dada gitar itu terlekat lirik lagu yang dicipta Amir dan gambar mereka semasa majlis akhir tahun sekolah, tahun terakhir Amir di SMDM. Amir yang mengajarnya cara membaca kod lagu dan memetik gitar.
Hampir setiap petang selepas mereka belajar bersama mereka akan bermain gitar. Adakalanya dia lucu bila mengenangkan perkara itu, orang kata itulah ‘cinta monyet’, cinta yang tidak memberi apa-apa makna dan hanya menjadi kenangan manis semasa alam persekolahan. Tapi bagi Aryssa, cintanya pada Amir bukan cinta monyet, cintanya pada Amir kukuh dan abadi.
Hingga kini dalam hatinya tiada pengganti Amir, walaupun dia sendiri tak tahu di mana lelaki itu. Selepas Amir terlibat dalam kemalangan setelah mengambil keputusan SPM, Amir tidak mahu lagi menemuinya.
Menurut teman-temannya yang lain, Amir menderita lumpuh separuh badan. Teringin sekali Aryssa bertemu dengannya, menemani dan menyokongnya setiap hari. Namun Amir langsung tidak mahu menemuinya, apalagi berbual dengannya. Berpuluh kali dia menelefon lelaki itu, berpucuk surat dan kad dikirimkan untuk memujuknya tapi, Amir terus sepi tanpa berita.
Akhirnya Aryssa putus asa, dia tahu Amir kecewa, Amir malu dengan kecacatannya walaupun Aryssa berjanji akan menerima seadanya. Semenjak itu juga Aryssa menukar penampilannya, kerana tak mahu cintanya pada Amir ‘hilang’ dan bertukar kepada lelaki lain.